SUKAN SEA 2015 : Skuad Kim Swee menang dalam gundah

MUHAMMAD DAYNE AZMIN DAN ZAZALI JAMIAN | 31 Mei 2015 12:16 AM
Pemain Malaysia, Mohd. Syafiq Ahmad (tengah) cuba merebut bola dari kawalan pemain Timor Leste, Rosa Ribeiro Paulo Helber dalam perlawanan Kumpulan B, Sukan SEA 2015 di Stadium Bishan, Singapura semalam. MINGGUAN/Abdul Razak Latif
SINGAPURA – Perlawanan yang sepatutnya mudah dihadapi skuad Bawah 23 negara hampir menjadi mimpi ngeri apabila bermain dengan sepuluh orang hampir 60 minit ketika menang 1-0 ke atas Timor Leste dalam saingan sulung Kumpulan B Sukan SEA 2015 di Stadium Bishan semalam.
Garang sepanjang setengah jam permainan, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee dikejutkan dengan pemberian kad merah kepada tonggak tengah Mohd. Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-32 yang didakwa menumbuk dan cuba meludah Fi­lipe Oliveira.
Walaupun pada awalnya pengadil Foo Chuan Hui dari Si­ngapura tidak memberikan sebarang hukuman kepada Nazmi, namun mengubah tindakannya setelah dimaklumkan oleh pegawai keempat perlawanan Yousef Al-Marzouq yang mengesan insiden itu.
Ketiadaan Nazmi jelas mengganggu mental rakan-rakannya yang sebelum itu memecah kebuntuan pada pada minit ke-11 menerusi percubaan jarak dekat D. Saarvindran.
Nazmi akan digantung dua perlawanan dan tidak akan beraksi dalam perlawanan penting, berdepan Vietnam dan Thailand selepas ini.
Jaringan tunggal negara tercipta hasil kerja keras Muhd. Nurridzuan Abu Hassan yang membawa bola dari sebelah kiri dan Mohd. Syafiq Ahmad berjaya mengumpan kepada Saarvindran yang melakukan sepakan leret menewaskan penjaga gol Ramos Maxanches.
Pada minit ke-15, Syafiq sepatutnya boleh menggandakan kelebihan skuad negara ekoran kecuaian pertahanan Timor Leste namun percubaan penye­rang Kedah itu ditepis biarpun hanya berdepan penjaga gol.
Ketandusan jaringan memaksa Kim Swee melakukan rombakan, memasukkan S. Kumaahran dan Nazirul Naim Che Hashim 10 minit selepas babak ke­dua bermula.
Bagaimanapun, situasi itu tidak merubah corak permainan skuad negara yang kelihatan hilang punca pada penghujung permainan.
Malah, skuad negara bernasib baik apabila penjaga gol Mohd. Farhan Abu Bakar menyelamatkan dua percubaan berbahaya melalui sepakan jarak jauh.
“Saya percaya kita boleh bermain dengan baik jika beraksi de­ngan 11 pemain.
“Jika insiden melibatkan Nazmi Faiz berlaku seperti didakwa, sudah tentu saya amat kecewa. Buat masa ini saya masih belum melihat rakaman insiden tersebut.
“Jika dia boleh dikenakan penggantungan tambahan, saya akan arahkan dia balik kerana tiada sesiapa pemain bintang di dalam pa­sukan ini.
“(Namun) bagi saya kemenangan ini amat penting kepada pasukan biarpun menang tipis,” kata Kim Swee.
Sementara itu, jurulatih Timor Leste, Fabio Da Silva tetap berpuas hati dengan komitmen barisan pemainnya meskipun tewas kepada Malaysia.
“Walaupun kalah tetapi saya puas hati dengan komitmen pemain saya.
“Saya juga amat kecewa dengan insiden meludah dalam perlawanan ini kerana dalam bola sepak pemain tidak sepatutnya berkelakuan sedemikian,” katanya. – MINGGUAN- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/skuad-kim-swee-menang-dalam-gundah-1.97416#sthash.zXOi14xf.dpuf

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s