Ahmad Zahid TPM baharu

NORLIZA ABD. RAHMAN, SAIFULIZAM MOHAMAD DAN SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH | 29 Julai 2015 1:29 AM
PUTRAJAYA 28 Julai – menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Selain memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid kekal sebagai Menteri Dalam Negeri.
Rombakan kali pertama selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) itu turut menyaksikan pengguguran empat orang menteri antaranya Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri G. Palanivel serta seorang timbalan menteri selain perubahan portfolio menteri-menteri sedia ada.
Susunan baharu Kabinet hari ini juga menyaksikan pelantikan tujuh menteri baharu terdiri daripada Datuk Wilfred Madius Tangau, Datuk Hamzah Zainudin, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Tun Said Keruak.
Selain itu sembilan timbalan menteri baharu turut dilantik antaranya, Datuk Mohd. Johari Baharum; Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Kesemua pelantikan baharu menteri dan timbalan menteri itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Perubahan portfolio pula membabitkan dua menteri dan seorang timbalan menteri iaitu Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Ahmad Maslan manakala Datuk Seri Idris Jusoh diberi tanggungjawab memegang jawatan Menteri Pengajian Tinggi yang diwujudkan semula dalam rombakan Kabinet kali ini.
Susunan baharu anggota Jemaah Menteri dan timbalan menteri itu berkuatkuasa esok.
Dalam perkembangan berkaitan Najib berkata, keputusannya menggantikan Muhyiddin dengan Ahmad Zahid dibuat selepas mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentadbiran.
Kata beliau, begitu juga de­ngan keputusannya menggugurkan empat orang menteri dan seorang timbalan menteri serta perubahan portfolio dibuat setelah mengambil kira faktor yang sama.
“Ini bagi memastikan pentadbiran di bawah saya terus komited, sentiasa fokus kepada usaha pembangunan negara sebagaimana yang telah dijanjikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat pada PRU-13,” katanya.
Perdana Menteri turut menyifatkan keputusan menggantikan Muh­yiddin sebagai satu keputusan yang amat sukar tetapi terpaksa dilakukan supaya Jemaah Menteri dapat berge­rak sebagai satu pasukan yang jitu.
“Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas khid­mat bakti yang telah dicurahkan oleh Tan Sri Muhyiddin. Begitu juga oleh menteri dan timbalan menteri yang kini tidak lagi dalam pentadbiran kerajaan,” katanya lagi.
Najib berkata, rombakan Kabinet hari ini bertujuan memperkukuh­kan lagi barisan Jemaah Menteri untuk menghadapi cabaran menguruskan negara sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Bagi tujuan ini, Jemaah Menteri perlu bertindak sebagai satu pasukan yang jitu dalam apa jua keadaan, melangsungkan agenda pembangunan negara serta menguruskan isu-isu negara yang berbangkit agar dapat bertindak dengan berkesan,” katanya.
Sementara itu Najib berkata, beliau boleh menerima perbezaan pendapat dan kritikan sebagai sebahagian daripada proses dalam membuat keputusan.
Namun demikian katanya, sebagai anggota Kabinet, perbezaan pendapat dan pandangan tidak sepatutnya dilakukan di forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan umum terhadap kerajaan serta negara, juga bertentangan dengan konsep tanggungjawab bersama Kabinet (collective responsibility).
“Insya-Allah, saya yakin senarai Kabinet yang baharu ini dapat meneruskan hasrat kerajaan untuk menjayakan segala perancangan yang telah dijanjikan dan meningkatkan keyakinan serta sokongan rakyat kepada kerajaan BN,” kata Perdana Menteri.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s