Fact Check medium jawab segala tuduhan, isu

12 Ogos 2015 1:52 AM
ABDUL RAHMAN DAHLAN (tengah) dalam majlis prapelancaran program Kayuhan Hari Malaysia 2015 di Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/KAMAL BASIR WAHAB
KUALA LUMPUR 11 Ogos – Kerajaan bercadang membina satu laman web khas yang dikenali sebagai Fact Check sebagai pusat sehenti bagi menjawab segala tohmahan dan isu-isu yang berbangkit di media sosial serta daripada portal-portal propembangkang.
Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, menerusi laman web tersebut, segala persoalan atau tuduhan yang dilemparkan dapat dijawab dengan kadar segera.
Menerusi langkah itu, katanya, masyarakat akan mendapat maklumat yang sahih sekali gus menyangkal segala tuduhan atau tohmahan yang sengaja direka bagi memburukkan kepimpinan kerajaan BN yang disebarkan menerusi media sosial.
“Fitnah menerusi media sosial ketika ini sudah di tahap yang membimbangkan dan sekiranya tidak ditangani dengan baik, dikhuatiri bakal membawa kepada kehancuran. Pembinaan portal Fact Check dilihat penyelesaian kepada masalah ini.
“Saya akan berbincang dengan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sama ada boleh wujudkan laman web ini dengan kadar segera bagi memberikan penjelasan kepada rakyat. Kita mahu isinya lebih mendalam daripada Malaysian Insider, lebih bebas berbanding Free Malaysia Today (FMT) dan lagi terkini daripada Malaysiakini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis prapelancaran program Ka­yuhan Hari Malaysia 2015 di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar Dan Perumahan Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, Fact Check bukan satu perkara baharu di luar negara kerana kebanyakan kerajaan, pemimpin atau pihak tertentu menggunakannya bagi memastikan kebenaran sesuatu perkara.
“Ketika ini, apabila hendak mencari jawapan kepada sesuatu isu, kita sering mencari dan kadang-kadang menunggu jawapan daripada menteri-menteri, kementerian dan atau pihak terlibat.
“Fact Check adalah satu kaedah pusat sehenti bagi menyimpan semua data dan maklumat kerajaan untuk menangkis segala tohmahan dan fitnah yang berleluasa dalam media sosial hari ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahman berkata, inisiatif yang diambil Pemuda UMNO menerusi penganjuran program Kayuhan Hari Malaysia 2015 dan memperkenalkan #TolakFitnahMediaSosial dan #SayaSayangMalaysia merupakan satu cara kreatif berkempen.
Katanya, program tersebut dianjurkan tepat masanya selepas negara melalui beberapa insiden yang mampu menggugat kestabilan dan keamanan negara yang tercetus daripada media sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp.
“Kerajaan sejak dari dulu terbukti memberikan kebebasan bersuara kepada semua pihak namun jika perkara yang diutarakan mampu menggugat dan memudaratkan keselamatan, hal tersebut perlu dibendung.
“Ini kerana fitnah di media sosial yang berlaku ketika ini amat keterlaluan. Kempen seperti ini dapat menyatukan orang ramai tanpa mengira latar belakang politik, agama dan bangsa,” jelasnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s