Perkasa, demokrasi dan terima kasih!

CUIT
ZAINI HASSAN (ZAINIBINHASSAN@GMAIL.COM) | 12 Ogos 2015 1:38 AM
BEKAS Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sanusi Junid, menyatakan sesuatu kepada Ibrahim Ali di rumah terbuka pemimpin Perkasa itu baru-baru ini.
KELMARIN saya menghadiri satu (daripada banyak) majlis rumah terbuka raya, antaranya BRO – Bumiputera Retailers Organisation. Di situ saya ditegur oleh seorang ahlinya.
Tak perlulah saya sebut usahawan tersohor negara itu, jika saya sebut semua orang kenal.
Katanya kepada saya “Cuit-cuit yang garang ini apa khabar, kenapa senyap saja, kenapa tak tulis pasal cerita derma-dermawan…”
Kawan-kawan beliau yang mendengar celotehnya secara spontan tergelak kuat. Saya kata “berdiam diri” lebih baik. Kadang-kadang yang tersirat dalam hati lebih baik daripada yang tersurat.
Masing-masing ketawa lagi. Namun di mana-mana majlis raya, mahupun majlis perkahwinan, ceri­tanya, topiknya adalah sama.
Tetapi dalam kekalutan yang sedang berlaku ini saya suka melihat apa yang berlaku di sekeliling kekalutan itu.
Siapa yang pandai mengambil kesempatan di sebalik kekalutan itulah yang akan berjaya.
DAP ternyata sedang menyusun strateginya secara senyap. Begitu juga Pas dan lain-lain.
****
NAMUN yang mahu saya lihat ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), sebuah pertubuhan Melayu ultra yang selama ini dituduh rasis kerana mempertahankan agama, bangsa dan negara kita ini. (Nota kaki: Tuduhan rasis itu sengaja direka secara gerak saraf kerana subjek itu mempunyai kekuatan yang harus dibunuh oleh musuhnya.)
Benarkah Perkasa kini sedang menyusun langkahnya?
Kepalanya, Ibrahim Ali atau Tok Him dikenali sebagai seorang yang penuh dengan strategi. Beliau dapat melihat jauh ke hadapan. Biarpun orang berkata apa sahaja terhadap­nya, Ibrahim boleh mengorak langkah, cepat dan pantas.
Rangkaian Perkasa kini tumbuh satu demi satu di serata pelosok negara, termasuk ke luar negara. Terbaharu semalam: Perasmian Persidangan Tahunan 2015 dan Perasmian Pejabat Perkasa Parlimen Langkawi Kedah.
Struktur disusun rapi. Nampaknya sekarang ia bukan lagi bergerak seperti anai-anai, tetapi sudah menjadi semut api.
Ala-ala ke arah sebuah parti politik? Ramai sungguh yang berkunjung ke rumah terbuka Tok Him di Taman Malawati malam minggu lepas. Sokongan ke atasnya bukan calang-calang.
Apakah akhirnya Perkasa akan menjadi sebuah parti politik?
Adakah ia mahu menjadi platform terbaharu untuk orang Melayu? Mahupun dengan semua kaum?
Jika ada pendapat, termasuk dalam kalangan Istana sendiri mengatakan Pas akan menjadi parti dominan orang Melayu selepas UMNO, macam mana pula Perkasa?
Ibrahim bijak membuat percaturan politik.
Sabtu 8 Ogos lalu, beliau mengambil inisiatif menganjurkan satu majlis dialog dengan sekumpulan NGO Kristian yang dikenali sebagai Christians for Peace and Harmony in Malaysia Movement (CPHM).
Apa motifnya? Beliau bijak. Inilah masa baginya untuk menyusun saf demi masa depan Perkasa. Perkasa mulai sekarang harus kelihatan lebih liberal dan terbuka daripada sebe­lumnya.
Sebelum bertemu secara rasmi dengan kumpulan kristian itu, mereka sudahpun kelihatan tandang bertandang dalam majlis-majlis anjuran Perkasa sebelum ini.
Ia adalah rakan strategik Perkasa apabila tiba masanya kelak.
Sebagai penganalisis politik, saya nampak ia akan menuju ke arah itu.
Pada 2013 Perkasa menubuhkan apa yang dikenali sebagai Majlis NGO Antara Kaum Malaysia (Mirac) – gabungan strategik dengan NGO India dan Cina.
Terpampang besar tajuk berita keesokan harinya: “Bukti Perkasa bukan perkauman”.
Ternyata Perkasa sudah satu tapak ke hadapan. Ketika DAP turut menggunakan taktik untuk menarik perhatian kaum belia Melayu ke dalam parti itu melalui Sekolah Demokrasi, Perkasa pun telah dan sedang melaksanakannya.
Sesungguhnya demokrasi Malaysia sungguh subur. Semua orang boleh buat apa sahaja.
Benarlah juga apa yang saya tulis dalam Prakata buku Cuit: Dilema Melayu Moden… apa yang berlaku di Malaysia sekarang ialah satu proses kematangan (maturing process) rakyat terhadap politik dan masa depan mereka.
Kita baharu mengenal demokrasi sekitar 58 tahun, Amerika Syarikat yang sudahpun merdeka 250 tahun baharu sahaja melantik seorang presiden berkulit hitam sebagai ke­tua negaranya.
Dan, ia memerlukan 50 tahun lagi (sekurang-kurangnya) untuk mela­yakkannya melantik seorang pre­siden bukan putih tetapi beragama Islam untuk menjadi presidennya.
Demokrasi memakan masa yang lama, bukan semalaman.
Kita pula masih mentah.
Kerja kahwin saya – Bahagian Akhir
RAMAI yang bertanya dan bercakap mengenai pengakhiran tulisan ini. Saya cakap biar saya habis lelah dahulu selepas melangsungkan kerja kahwin itu.
Ada yang berkata ia adalah maraton atau kejohanan lumba lari jauh yang memerlukan stamina dan mental.
Benar. Gabungan kedua-dua itulah yang cukup memenatkan.
Namun, syukur alhamdulillah semuanya harus bermula dengan pengalaman pertama. Ia cukup mematangkan kita untuk yang kedua kalinya.
Namun, tanpa kerjasama semua yang terbabit, mustahil saya boleh lakukan. Saya bukanlah seperti yang lain-lain yang boleh menggaji perancang perkahwinan untuk melakukannya.
Saya hanya mempunyai sahabat-sahabat handai dan saudara-mara yang 100 peratus membantu saya bagi menjayakan majlis itu.
Terima kasih semua, tanpa perlulah saya senaraikan nama kalian satu persatu di sini. Hanya Allah yang membalasnya.
Terima kasih yang teramat sa­ngat kepada semua tetamu saya yang hadir pada majlis itu. Terima kasih juga kerana memberi jawapan kehadiran RSVP kepada kami.
Yang tak dapat hadir, terima kasih kerana menghantar mesej kemaafan beserta doa yang amat kami harap­kan. Ada yang menghantar mesej terpaksa berpatah balik kerana ke­sesakan lalu lintas akibat demonstrasi anti-kerajaan dan hal-hal lain lagi.
Syukur. Yang penting majlis itu berjalan lancar dan diharapkan mendapat barakah daripada Yang Maha Esa. Kemaafan daripada saya jika ada yang tidak menggembirakan tuan tuan dan puan-puan sekian.
Maaf juga jika ada yang terlepas pandang dalam jemputan. Kami hanyalah insan yang kerdil.
Terima kasih daun keladi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s