POLITIK : Proulama kuasai pemilihan

05 Jun 2015 1:22 AM
KUALA SELANGOR 4 Jun – Datuk Seri Abdul Hadi Awang ‘mengetuai’ barisan golongan ulama menumbangkan kumpulan profesional dalam pemilihan Pas yang berlangsung di sini hari ini.
Dalam keputusan pemilihan yang diumumkan secara berperingkat-peringkat kira-kira pukul 10 malam, Abdul Hadi mengekalkan jawatan Presiden dengan memperoleh 928 undi bagi menewaskan pencabarnya, Ahmad Awang yang mendapat hanya 233 undi.
Ini merupakan kali pertama Abdul Hadi yang menduduki jawatan itu sejak 2002 dicabar.
Bagi jawatan Timbalan Presiden pula, Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menepati ramalan apabila mengalahkan penyandangnya, Mohamad Sabu atau Mat Sabu apabila memperoleh 881 undi.
Mat Sabu pula sekadar mendapat 279 undi.
Kemenangan Tuan Ibrahim disifatkan isyarat perwakilan yang mahukan ulama kembali menduduki kerusi nombor dua parti itu yang disandang oleh Mat Sabu sejak tahun 2011.
Kerusi Naib Presiden turut menyaksikan penguasaan golongan ulama apabila dua penyandang jawatan itu Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa tewas. Turut tewas Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar.
Ketiga-tiga kerusi Naib Presiden dimenangi oleh Idris Ahmad yang memperoleh 896 undi, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah (710 undi) dan Datuk Iskandar Abdul Samad (672 undi)
Gelombang penguasaan ulama sememangnya sudah dijangka apabila kelmarin calon-calon proulama di Dewan Pemuda Pusat dan Dewan Muslimat Pas Pusat mencatatkan kemenangan.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menewaskan Suhaizan Kaiat bagi jawatan Ketua Pemuda manakala Nuridah Salleh menguasai semula jawatan Ketua Dewan Muslimat selepas menewaskan penyandangnya, Siti Zailah Mohd. Yusoff.
Golongan proulama juga menguasai jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.
Turut tersingkir daripada kerusi itu ialah Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa, Hanipa Maidin, Dr. Hatta Ramli, Khalid Samad dan Dr. Dzulkefly Ahmad.
Kemenangan proulama dijangka memperkukuhkan dasar perjuangan Islam Pas dan membuka ruang kepada parti itu untuk lebih tegas mempertahankan prinsip khususnya dalam berhadapan dengan politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Sokongan padu kepada golongan proulama juga dianggap tindak balas ahli-ahli Pas terhadap kebiadapan DAP yang bertindak memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi tetapi masih terus mahu bekerjasama dengan Pas.
Sebanyak 1,162 daripada 1,189 perwakilan mengundi dalam pemilihan yang dianggap kali pertama menyaksikan pertembungan terbuka antara golongan proulama dan profesional.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s