ISU-ISU AKHBAR CINA

13 Ogos 2015 1:16 AM
BANGKIT KEMBALI?
KERATAN akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 6 Ogos 2015.
AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 6 Ogos 2015 menyiarkan artikel mengenai rombakan Kabinet baru-baru ini yang menyaksikan MCA mendapat habuan besar iaitu tambahan satu jawatan menteri dan satu timbalan menteri.
Artikel bertajuk ‘Peluang bangkitkan semangat MCA’ yang ditulis oleh Loh Han Chew disiarkan dalam ruangan Pendapat Yan Lun halaman B9.
Habuan yang diterima oleh parti itu boleh diibaratkan seperti tangan yang sedang sejuk dapat dihangatkan kembali!
Jika MCA masih lagi tidak berpuas hati, mereka kena lihat nasib Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Chong Sin Woon. Disebabkan mereka ada jawatan dalam parti, maka telah dilantik sebagai senator dan dapat memegang jawatan menteri dan timbalan menteri.
Ka Chuan yang juga Setiausaha Agung MCA telah dilantik menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II. Jawatan itu diberikan kepada orang Cina. Perkara itu seperti sebuah mimpi yang menjadi kenyataan. Bermakna impian kaum Cina sebelum ini supaya jawatan itu disandang wakil masyarakat itu benar-benar telah menjadi kenyataan.
Masyarakat Cina akan melihat sejauh mana prestasi Ka Chuan. Adakah beliau akan menjadi sehebat Superman bagi menangani kesan negatif apabila termeterainya Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)?
Mereka juga mengharapkan beliau dapat membantu meningkatkan pasaran saham di negara ini dan rantau Asia serta menolong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kaum Cina untuk meningkatkan eksport mereka dan meraih lebih banyak keuntungan.
Dalam pada itu, kaum Cina juga amat gembira apabila Sin Woon yang juga Ketua Pemuda MCA dapat menjawat jawatan Timbalan Menteri Pendidikan. Mereka kini sedang memantau prestasi beliau. Hanya masa sahaja yang akan menentukan adakah pelantikan itu sesuatu yang boleh dibanggakan ataupun akan menyebabkan masyarakat Cina kecewa.
Sebelum ini, apabila MCA tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 dan parti komponen itu berjanji tidak masuk ke dalam Kabinet, jawatan Timbalan Menteri Pendidikan diserahkan kepada Datuk Mary Yap Kain Ching dari Malaysia Timur.
Secara ikhlas penulis ingin nyatakan bahawa prestasi Kain Ching amat mengecewakan orang Cina sehingga menyebabkan kaum itu merasakan masa depan pendidikan masyarakat Cina akan terus berada dalam kegelapan. Nampaknya orang Cina kini merasa lega setelah jawatan berkenaan akhirnya dikembalikan kepada MCA.
Walaupun Sin Woon mengaku beliau bukan Superman, masyarakat Cina tetap meletakkan harapan besar agar beliau dapat membantu meningkatkan tahap penguasaan bahasa Cina.
Pada masa sama, kaum itu mengharapkan beliau dapat memperjuangkan tambahan bilangan sekolah menengah Cina swasta ataupun dibenarkan sekolah berkenaan menubuhkan cawangan.
Walaupun bukan Superman, Sin Woon ketika menjadi Ketua Pemuda telah berjaya memperjuangkan supaya bilangan guru bahasa Mandarin di sekolah menengah swasta Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) ditambah dan peruntukan yang munasabah telah diberi kepada sekolah menengah dan rendah untuk kaum itu.
Dilema paling besar yang dialami kaum Cina sekarang ialah layanan tidak adil dalam bidang ekonomi dan pendidikan. MCA seperti tidak berdaya membantu bagi mengatasi dua masalah ini. Sebab itu peti undi MCA di kawasan masyarakat Cina tidak begitu memberangsangkan.
Diharapkan Ka Chuan dan Sin Woon berani memimpin orang Cina bagi mengatasi dilema ini. Jika mereka berdua dapat melakukannya, pasti MCA dapat bangkit kembali.
PAS TERUS BERPECAH
ISU perpecahan dalaman Pas turut diulas akhbar Nanyang Siang Pau dalam artikel yang disiarkan pada 11 Ogos 2015.
Artikel yang ditulis oleh Lee Yaw Ting bertajuk ‘Apabila Pas tiada keberadaan Nik Aziz’ disiarkan dalam ruangan Pendapat Yan Lun halaman B9.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah meninggal dunia pada Februari tahun ini. Secara perlahan-lahan Pas di peringkat dalaman telah berubah dan memasuki era baharu.
Perbalahan antara puak Taliban dan puak Erdogan dalam parti itu semakin dahsyat dan ia berlaku secara terang-terangan. Kedua-dua belah pihak saling bertentangan pendapat dan semakin lama semakin hangat sehingga mewujudkan krisis terburuk sejak Pas ditubuhkan.
Puak Taliban yang menguasai semua jawatan penting Pas terlalu condong kepada fahaman keagamaan dan tetap mahu melaksanakan hukum hudud. Mereka berdepan dengan puak Erdogan yang dikatakan terdiri daripada golongan cendekiawan.
Hari ini yang menggantikan Nik Abdul Aziz sebagai Mursyidul Am ialah Datuk Dr. Haron Din. Beliau ialah orang kuat puak Taliban. Semua barisan hadapan kepemimpinan Pas juga dipegang oleh puak Taliban.
Diramal dalam masa terdekat ini, penguasaan puak Taliban dalam Pas susah untuk digugat, di mana Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pemimpin puak Taliban akan terus kekal untuk memperjuangkan hukum hudud dan tidak akan mengubah tuju hala parti itu.
Kadang kala mereka akan mengusik UMNO dengan lambaian manja, itu adalah taktik biasa yang Pas mainkan. Ada pendapat yang menyatakan, selepas pemergian Nik Abdul Aziz akan berlaku satu perubahan besar dalam Pas apabila parti itu akan bekerjasama dengan UMNO.
Fakta seperti ini agak tidak kukuh kerana terdapat sangat sedikit persamaan antara kedua-dua parti. Jika hari ini Pas bergabung dengan UMNO, bermakna parti itu masuk ke jalan mati dan akan memerangkap diri sendiri.
Sementara itu, pada pemilihan Pas Jun lalu, puak Erdogan tewas teruk. Sebab itu, Gerakan Harapan Baru (GHB) yang dipimpin oleh Mohamad Sabu kini wujud dan mendapat sambutan daripada golongan ini. Bagaimanapun, harapan baharu itu tidak membawa sebarang harapan, kerana jika kita lihat sejarah yang lepas, parti serpihan tidak akan berkekalan dalam masa yang panjang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s