SUKAN SEA 2015 : Terjun bolot kesemua 8 emas

10 Jun 2015 2:02 AM
SINGAPURA – Terjun menutup kempen Sukan SEA 2015 dengan sempurna apabila menyapu bersih semua lapan emas yang ditawarkan di Singapura dengan menambah dua lagi emas pada hari terakhir di Pusat Akuatik OCBC, semalam.
Ooi Tze Liang (kiri) dan Ahmad Amsyar Azman mempamerkan aksi menarik dalam persaingan akhir acara 3m papan anjal seirama lelaki Sukan SEA 2015 di Pusat Akuatik OCBC, Singapura semalam. UTUSAN
Ooi Tze Liang meletakkan dirinya sebagai calon olahragawan selepas meraih emas keempat peribadi dalam 3 meter papan anjal seirama lelaki bersama Ahmad Amsyar Azman, manakala pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2012, Pandelela Rinong memastikan cabaran Malaysia diharungi tanpa cacat cela apabila menyambar emas terakhir yang ditawarkan dalam acara 10m platform individu wanita.
Kejayaan itu mengulangi pencapaian sempurna yang dilakukan Malaysia dalam Temasya Myanmar, dua tahun.
Penerjun negara berada dalam kelas tersendiri, malah saingan 10m platform bagaikan sesi latihan buat mereka apabila Pandelela mengetepikan rakan senegara, Loh Zhiayi untuk mengetuai kemenangan 1-2 Malaysia.
Pandelela mengumpul 353.00 mata, diikuti Zhiayi dengan 305.25 mata. Kedua-dua mereka meninggalkan jauh pemenang gangsa, Frieda Lim dari Singapura yang meraih 251.70 mata.
Walaupun melakukan kesilapan pada terjunan kedua dan hanya mengutip 49.30 mata, tiga terjunan terakhir Pandelela sudah memadai untuk membolehkan atlet kelahiran Sarawak itu mempertahankan emas buat kali keempat berturut-turut sejak kali pertama memenanginya pada Sukan SEA 2009 di Laos.
“Saya sebenarnya agak keletihan hari ini, namun lega kerana masih mampu melakukan yang terbaik. Saya dan seluruh pasukan sangat gembira dengan apa yang kami capai di sini kerana sejak awal lagi sasaran kami adalah memenangi semua emas yang dipertandingkan.
“Terus terang saya tidak pernah memandang rendah kemampuan peserta negara lain kerana kita boleh lihat banyak peningkatan ditunjukkan dalam Sukan SEA kali ini, berbanding di Myanmar dua tahun lalu,” kata Pandelela.
Biarpun Sukan SEA ibarat pemanas badan buat Pandelela, namun penuntut Universiti Malaya itu menegaskan, penampilan di Singapura amat penting untuk membantunya mempersiapkan diri menghadapi beberapa kejohanan Siri Dunia yang akan menjadi pentas kelayakan ke Sukan Olimpik 2016 di Rio.
Sementara itu, gandingan Tze Liang-Amsyar mengutip 409.56 mata dalam 3m papan anjal seirama untuk mengetepikan pasangan adik-beradik Singapura, Mark Lee-Timothy Lee (381.78). Gangsa milik penerjun Indonesia, Akhmad Sukran Jamjami-Putra Adiyto Restu dengan catatan 342.45 mata.
Tiga emas Tze Liang sebelum ini hadir dalam acara 3m papan anjal individu, selain 10m platform individu dan seirama. – UTUSAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s