Pilihan Malaysia elak dibelasah

Beri tentangan sengit sebelum kalah 1-2
MUHAMMAD DAYNE AZMIN DAN FADHILUL IZMEL ISHAK | 28 Mei 2015 12:48 AM
SHAH ALAM – Walaupun baru seminggu digabungkan, namun skuad Pilihan Malaysia berjaya mengelak daripada menjadi mangsa belasahan kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham apabila hanya tewas 1-2 di Stadium Shah Alam, semalam.
Keputusan Dollah Salleh untuk menggugurkan beberapa pemain tempatan dan memberi ruang kepada pemain import mungkin dikritik hebat, namun jelas keha­diran mereka semalam membantu pasukan negara untuk memberi tentangan lebih baik.
Bintang penyerang sensasi Tottenham, Harry Kane membuktikan kehebatannya apabila meledak dua gol pada minit ke-18 dan ke-43.
Jaringan tunggal Pilihan Malaysia pula disempurnakan oleh pemain pertahanan Perak, Thiago Junio.
Kane, 22, tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila menyempurnakan bola lantun selepas rembatan Benjamin Stambouli terdahulu terkena tiang gol.
Tidak mengenal erti putus asa Pilihan Malaysia melancar serangan bertali arus dan pada minit ke-32, Junior berjaya menyamakan kedudukan selepas menanduk masuk sepakan bebas Indra Putra Mahyuddin.
Selepas berjaya menyamakan kedudukan, anak-anak buah Dollah seakan-akan mendapat semangat untuk terus menghasilkan gol, namun percubaan cantik Paulo Rangel dari luar kotak penalti pada minit ke-37 dapat ditangkap kemas penjaga gawang Spurs, Hugo Lloris.
Ketika babak pertama berbaki dua minit, penyerang England, Kane sekali lagi meletakkan Spurs di hadapan selepas menerima hantaran daripada rakan sepasukan Thomas Carroll.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan sering melancarkan serangan, namun gagal membuahkan sebarang hasil.
“Secara keseluruhannya kombinasi antara pemain tempatan dan import amat baik.
“Saya lihat mereka mampu be­kerjasama dengan baik dan saya gembira dengan prestasi mereka pada malam ini.
“Bagi menjalani sesi latihan fasa kedua untuk menghadapi kempen pra Piala Dunia dan Piala Asia, saya akan bawa masuk semua pemain yang beraksi pada malam ini.
“Selepas perlawanan persahabatan menentang Hong Kong saya akan buat senarai akhir 23 pemain,” kata Dollah.

AFC : JDT berpesta ke suku akhir

MOHAMAD FAIZAL HASHIM | 28 Mei 2015 12:47 AM
PENYERANG JDT Safiq Rahim berjaya memperdayakan penjaga gol Ayeyawady United V.L. Hruaia pada perlawanan piusingan kedua Piala AFC di Stadium Larkin, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah tersendiri apabila mara ke suku akhir Piala AFC setelah membelasah wakil Myanmar, Ayeyawady United 5-0 di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, semalam.
Penyerang Argentina, Jorge Pereyra Diaz muncul wira Harimau Selatan apabila meledak dua gol selain membantu dua lagi jaringan bagi memberikan kemenangan selesa kepada tuan rumah.
Keputusan membawa masuk semula Diaz bagi memperkuatkan serangan JDT menjelang kempen Piala AFC adalah langkah bijak apabila penyerang itu mempamer aksi memukau dengan melakukan gerakan lincah yang mengkucar-kacirkan pertahanan lawan sebaik sahaja perlawanan bermula.
Ayeyawady yang turun tanpa beberapa tonggak utama dihukum Harimau Selatan seawal minit ke­dua hasil jaringan kapten, Safiq Rahim yang menewaskan penjaga gawang lawan setelah mendapat lorongan cantik Diaz.
JDT mempunyai beberapa peluang keemasan untuk menambah jaringan menerusi Luciano Figue­roa dan Mohd. Nazrin Mohd. Nawi namun gagal disempurnakan de­ngan baik.
Pasukan pelawat yang mempamer aksi kurang bertenaga hanya mempunyai satu peluang untuk menyamakan kedudukan, namun rembatan jarak jauh Pyae Phyo Oo sedikit tersasar.
Bersambung babak kedua, Harimau Selatan langsung tidak memberi ruang kepada lawan apabila terus menggandakan asakan sehingga berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-46.
Gerakan cantik dimulakan Diaz yang menyerang dari bahagian sayap kiri melepasi kawalan pemain pertahanan, Ebimo West Anderson sebelum melorong bola kepada Figueroa yang mudah menolak masuk menewaskan penjaga gol Vanlal Hruai.
Diaz kemudian menghadiahkan JDT gol ketiga menerusi gerakan solo menewaskan dua pemain pertahanan sebelum melepaskan rembatan deras menerjah gawang lawan pada minit ke-60.
Penyerang Argentina itu kemudiannya melengkapkan malam sempurna baginya apabila meledak gol kedua peribadi menerusi tandukan padu hasil sepakan sudut Safiq pada minit ke-74.