Pengisian kemerdekaan

Hari Merdeka yang ke-58 dipenuhi dengan pelbagai program menarik di TV1
OLEH GARRET DAWUM | 24 Ogos 2015 2:26 PM
Telemovie Abangku Patriot.
PELBAGAI acara diatur dalam menyambut hari kemerdekaan negara ke-58 yang bakal diraikan tidak lama lagi. Begitu juga dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bertindak sebagai medium penyiaran. Tidak lengkap sekiranya stesen televisyen ini tidak menyajikan program-program menarik yang turut menyelitkan unsur patriotik sempena dengan bulan kemerdekaan.
Peranan dan tanggungjawab bagi mengenang perjuangan generasi terdahulu yang membolehkan kita hidup dalam keadaan damai dan tenteram memang penting agar tarikh 31 Ogos sentiasa meninggalkan sejarah manis buat semua rakyat negara ini.
Sempena hari merdeka kali ini, RTM menerusi saluran TVi telah menyediakan lapan program menarik yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga terutama dalam menyuntik semangat kecintaan terhadap negara.
Bermula 13 hingga 30 Ogos ini, Kuiz: Anda Fikir Anda Bijak menjadi antara program yang membuka tirai hari merdeka.
Menguji kecerdasan dan pengetahuan peserta dalam bidang Sejarah, program ini disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat pada pukul 11.30 pagi. Dalam rancangan ini, para peserta terpaksa mengharungi tiga segmen iaitu Segmen Fakta atau Auta?, Segmen Aneka Sejarah dan Segmen Jangan Salah, manakala, pelakon Izzue Islam bertindak sebagai pengacara.
Menyusul selepas itu ialah, drama 13 episod berjudul Pidik Merdeka. Dibintangi pelakon seperti Marsha Milan Londoh, Alex Alexander, Eddy Wilton, P. Dik Ganai dan R’yot Ujin, ia mengisahkan seorang gadis cantik bernama Rini yang menjadi rebutan pemuda kampung.
Kisah hubungan Rini dan Pidik yang tidak direstui bapa Rini termasuk pemuda kampung yang mencemburui hubungan mereka boleh disaksikan setiap Isnin hingga Jumaat pada pukul 12 tengah hari.
Disiarkan pula untuk tiga hari berturut-turut pada pukul 12 tengah hari, koleksi telemovie akan mengisi program semarak hari merdeka.
Telemovie Abangku Patriot akan disiarkan pada 29 Ogos dengan dibintangi oleh Talha Harith, Hafizul Kamal, Mardiana Alwi, Esma Danial, Leeza Zain dan Mah Wai Kit. Keputusan Zaimi untuk menyertai tentera mendapat tentangan keluarga dan adiknya Zaharin pula menyalahkan Zaimi atas kematian ibu bapa mereka.
Namun Zaimi tetap meneruskan cita-cita untuk menjadi askar komando dan terkorban semasa pertempuran dengan penceroboh di Lahad Datu, Sabah.
Kematian Zaimi telah menyedarkan Zaharin betapa pentingnya tugas tentera dalam menjaga keamanan negara.
Sementara itu, Najib, Siva dan Danny yang diberi tugasan oleh pensyarah mereka untuk membuat penyelidikan berkaitan pengarang novel bernama Akhsan Abdullah merupakan kisah dalam telemovie Manuskrip 1 Juta.
Disiarkan pada 30 Ogos, telemovie ini dibintangi oleh Jalaluddin Hassan, Ann Abdullah, Shamnas, Sathis Rao, Leo K.K dan Ikwan Khairuddin.
Sambutan 31 Ogos disambut dengan drama 50:50 lakonan Seniwati Latifah Omar, Datuk Aziz Sattar, Ramli Hassan, Johan Asa’ari dan Dira Abu Bakar.
Ia mengisahkan seorang askar bernama Ismail yang ditembak dan koma dimasukkan ke hospital pada zaman sebelum kemerdekaan. Setelah 50 tahun negara mengecapi kemerdekaan, barulah Ismail tersedar dari koma dan terkejut dengan perubahan dan pembangunan yang berlaku. Dalam masa sama Ismail terkenangkan kembali tunangnya, Azizah dan berhasrat untuk mencarinya.
Dokumentari khas sempena kemerdekaan, Garis Waktu yang disiarkan mulai 31 Ogos hingga 16 September depan, setiap Isnin hingga Jumaat, pada pukul 2.30 petang pula memaparkan usaha-usaha yang dilakukan bagi menjejak kembali hasil tinggalan sejarah yang berlaku semasa era zaman peperangan.
Selain itu, sebuah rancangan realiti TV yang memberi cabaran fizikal dan mental kepada peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar IPTA dan IPTS bagi memupuk semangat patriotik diberi nama Realiti TV: Uni Challenge 1957 juga menjadi tumpuan.
Melibatkan para peserta terdiri daripada penuntut ALAM, KPJUC, Kolej MAHSA, MUST, Politeknik Melaka, UMS, UNITEN dan UPM, program 13 episod dihoskan oleh Erin Malek disiarkan mulai 31 Ogos hingga 16 September depan, setiap Isnin hingga Jumaat, pada pukul 6 petang.
Bermula 1 hingga 6 September depan, setiap Selasa hingga Ahad, pada pukul 11.30 pagi, saksikan enam episod Doku Drama: Senoi Praaq: Menjejak Beret Merah. Ia mengisahkan keberanian dan kepahlawanan orang asli iaitu rejimen Senoi Praaq yang juga digelar Beret Merah dalam perjuangan menentang komunis.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton program di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s