ISU-ISU AKHBAR CINA

20 Ogos 2015 1:36 AM
KERATAN akhbar China Press bertarikh 18 Ogos 2015.
AKHBAR China Press bertarikh 18 Ogos 2015 menyiarkan artikel yang menyorot kembali polisi Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang pernah dipertikaikan oleh pembangkang.
Artikel ditulis oleh Lai Shao Kwang bertajuk ‘Tidak boleh hapuskan DEB’ disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15. Berkaitan isu itu, DAP ditanya tentang pendirian mereka. Malah penulis secara menyindir juga bertanyakan sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mencadangkan untuk menghapuskan DEB sebelum beliau disumbat ke dalam penjara.
Sebelum 2008, Pakatan Rakyat (PR) diketuai Anwar pernah mempertikaikan polisi DEB yang memberi keadilan kepada rakyat khususnya masyarakat Cina. Isu ini juga telah dibahaskan dalam sidang-sidang dewan. Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum dan pakatan pembangkang dapat kuasa memerintah di beberapa buah negeri, isu DEB yang diperjuangkan oleh ‘pahlawan-pahlawan’ yang dikatakan penyelamat bangsa ini, semakin pudar.
Mereka tidak lagi berteriak untuk berbincang sama ada hendak menghapuskan polisi DEB ataupun tidak. Penulis mewakili pengundi juga tertanya-tanya sekiranya isu berkenaan sudah tidak penting lagi atau PR seboleh-bolehnya tidak mahu menyebut atau menyentuh perkara itu lagi.
Pada 2012, menerusi ‘buku’ dicetak PR yang menggantikan Laporan Bajet, Anwar mengkritik keras polisi DEB yang disifatkan beliau sebagai polisi lapuk. Lim Kit Siang juga pernah meminta Tun Abdullah Ahmad Badawi agar membincangkan isu DEB dalam Perhimpunan Agung UMNO ketika itu. Polisi DEB, katanya, tidak adil melainkan dibuat semata-mata untuk kepentingan parti pemerintah dan orang politik sahaja.
Sementara itu, salah seorang ahli kumpulan think tank kerajaan Pulau Pinang, Dr. Ong Kim Fat dalam artikelnya menyebut polisi DEB pada hakikatnya tiada kaitan dengan sesuatu kaum kerana orang Melayu Islam sendiri tidak dilayan dengan adil.
Katanya lagi, polisi DEB tidak dapat membantu orang Melayu yang benar-benar hidup susah selain tidak mampu membina semangat kaum Bumiputera itu untuk berjuang. Buktinya, kaum itu masih belum dapat bersaing biarpun kerajaan sudah menghulurkan bantuan.
Kembali kepada persoalan penulis, apakah perjuangan DAP untuk menghapuskan polisi DEB masih relevan dan bertepatan ketika ini? Hakikatnya, bukan senang DAP dapat memerintah Pulau Pinang, justeru Guan Eng diminta tidak terus terperangkap dengan perjuangan itu.
Malah Ong Kim Fat dan Liew Chin Tong mencadangkan agar PR merangka strategi yang lebih jelas menggantikan sistem sedia ada demi survival parti, sekurang-kurangnya strategi yang dapat mengimbangi kepentingan pemimpin PR pada masa depan.
Walaupun kunci kuasa sudah ada di tangan, namun DAP masih tidak mampu menghalang hasrat Pas mahu melaksanakan hukum hudud, justeru kenapa pula mahu membantah DEB habis-habisan?
KESAN KEJATUHAN RINGGIT
ISU kejatuhan mata wang ringgit Malaysia yang memberi kesan ekonomi kepada negara amnya dan menjejaskan kehidupan rakyat khasnya turut diulas dalam akhbar China Press bertarikh 16 Ogos 2015.
Artikel bertajuk ‘Pengamatan Kejatuhan Ringgit Malaysia’ yang ditulis oleh Liew Long Chang disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C9. Nilai ringgit Malaysia dilaporkan lemah. Perkembangan ini, sememangnya meresahkan rakyat.
Rata-rata memberi reaksi negatif. Mereka masih ingat lagi keperitan yang pernah dialami akibat kemelesetan ekonomi negara pada 1997.
Antara yang diingati, wang saku seseorang ketika itu sentiasa dirasakan tidak mencukupi dek kerana nilainya yang menyusut setiap minggu. Bagi ibu bapa yang menghantar anak-anak belajar ke luar negara, ia bertukar kepada mimpi ngeri!
Bayangkan, ada kalangan ibu bapa terpaksa meminta anak-anak mereka melupakan impian melanjutkan pengajian di luar negara. Ada anak yang sudah sampai ke destinasi negara yang dituju diarah pulang semula ke Malaysia dengan menaiki penerbangan sama.
Itulah antara impak yang berlaku akibat kejatuhan nilai ringgit Malaysia. Bagi penulis sendiri, anak perempuan sulung kini sedang melanjutkan pengajian di New Zealand dengan anggaran kos perbelanjaan keseluruhan mencecah RM50,000. Ini amat merisaukannya.
Berbanding ringgit, nilai dollar Singapura masih kukuh. Dalam keadaan sekarang, ramai rakyat Malaysia berhijrah ke selatan tanah air, khususnya Johor. Tujuan antara lain untuk mencari rezeki di negara jiran dan meraih bayaran dalam nilai dollar Singapura.
Untuk menikmati kehidupan lebih baik, mereka sanggup meredah kesesakan jalan raya untuk bekerja di Singapura. Masa berkualiti dibazirkan antara empat hingga lima jam sehari untuk berbaris panjang itu yang sepatutnya boleh diluang bersama keluarga.
Kita tidak boleh bersangka buruk menuduh sebahagian rakyat Malaysia tidak cintakan tanah air. Mereka berhijrah kerana terpaksa dan antara puncanya adalah banyak kerja di negara ini telah dimonopoli oleh warga asing.
Penulis yakin jika pertukaran mata wang dapat dikembalikan antara 1 dollar kepada 1.5 ringgit, ramai rakyat kita akan kembali ke Malaysia. Logiknya, siapa yang mahu setiap hari berpanas dan berhujan sepanjang hari berulang alik dari Johor Bahru ke Singapura.
Keteguhan dan susut nilai wang melambangkan kekuatan sesebuah negara. Singapura baharu sahaja meraikan Hari Kemerdekaan ke-50. Jika diimbas, nilai mata wang dollar Singapura 50 tahun dahulu sama nilainya dengan ringgit.
Ketika ini, nilai ringgit berbanding dollar Singapura sudah jatuh tiga kali ganda! Hakikatnya, fakta ini perlu kita renungi – sebuah negara kecil yang tiada sumber asli, namun selepas 50 tahun berjuang, meninggalkan kita jauh di belakang! Kenapa jadi begitu? Tiada siapa yang dapat merungkaikannya.
Malaysia dan Singapura adalah bekas jajahan British, punya sistem birokrasi dan majlis perundangan sama. Hari ini, kedua-dua negara mempunyai perbezaan ekonomi yang amat ketara. Pada hemat penulis, parti pemerintah di negara kita perlu ambil perhatian serius terhadap perkara ini. Tolak ke tepi igauan politik
ataupun kejatuhan harga sumber, sesuatu perlu dilakukan demi memulihkan ekonomi negara. Kemakmuran rakyat harus diutamakan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s