SUKAN SEA 2015 : Malaysia bedil Filipina

Ujian terbesar adalah menentang Singapura, hari ini
02 Jun 2015 12:45 AM
PEMAIN Malaysia, Noramirah Dayana Noor Azhar (kiri) cuba menghalang percubaan pemain Filipina, Ana Thea Cenarosa dalam perlawanan pusingan awal bola jaring Sukan SEA Singapura di OCBC Arena , semalam. Malaysia menang besar 112 – 11.
SINGAPURA – Berdepan lawan yang pertama kali beraksi di pentas antarabangsa, skuad bola jaring negara memberi pengajaran berguna kepada Fi­lipina apabila membelasah mereka 112-11 pada aksi kedua Sukan SEA di OCBC Arena, semalam.
Kemenangan itu nyata menjadi tonik terbaik buat Malaysia sebelum berdepan ujian sebenar iaitu pasukan pilihan, Singapura hari ini.
Malaysia menjadi pasukan pertama yang berjaya meraih kemenangan melebihi 100 jaringan.
Sejak dari awal permainan lagi, pasukan negara yang diketuai Norashikin Kamalzaman menunjukkan belangnya apabila rakus membaham Filipina pada suku masa pertama dengan mendahului kedudukan 32-1.
Gandingan Norashikin dan Iz­yan Syazana Mohd. Wazir nyata tidak mampu dibendung oleh Filipina, apabila mereka berdua jarang melepaskan peluang yang terhidang dengan terus mengukuhkan cengkaman melalui keputusan 61-3 pada suku masa kedua.
Sebaik permainan memasuki suku masa ketiga, jurulatih, Aminah Asaari, merehatkan Norashikin dan Izyan untuk memberi peluang kepada Pow Mei Foong dan Noramirah Dayana Noor Azhar.
Perubahan itu langsung tidak menghalang Malaysia memungut jaringan demi jaringan untuk me­lebarkan jarak kepada 88-5.
Momentum skuad bola jaring negara kelihatan menurun sedikit pada suku masa keempat walaupun Norashikin dimasukkan dan situasi diambil kesempatan oleh Filipina yang berjaya menambah enam ja­ringan untuk menamatkan perlawanan dengan angka 112-11.
Berdepan Singapura hari ini, Aminah berkata, dia tetap mahu meletakkan sasaran menumpaskan tuan rumah walaupun saingan baru memasuki pusingan awal.
“Tiada istilah kami mengambil perlawanan itu sambil lewa kerana jika kami menang, ia sudah tentu menurunkan sedikit moral mereka jika mereka bertemu kami di perlawanan akhir nanti.
“Berdepan ratusan penyokong tuan rumah, itu tidak menggentarkan semangat kami untuk bermain di tahap sebenar dan dua kemenangan besar yang kami raih sebelum ini akan memberi keyakinan bagi menghadapi Singapura.
“Walaupun dua rekod tahun lalu kami kalah pada Kejohanan Asia dan Piala Nations, itu tidak bermakna kami tidak boleh kalahkan mereka kerana berdasarkan sejarah, kami selalu menewaskan Si­ngapura sebelum ini, “ katanya.
Pada Piala Nations Disember tahun lalu, Malaysia tewas 34-41 kepada Singapura, manakala pada Kejohanan Asia, September lalu, anak-anak buah Aminah kalah 39-46.
Sementara itu, Norashikin yang mencatat 63 jaringan dalam perlawanan dengan Filipina sangat berpuas hati dengan rekod jaringannya setakat ini dan berharap mampu meneruskan rentak tersebut.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s