BNM selesai siasat 1MDB, serah 
laporan kepada Peguam Negara

14 Ogos 2015 1:52 AM
KUALA LUMPUR 13 Ogos – Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyelesaikan siasatannya berhubung transaksi perbankan yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dan menyerahkan ha­sil siasatan itu kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, siasatan itu yang bermula secara rasmi pada Mei lalu telah disiapkan minggu ini sebelum dihantar kepada Peguam Negara.
Katanya, dalam laporan penyiasatan itu BNM turut memberikan cadangan tindakan sesuai yang boleh diambil.
“Siasatan yang dilakukan adalah mengikut perundangan yang dihadkan kepada BNM sahaja. Pada masa sama BNM tidak boleh mendedahkan isi kandungannya kepada umum,” katanya kepada pemberita semasa taklimat pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2015 di sini hari ini.
Dalam pada itu Zeti, tujuh pegawai BNM juga telah disoal siasat oleh polis berhubung kebocoran maklumat yang dikaitkan dengan kandungan siasatan terhadap 1MDB dan kesemua pegawai terbabit telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Beliau bagaimanapun memberi­tahu, dirinya sendiri masih belum disoal siasat polis memandangkan baru pulang dari Amerika Syarikat, kelmarin.
Pada masa sama Zeti berkata, BNM juga sedang menyiasat dakwaan-dakwaan negatif yang dilemparkan terhadap dirinya dan BNM berhubung sisatan 1MDB.
“Semua dakwaan terhadap saya secara peribadi dan juga bank adalah tidak benar. Kebanyakan dakwaan ini dibuat oleh pihak tidak dikenali. Kami akan mengenal pasti mereka dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka. Kami mempunyai idea siapakah mereka, namun setakat ini nama tidak diketahui,” katanya.
Mengulas mengenai dana berjumlah RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Zeti berkata, BNM tidak mempunyai hak untuk mengetahui kandungan akaun milik perseorangan, melainkan pihak bank sendiri membuat laporan kepada BNM jika terdapat transaksi yang mencurigakan.
Jelasnya, jika bank-bank tempatan mengesyaki sesuatu transaksi yang mencurigakan, mereka boleh membuat Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) kepada BNM dan membolehkan bank pusat itu menyiasat kandungan akaun milik perseorangan.
Ketika ditanya sama ada bank-bank yang terlibat di dalam transaksi RM2.6 bilion itu membuat laporan kepada BNM, Zeti berkata, beliau perlu berhati-hati untuk membuat sebarang kenyataan mengenai hal tersebut, namun menjelaskan pihaknya sedang menyiasat berhubung pematuhan keperluan oleh perbankan.
1MDB: PDRM diberi 
kuasa siasat di bawah FSA
14 Ogos 2015 1:51 AM
KUALA LUMPUR 13 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi kuasa penuh oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz untuk menjalankan siasatan berhubung pembocoran maklumat perbankan 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB).
Khalid Abu Bakar
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, dengan kuasa tersebut, siasatan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dapat dilakukan ke atas kesemua tujuh pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank komersial serta saksi berhubung kebocoran tersebut.
“Kita telah memohon penuru­nan kuasa daripada gabenor sendiri, bermakna kita ada kuasa untuk menyiasat di bawah FSA.
“Sebelum ini kita hanya siasat di bawah Akta Jenayah Komputer 1997, tetapi sekarang kita diberi kuasa untuk siasat di bawah FSA pula,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sambutan Hari Inovasi dan Penutupan Sempena Peringatan Hari Polis Ke-208 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Zeti Akhtar berhubung tujuh pegawai Bank Negara disoal siasat polis berkaitan isu kebocoran maklumat siasatan 1MDB.
Menurut Gabenor Bank Negara, pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada polis namun enggan mendedahkan nama pegawai, tarikh disoal dan pejabat di bahagian mana mereka bertugas.
Mengulas lanjut, Khalid memberitahu, kertas pendakwaan kes tersebut masih ditangguhkan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya memandang serius insiden penggodaman yang dilakukan individu yang menggelarkan diri mereka Anonymous Malaysia terhadap laman sosial PDRM.
Beliau menjelaskan, siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti pihak terbabit, malah tidak menolak kemungkinan kumpulan tersebut berpusat di luar negara.
“Selain menyiasat, kita juga mengambil langkah-langkah yang patut untuk menjaga laman web dan aplikasi lain,” ujarnya.- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/1mdb-pdrm-diberi-8232-kuasa-siasat-di-bawah-fsa-1.124159#sthash.izbXE1Hj.dpuf

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s