SUKAN SEA 2015 : 5 emas, 1 rekod renang dilakar

12 Jun 2015 1:01 AM
SINGAPURA – Perenang remaja berusia 18 tahun, Welson Sim menutup kempen acara renang dengan penuh bergaya apabila merangkul pingat emas bersama rekod baharu temasya untuk melengkapkan pu­ngutan lima emas yang diraih kontinjen Malaysia pada hari ketujuh Sukan SEA 2015, semalam.
Welson Sim
Atlet kelahiran Sarawak itu menamatkan acara 400m gaya bebas dengan catatan masa 3 minit, 53.97s iaitu 0.02s lebih pantas daripada rekod Sukan SEA milik rakan senegaranya, Daniel Beego yang dilakukan pada Temasya Laos, 2009.
Olahraga pula menyumbangkan dua emas, masing-masing menerusi lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin dan lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa, manakala boling meneruskan aksi konsisten dengan merangkul emas ketiga berturut-turut, kali ini dalam trio lelaki.
Selepas beberapa hari gagal memburu emas, menembak akhirnya menamatkan penantian menerusi Alia Sazana Azhari yang menguasai acara 25 meter pistol wanita selepas menewaskan wakil tuan rumah, Teh Xiu Hong 7-1.
Biarpun olahraga sudah membutirkan tiga emas setakat ini, namun semua kejayaan disumbangkan oleh atlet padang pada ketika saingan trek masih buntu menghadiahkan kejuaraan.
Irfan nyata berada dalam kelas tersendiri ketika mempertahankan emas lempar cakera apabila melakukan catatan terbaik 56.62 meter, jauh meninggalkan dua pencabar dari Thailand, Narong Benjaroon (52.59m) dan Kwanchai Numsomboon (51.02m).
Nauraj juga mempertahankan emas yang dimenangi di Myanmar, dua tahun lalu biarpun melakukan lompatan sederhana 2.13m, berkongsi catatan bersama atlet Vietnam, Dao Van Thuy. Seorang lagi wakil Malaysia, Muhammad Ashraf Saipurahman meraih gangsa dengan ketinggian 2.11m.
Malaysia bagaimanapun gagal merampas emas 110m lari berpagar yang kali terakhir dimenangi Rayzam Shah Wan Sofian di Thailand pada 2007.
Buat kali ketiga berturut-turut, Rayzam terpaksa berpuas hati memenangi perak selepas mencatat 13.97s. Jaguh senior Thailand, Jamras Rittidet memahat rekod muncul juara buat kali keempat berturut-turut bersama rekod baharu temasya, 13.69s. Gangsa milik Patrick Unso dari Filipina dengan masa 14.12s.
Sementara itu, kombinasi tiga pemain muda, Muhammad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan memastikan emas ketiga Malaysia di arena boling Orchid Country Club apabila mengumpul 3,710 jatuhan pin, 45 pin mengatasi saingan sengit trio tuan rumah, Javier Tan, Howard Saw dan Keith Saw.
Secara keseluruhan, Malaysia merangkul lima emas, dua perak dan lima gangsa semalam untuk membolehkan mereka kekal di tangga keempat dalam pungutan pingat dengan mengumpul 32 emas, 33 perak dan 43 gangsa.
Singapura terus unggul di kedudukan teratas dengan 66 emas, 58 perak dan 69 gangsa, diikuti Vietnam (57-31-50) dan Thailand (55-62-49).
Hari ini Malaysia dijangka menambah beberapa lagi emas dengan pasukan hoki wanita akan berentap di pentas final menentang Thailand dan dijangka tidak berdepan masalah untuk muncul juara.
Skuad badminton wanita bakal berdepan saingan sukar dalam usaha merebut emas berpasukan selepas dijadual bertemu Thailand, manakala skuad lelaki gagal ke final selepas tewas 2-3 kepada Indonesia.
Jika boling mampu meneruskan aksi konsisten, emas mungkin mampu ditambah dalam berpasukan lelaki dan wanita. Malaysia turun sebagai penyandang juara dalam berpasukan lelaki.
Sementara itu skuad Bawah 23 tahun negara menamatkan kempen acara bola sepak Sukan SEA 2015 dengan kemenangan 3-1 ke atas Laos dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Bishan semalam.
Gol pasukan negara disumbangkan oleh Syafiq Ahmad pada minit ke-42 bagi memadamkan kelebihan jaringan Soukchinda Natphasouk pada minit-22 sebelum Saiful Ridzuwan Selamat dan Syahrul Ibrahim, memastikan kemenangan Malaysia dengan gol pada minit ke-71 dan 81. – UTUSAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s