BNM : Tiada tambatan ringgit

FADZIL ZAINOL | 14 Ogos 2015 1:52 AM
KUALA LUMPUR 13 Ogos – bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan tidak akan menambat ringgit atau memperkenalkan kawalan modal bagi membendung kejatuhan nilai mata wang tempatan itu, seperti dilaksanakan semasa krisis kewangan 1998.
Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, kesan perubahan nilai ringgit terhadap negara pada masa ini adalah terurus dan kemerosotan nilai mata wang ketika ini bukan hanya dialami Malaysia, malah turut dihadapi oleh negara-negara lain terutama ne­gara pengeksport komoditi.
Beliau berkata, sistem kewangan negara pada masa ini sudah matang dan mampu bertahan terhadap sebarang ketidaktentuan ekonomi semasa.
Justeru, katanya, apungan mata wang dilihat lebih baik untuk memulihkan ekonomi negara serta ringgit kerana langkah tersebut boleh mengukur tahap sebenar pembangunan negara.
“Saya ingin tekankan, kita tidak mahu melaksanakan sistem tambatan lagi. Kita sudah berubah daripada mengamalkan langkah-langkah kawalan modal.
“Mengapa hendak mengambil tindakan yang ekstrem (tambatan ringgit) yang hanya memberi kesan jangka pendek, sedangkan negara-negara lain turut menghadapi masalah yang sama,” katanya kepada pemberita semasa taklimat pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2015 di sini hari ini.
Semalam, ringgit ditutup pada paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia 1998 apabila didagangkan pada paras RM4.0415 berban­ding dolar Amerika Syarikat (AS). Bagaimanapun, pada sesi dagangan hari ini ringgit didagangkan pada kadar RM4.0080.
Malaysia melaksanakan tambatan ringgit pada 1998 dalam usa­ha menghentikan penurunan mendadak mata wang itu kesan permainan spekulator mata wang sehingga mengakibatkan ringgit didagangkan sehingga lebih RM4.50 berbanding dolar AS.
Langkah tersebut dihentikan pada 2005.
Kata Zeti, berbanding 1998, pasaran kewangan Malaysia pada masa ini lebih kukuh untuk menghadapi sebarang ketidaktentuan ekonomi, dengan rizab mata wang asing yang dikumpulkan negara memadai untuk menghadapi sebarang kejutan ekonomi termasuk kejatuhan nilai ringgit.
Rizab mata wang asing Malaysia sehingga 31 Julai 2015 lalu berjumlah AS$96.7 bilion (RM388.63 bi­lion) berbanding penghujung 1990-an yang berada di bawah AS$50 bilion (RM201 bilion). Paras tertinggi rizab mata wang asing ialah pada awal 2013 yang mencecah hampir AS$140 bilion (RM562.80 bilion).
Mengulas lanjut, Zeti berkata, ketika ketidaktentuan eko­nomi sekarang ini, regim kadar pertukaran yang fleksibel akan membantu negara mengurangkan impak daripada perkembangan luaran.
Beliau berkata, impak penyusutan nilai ringgit masih boleh diuruskan dengan beberapa kesan baik dan buruk kepada perniagaan dengan kandungan import yang tinggi menghadapi peningkatan kos, tetapi perniagaan berorientasikan eksport akan mendapat manfaat daripada pertambahan pendapatan.
Penyusutan nilai ringgit, kata­nya, mempunyai kesan sederhana ke atas perbelanjaan isi rumah kerana harga komoditi global dan bahan api domestik yang rendah, mengurangkan tekanan inflasi.
Jelasnya, BNM bagaimanapun akan terus memastikan pasar­an berfungsi secara teratur bagi mengelak gangguan kepada aktiviti perdagangan dan perniagaan.
Bagi tempoh 1 September 2014 hingga 11 Ogos lalu, ringgit telah merosot 20.1 peratus berbanding dolar AS berikutan kelemahan harga komoditi dan minyak mentah berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah di AS.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s