RM2.6 bilion dari penderma Asia Barat

NORLIZA ABD. RAHMAN | 06 Ogos 2015 1:09 AM
PUTRAJAYA 5 Ogos – Sumbangan dana RM2.6 bilion yang didermakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diterima daripada penderma yang berasal dari Asia Barat, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM dalam kenyataannya memaklumkan, butiran penderma diperoleh melalui dokumen yang diambil dari bank dan mendapati terdapat empat surat yang diserahkan kepada pihak bank apabila jumlah wang yang besar dimasukkan ke akaun Perdana Menteri.
Dalam dokumen itu ada dijelaskan bahawa sumbangan RM2.6 bilion adalah sebagai derma.
“Sehubungan itu, SPRM ingin memaklumkan bahawa Perdana Menteri akan diminta memberi penjelasan mengenai sumbangan derma yang diterima beliau kepada SPRM.
“Sumbangan derma RM2.6 bilion itu tiada kaitan langsung dengan 1Malaysia Development berhad (1MDB),” kata kenyataan itu di sini hari ini
Penjelasan mengenai perkara ini dibuat SPRM susulan kepada kenyataan medianya Isnin lalu yang memaklumkan bahawa siasatan SPRM hanya memfokus ke atas isu berkaitan dengan SRC International dan kemasukan dana sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun Perdana Menteri.
Menurut kenyataan itu, banyak pihak masih tidak jelas, terkeliru dan beranggapan SPRM telah menghentikan siasatan berkaitan isu SRC International atau pun dana RM2.6 bilion.
Jelas SPRM, badan bebas itu tiada kaitan dengan isu 1MDB, sebaliknya siasatan keseluruhan kes 1MDB dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang ramai perlu memahami bahawa siasatan SPRM tiada kaitan dengan 1MDB.
“Perbincangan juga telah diadakan dengan Peguam Negara yang meminta supaya SPRM membuat penjelasan mengenai perkara ini sementara siasatan masih dijalankan.
“SPRM ingin mengulangi bahawa siasatan berkenaan isu SRC International yang melibatkan dana RM4 bilion masih dijalankan oleh SPRM. Siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion dan isu SRC International merupakan dua perkara yang berbeza,” kata kenyataan itu.
Justeru, SPRM mahu menekankan bahawa badan bebas itu tidak pernah menyatakan kes yang sedang disiasat telah ditutup sebaliknya hanya menyatakan ia bukan dari wang 1MDB.
Penjelasan tersebut, tegas kenyataan itu, akan memberi gambaran sebenar mengenai isu yang disiasat oleh SPRM dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional.
“Diharapkan semua pihak memberi ruang kepada SPRM menjalankan siasatan menyeluruh tanpa membuat sebarang spekulasi. SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional tanpa ‘fear or favour’, SPRM tidak akan membiarkan mana-mana pihak mempengaruhi atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan,” tegas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, SPRM membuat kenyataan tanpa melibatkan PDRM dan Bank Negara atau Pasukan Petugas Khas selepas dinasihatkan oleh Peguam Negara bahawa tidak perlu ada Pasukan Petugas Khas tersebut.
Sebaliknya agensi-agensi penyiasat terbabit boleh menjalankan tugas mereka berdasarkan undang-undang masing-masing.
Di peringkat SPRM, pasukan petugas khas dalaman bagi menyiasat kes SRC International dan sumbangan derma RM2.6 bilion masih diteruskan.
“Agensi masing-masing mempunyai pasukan petugas khas dalaman mereka sendiri dan akan mengemukakan hasil siasatan masing-masing kepada Peguam Negara untuk diambil keputusan sama ada terdapat kes untuk didakwa di mahkamah ataupun sebaliknya,” kata kenyataan itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s