1MDB : Tuduhan WSJ tidak berasas – Perkasa

Semua pemimpin, rakyat beri sokongan kepada Najib
ABD. AZIZ ITAR | 06 Julai 2015 1:24 AM
KUALA LUMPUR 5 Julai – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa semua pemimpin dan rakyat memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana perkara itu melibatkan nama baik negara.
Ibrahim Ali
Menurut Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, laporan Wall Street Journal (WSJ) kononnya terdapat penyiasat telah mengesan hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dideposit ke akaun dipercayai milik Najib adalah satu tuduhan tidak berasas.
Sehubungan itu katanya, tindakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menyarankan tindakan undang-undang diambil ke atas WSJ bagi membersihkan nama baik Perdana Menteri dan negara, wajar disokong semua pemimpin dan rakyat negara ini.
“Tindakan Muhyiddin yang telah mengeluarkan kenyataannya berhubung isu tersebut wajar dipuji kerana itu adalah isyarat daripada pemimpin nombor dua negara. Ia wajar diperluaskan oleh pemimpin lain di semua peringkat dan juga rakyat tanpa mengira parti politik.
“Ini kerana pendakwaan ke atas WSJ boleh membuktikan bahawa Najib tidak bersalah. Paling penting pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah itu juga boleh dikenal pasti dan didakwa di mahkamah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ibrahim mengulas kenyataan Perdana Menteri yang menafikan tuduhan WSJ dengan menegaskan, beliau tidak pernah mengambil dana awam untuk kepentingan peribadi baik daripada 1MDB, SRC International atau mana-mana entiti.
Malah, menurut Najib, tuduhan terbaharu yang dilemparkan terhadap beliau menerusi media asing itu adalah sebahagian daripada kempen sabotaj yang dibuat secara terancang untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang di- pilih secara demokratik.
Dalam pada itu, Setiausaha Biro Pemantauan dan Integriti Perkasa, Azrul Akmal Saharudin berkata, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung laporan media antarabangsa yang berpangkalan di Amerika Syarikat berkenaan.
Beliau berkata, Perkasa memandang serius perkara tersebut kerana sebarang tuduhan yang berniat jahat terutama datang daripada anasir-anasir asing dikhuatiri mempunyai agenda sulit untuk memporak-perandakan negara ini.
“Siasatan perlu dijalankan seadil-adilnya tanpa bersifat apologetik seiring dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut dengan telus dan menyeluruh.
“Jika dakwaan mereka didapati tidak benar selepas siasatan dibuat, ini adalah satu malapetaka buat rakyat yang mempercayainya. Ia bukan sahaja telah mencalarkan kredibiliti negara di mata dunia malah menunjukkan bahawa fitnah mudah bermaharajalela di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s