IPT : Sedia beri kuasa autonomi

Sedia beri kuasa autonomi.Bagi bolehkan universiti awam buat keputusan lebih pantas – Perdana Menteri
FITRI AFFENDI MUSTAFA | 08 September 2015 2:02 AM
NAJIB TUN RAZAK berucap dalam majlis bersama warga Kementerian Pendidikan Tinggi di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, semalam. – UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI
KUALA LUMPUR 7 Sept. – Kerajaan bersedia untuk memberikan kuasa autonomi sepenuhnya kepada semua universiti awam dari segi tadbir urus, kewangan dan perjawatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah tersebut untuk membolehkan pihak pengurusan universiti membuat segala keputusan dengan lebih pantas.
“Kita nak empowerment atau memperkasakan universiti bererti kita nak beri kuasa, kenaikan pangkat, jawatan dan juga kuasa kewangan supaya keputusan-keputusan lebih pantas dapat dibuat oleh pihak universiti.
“Bagaimanapun, ia mesti di­sertai dengan proses akauntabiliti supaya agensi-agensi pusat boleh dirundingkan apa bentuk dan secepat mana proses pemerkasaan itu dapat diturunkan kepada universiti kita,” katanya.
Beliau berucap dalam Majlis Bersama Warga Pendidikan Tinggi serta Pelancaran Buku Panduan Enhancing University Board and Effectiveness di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.
Buku panduan itu yang juga dikenali sebagai UniTP Green Book merupakan salah satu daripada lima buku panduan yang dihasilkan bagi memacu program transformasi di universiti awam.
Yang turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; timbalannya, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.
Sementara itu, Perdana Menteri berharap Lembaga Pengarah serta Naib Canselor universiti awam dapat membantu kerajaan untuk mencari sumber kewangan sendiri bagi me­ngendalikan pengurusan universiti.
“Salah satu perkara yang amat rumit menjadi Perdana Menteri apabila terpaksa naikkan sesuatu perkara, lebih-lebih lagi kalau terpaksa naik yuran universiti dan sebab itu kita pertahankan yuran dari dahulu tak naik sampai sekarang.
“Dan jika nak pertahankannya dan mencapai sasaran 2.5 juta rakyat menerima pendidikan tinggi menjelang 2025 berbanding 1.4 juta sekarang, tak disebut sumber kewangan daripada mana. Jadi, saya berharap LPU (Lembaga Pengarah Universiti) dan NC (Naib Canselor) lihat dan guna keupayaan intelektual mereka untuk mencari sumber kewangan sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya Menteri Pendidikan Tinggi mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi LPU dan Naib Canselor universiti dua kali setahun bagi membincangkan pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) masing-masing.
Najib berkata, perkara tersebut bukan untuk mencari kesalahan atau kelemahan universiti sebalik­nya bagi mendapatkan maklumat berkenaan masalah yang dihadapi pihak pengurusan.
“Perkara ini saya telah lalukan dengan menteri (kabinet) iaitu mengadakan KPI pada pertengahan tahun dan hujung tahun. Ini bukan sesi untuk ‘mendera’ Naib Canselor tetapi berkongsi masalah dan mencari penyelesaian bagi memastikan perjalanan universiti lebih berkesan dan lancar,” jelasnya.
Najib turut menyarankan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menekankan kepentingan subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik kepada orang ramai.
Selain itu, Perdana Menteri turut menyatakan kepentingan kepada orang ramai untuk menguasai Bahasa Inggeris pada tahap tinggi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s