SUKAN SEA 2015 : Sharmini pastikan skuad ekuestrian pulang dengan emas

11 Jun 2015 12:56 AM
R. Sharmini beraksi dalam rutin jumping dalam acara ekuestrian Sukan SEA 2015 di Kelab Turf Singapura semalam. BERNAMA
SINGAPURA – Sebaik sahaja disahkan muncul pemenang acara jumping individu, air mata ke­gembiraan mengalir di wajah R. Sharmini yang akhirnya memastikan skuad ekuestrian negara pulang dengan satu emas.
Terpaksa bertarung sehingga persembahan penentuan dengan penunggang Singapura, Catherine Chew selepas kedua-duanya mempamer tunggangan bersih, kekuatan mental Sharmini ternyata menjadi pemisah antara mereka.
Mengambil giliran terlebih dahulu melakukan tunggangan bersama kuda kesayangannya Arcado L, dia menunggang tenang untuk tidak melakukan sebarang kesilapan selain mencatat masa 35.90 saat.
Sebaik sahaja Catherine melintas garisan penamat, sorakan penyokong Malaysia menggamatkan suasana apatah lagi apabila penunggang Singapura itu pula hanya mampu mencatat masa 36.69 saat.
Pingat gangsa menjadi milik penunggang Thailand, Sailub Lertratanachai yang mengecewakan seorang lagi penunggang tuan rumah Predrag Marjanovic dalam penentuan show off.
Ketika ditemui pihak media, Sharmini tidak mampu menahan air mata gembiranya dan tidak percaya mampu mengalahkan Catherine yang lebih berpengalaman.
Kejayaannya itu menamatkan penantian Malaysia selama lapan tahun untuk meraih emas dalam acara berkenaan.
Kali terakhir Malaysia menang pingat emas acara jumping individu ialah pada 2007 di Korat, Thailand me­lalui Qabil Ambak.
“Sebenarnya saya bukanlah yang terbaik dalam situasi jump-off, namun segala-galanya menjadi dalam akhir perlumbaan, saya terkejut mampu memenanginya.
“Catherine sebenarnya seorang yang berpengalaman dan rentak kudanya jauh lebih baik tetapi mungkin hari ini ialah hari saya.
“Terima kasih kepada jurulatih peribadi Lars Bak Andersen, ibu bapa, adik saya yang menjadi penyokong nombor satu saya selama ini serta semua pengurusan ekues­trian,” katanya sambil menangis.
Dalam Sukan SEA 2011 di Indonesia, Sharmini menjadi sebahagian daripada pasukan jumping untuk meraih pingat gangsa tetapi pada kali ini dia boleh tersenyum dengan membawa pulang satu emas dan satu perak.
Mula berjinak-jinak dengan dunia ekuestrian sejak berumur enam tahun dan kini berkelana di bumi Eropah bagi mendapatkan pendedahan, Sharmini berharap satu hari nanti dia mampu melayak­kan diri ke Sukan Olimpik.
“Kelayakan untuk Sukan Olimpik Rio mungkin sudah tertutup, saya kini meletakkan sasaran mampu beraksi di Tokyo pada 2020 nanti,” katanya.
Secara keseluruhan, acara ekuestrian yang menutup tirai hari ini menyaksikan skuad negara memperbaiki pencapaian dua tahun lalu di Myanmar, tanpa mengambil kira acara endurance yang tidak dipertandingkan kali ini.
Mereka membawa pulang satu emas, satu perak dan satu gangsa dari Singapura berbanding hanya mendapat satu emas di Myanmar. – UTUSAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s