Pilihan Malaysia elak dibelasah

Beri tentangan sengit sebelum kalah 1-2
MUHAMMAD DAYNE AZMIN DAN FADHILUL IZMEL ISHAK | 28 Mei 2015 12:48 AM
SHAH ALAM – Walaupun baru seminggu digabungkan, namun skuad Pilihan Malaysia berjaya mengelak daripada menjadi mangsa belasahan kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham apabila hanya tewas 1-2 di Stadium Shah Alam, semalam.
Keputusan Dollah Salleh untuk menggugurkan beberapa pemain tempatan dan memberi ruang kepada pemain import mungkin dikritik hebat, namun jelas keha­diran mereka semalam membantu pasukan negara untuk memberi tentangan lebih baik.
Bintang penyerang sensasi Tottenham, Harry Kane membuktikan kehebatannya apabila meledak dua gol pada minit ke-18 dan ke-43.
Jaringan tunggal Pilihan Malaysia pula disempurnakan oleh pemain pertahanan Perak, Thiago Junio.
Kane, 22, tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila menyempurnakan bola lantun selepas rembatan Benjamin Stambouli terdahulu terkena tiang gol.
Tidak mengenal erti putus asa Pilihan Malaysia melancar serangan bertali arus dan pada minit ke-32, Junior berjaya menyamakan kedudukan selepas menanduk masuk sepakan bebas Indra Putra Mahyuddin.
Selepas berjaya menyamakan kedudukan, anak-anak buah Dollah seakan-akan mendapat semangat untuk terus menghasilkan gol, namun percubaan cantik Paulo Rangel dari luar kotak penalti pada minit ke-37 dapat ditangkap kemas penjaga gawang Spurs, Hugo Lloris.
Ketika babak pertama berbaki dua minit, penyerang England, Kane sekali lagi meletakkan Spurs di hadapan selepas menerima hantaran daripada rakan sepasukan Thomas Carroll.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan sering melancarkan serangan, namun gagal membuahkan sebarang hasil.
“Secara keseluruhannya kombinasi antara pemain tempatan dan import amat baik.
“Saya lihat mereka mampu be­kerjasama dengan baik dan saya gembira dengan prestasi mereka pada malam ini.
“Bagi menjalani sesi latihan fasa kedua untuk menghadapi kempen pra Piala Dunia dan Piala Asia, saya akan bawa masuk semua pemain yang beraksi pada malam ini.
“Selepas perlawanan persahabatan menentang Hong Kong saya akan buat senarai akhir 23 pemain,” kata Dollah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s