SUKAN SEA 2015 : Nauraj tahan sakit untuk emas

12 Jun 2015 1:01 AM
Nauraj Singh Randhawa beraksi dalam acara akhir lompat tinggi Sukan SEA 2015 di Stadium Nasional Singapura semalam. Nauraj menang emas dengan lompatan 2.13m. UTUSAN
SINGAPURA – Walaupun terpaksa beraksi dengan kaki yang sakit, namun Nauraj Singh Randhawa masih mampu melakukan lompatan yang memadai untuk membolehkannya mempertahankan pingat emas lompat tinggi lelaki Sukan SEA di Stadium Nasional Singapura, semalam.
Jika diikutkan Nauraj, catatan yang dilakukan 2.13 meter memang tidak memuaskan, apatah lagi lompatan peribadi terbaiknya adalah 2.22 meter yang dibuat pada Februari lalu.
Bagaimanapun, mengambil kira kesakitan yang dialami, atlet kelahiran Johor Bahru berusia 23 tahun itu sudah cukup gembira dapat mempertahan emas yang dimenangi di Myanmar dua tahun lalu
Nauraj berkongsi catatan bersama pemenang pingat perak, Dao Van Thuy dari Vietnam.
Begitupun, Van Thuy terpaksa berpuas hati meraih perak kerana melepasi ketinggian tersebut dalam percubaan ketiga, berbanding Nauraj yang melepasinya dalam percubaan kedua.
Gangsa acara tersebut menjadi milik seorang lagi atlet negara, Muhammad Ashraf Saipurahman dengan ketinggian 2.11m .
Nauraj mengakui, biarpun gembira menghadiahkan emas olahraga ketika buat Malaysia dalam Sukan SEA Singapura, namun dia tidak gembira dengan catatannya kerana terlalu jauh untuk melepasi kelayakan Sukan Olimpik 2016 di Rio.
“Saya hanya ada masa beberapa bulan untuk bekerja keras andai mahu melepasi kelayakan ke Sukan Olimpik tahun depan.
“Apa pun, dalam masa sama saya tetap gembira dengan pingat emas ini tetapi tidak boleh leka dengan pencapaian ini kerana saya perlu melompat lebih tinggi lagi,” kata Nauraj.
Terdahulu, Malaysia turut meraih emas dalam lempar cakera lelaki menerusi Muhammad Irfan Shamsuddin yang mempertahankan kejuaraan yang dimenangi di Sukan SEA 2013.
Malaysia bagaimanapun gagal merampas kembali pingat emas 110 meter lari berpagar yang kali ter­akhir dimenangi oleh Rayzam Shah Wan Sofian di Thailand pada 2007.
Buat kali ketiga berturut-turut, Rayzam terpaksa berpuas hati memenangi perak selepas mencatat 13.97s. Jaguh senior Thailand, Jamras Rittidet memahat rekod muncul juara buat kali keempat berturut-turut bersama catatan rekod baharu temasya, 13.69s. Gangsa milik Patrick Unso dari Filipina dengan masa 14.12s.
Malaysia turut meraih gangsa dalam 4x400m wanita menerusi rangkaian Fathin Faqihah Yusuf, Nurul Faizah Asma Mazlan, Zaimah Zainuddin dan Shereen Samson Vallabouy. – UTUSAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s