SUKAN SEA 2015 : Kutipan emas belum tersasar

Malaysia tambah 6 pingat, terjun lulus cemerlang
10 Jun 2015 2:03 AM
Ooi Tze Liang (kiri) dan Ahmad Amsyar Azman.

Muhammad Hakimi Ismail
Muhammad Rafiq Ismail
Tan Ing Yueh
Pandelela Rinong
SINGAPURA – Tambahan enam pingat emas yang diraih semalam menyaksikan sasaran kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA 2015 masih tidak tersasar, malah terjun menutup kempen dengan ‘kepujian’ selepas menyapu bersih semua lapan emas yang ditawarkan di Singapura.
Boling yang membuka tirai semalam turut bermula langkah kanan apabila menghadiahkan emas sulung, manakala gimnastik artistik dan pelayaran masing-masing menokok emas kedua mereka.
Bagaimanapun daripada enam emas yang diraih Malaysia semalam, kejayaan atlet olahraga, Muhammad Hakimi Ismail mengembalikan emas lompat kijang yang sudah 18 tahun hilang paling mencuri tumpuan.
Malah, Hakimi melakar kemenangan dengan penuh bergaya apabila memecah rekod kebangsaan dan rekod temasya. Catatan 16.76 meter yang dilakukannya membolehkan dia memperbaharui rekod lama Sukan SEA, 16.67m, selain memadam rekod kebangsaan, 16.44m.
Hakimi muncul atlet Malaysia pertama meraih emas lompat kijang lelaki Sukan SEA sejak kali terakhir Zaki Sadri melakukannya di Jakarta pada 1997.
Terdahulu, terjun melunaskan janji untuk menutup Sukan SEA tanpa melepaskan walau sebutir pun emas apabila menambah dua lagi menerusi Ooi Tze Liang-Ahmad Amsyar Azman dalam 3m papan anjal seirama dan Pandelela Rinong (10m platform individu).
Di Orchid Country Club, atlet remaja berusia 18 tahun, Muhammad Rafiq Ismail yang membuat penampilan sulung Sukan SEA menunjukkan aksi cemerlang untuk meraih emas pertama boling dalam saingan individu lelaki.
Sukan SEA Singapura turut menjadi pentas buat seorang lagi atlet remaja, Nur Shazrin Mohamad Latif untuk menyerlah apabila dia meraih emas acara pelayaran Laser Radial Perempuan (Bawah 19 tahun) .
Lagu Negaraku berkumandang buat kali kedua di gelanggang gimnastik artistik selepas Tan Ing Yueh menghadirkan emas tidak diduga dalam acara palang bertingkat individu wanita, biarpun tumpuan sebenar acara itu adalah rakan sepasukannya, Farah Ann Abdul Hadi.
Walaupun tiada lagi kilauan emas dapat dilihat daripada acara terjun, namun pungutan emas Malaysia dijangka tidak berhenti, malah skuasy, boling, olahraga, renang, pelayaran dan snuker bakal menjadi tumpuan hari ini.
Malaysia dijangka tidak menghadapi masalah untuk menguasai dua emas yang ditawarkan dalam skuasy dengan mempertaruhkan Sanjay Singh Chal dan Mohd. Addeen Idrakie dalam perseorangan lelaki serta Rachael Arnold dan Vanessa Raj menerusi perseorangan wanita.
Turut menjadi tumpuan hari ini pastinya pasangan Thor Chuan Leong-Moh Keen Hoo yang berentap dalam perebutan pingat emas snuker beregu lelaki, manakala boling cuba memburu dua emas yang ditawarkan dalam beregu lelaki serta wanita.
Selepas lima hari berlangsung, Malaysia kini mengumpul 21 emas, 26 perak dan 31 gangsa untuk kekal di tangga keempat pungutan pingat keseluruhan. Singapura terus mengungguli carta menerusi 52-44-54, diikuti Thailand (38-40-35) dan Vietnam (33-16-38). – UTUSAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s