POLITIK : Jangan tunduk kepada tekanan – HADI PANDAI PELURU UTK PRU 14 MESTI DIPERTAHANKAN…

Nasihat Presiden Pas kepada Perdana Menteri
RADHUAN HUSSAIN | 13 Mei 2015 1:38 AM
ABDUL HADI AWANG
KUALA TERENGGANU 12 Mei – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyarankan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak agar tidak tunduk kepada sebarang tekanan yang mahukan beliau meletak jawatan kerana itu bukan jalan penyelesaian terbaik.
Abdul Hadi menegaskan, Perdana Menteri sebaliknya perlu memberi fokus untuk menangani secara kolektif beberapa isu yang dikaitkan dengan kelemahan, kesilapan sehingga tercetus masalah yang menyelubungi pentadbirannya ketika ini.
Menurutnya, selaras dengan sebuah negara demokrasi, kuasa bagi menentukan siapa yang berhak menduduki tampuk pemerintahan adalah di bawah kuasa rakyat dan bukannya ditentukan oleh mana-mana individu tertentu.
Malah, jelas beliau, Malaysia juga bukan sebuah negara yang mengamalkan dasar pemerintahan secara diktator sebaliknya ia diperintah oleh parti dan sekiranya berlaku kesilapan, ia perlu ditangani dengan sebaik-baiknya dengan mereka yang memerintah mengambil tanggungjawab bersama.
Beliau memberitahu, senario politik yang berlaku ketika ini seolah-olah mengulangi situasi yang pernah berlaku semasa era pemerintahan beberapa perdana menteri terdahulu termasuk di bawah kepe­mimpinan Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Saya rasa kita macam ulangi senario dulu jugalah, tiap-tiap perdana menteri akan timbulkan masalah masing-masing, daripada isu Perwaja, Maika Holdings, projek Pelabuhan Klang, KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), Bumiputera Malaysia Finance (BMF), Skyhawk dan banyak lagi.
“Tiap-tiap perdana menteri akan teruskan masalah ini maka kita ambil budaya supaya perdana menteri letak jawatan. Naik yang baharu dan buat masalah baharu balik. Itu satu budaya politik yang tidak sihat dan sebab itulah sepatutnya kita bukan tukar orang. Kalau ubah dasar maka dasarlah (ubah) dan begitu juga salah pendekatan, kena selesaikan masalah itu.
“Kalau tukar orang, perangai lama dan masalah apalah pula. Dulu masa Tun Mahathir, dia disuruh berhenti sebab ada masalah dan selepas dia berhenti, Abdullah naik dan ada pula cerita dia (Abdullah) dan selepas itu dia turun, ini pula ada (masalah semasa pemerintahan Najib). Ini satu budaya politik yagn memalukan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi rehat Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-13 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kemelut serta konflik yang melanda Barisan Nasional (BN) dan UMNO bertitik tolak pada pelbagai isu termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) sehingga mencetuskan ketegangan terbuka antara Najib dan bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir.
Abdul Hadi seterusnya berpendapat, semua pihak termasuk rakyat perlu memberi Najib peluang untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang melanda negara dan Perdana Menteri perlu mempertahankan kedudukannya itu sebagai pemimpin nombor satu negara.
“Ya, dia (Najib) tak perlu tunduk, biar dia selesaikan masalah. Kita tengok macam mana dia selesaikan masalah itu dan kalau silap, betulkan kesilapan itu. Jangan kita kerja gali lubang antara satu sama lain.
“Saya tak tahulah sama ada sengaja gali lubang atau buat lubang sendiri, itu kena ubah pendekatan lama kepada cara lebih baik,” ujarnya.
Ditanya adakah wajar Dr. Mahathir bertindak mengasak Najib berhubung perkara itu, Presiden Pas itu bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu menyalahkan sesiapa namun dalam sebuah negara demokrasi, ia perlu diserahkan kepada rakyat.
“Rakyat menghukum parti dan bukan hukum orang, kalau kita kata perdana menteri sekarang adalah masalah, yang dulu juga (perdana menteri terdahulu) ada masalah juga. Seolah-olah kita nak jadikan Melayu mudah lupa.
“Bukan Melayu saja, MIC (India) dengan Mika Holdingnya, Cina dengan isu Pelabuhan Klang, ini bukan cara politik kita. ikutlah cara politik sihat yang lebih demokratik, rakyat sendiri faham dan bukan dengan cara kita turunkan pemimpin satu demi satu dengan alasan masalah masing-masing. Turun satu pemimpin, naik yang lain masalah tetap terjadi,” jelasnya.
Kepada soalan lain sama ada pelbagai isu sengaja ditimbulkan dengan tujuan untuk menjatuhkan Najib, Abdul Hadi mengulangi pandangannya bahawa apa yang berlaku ketika ini menyamai dengan senario dahulu yang turut dilanda pelbagai isu termasuk Perwaja, Skyhawk dan sebagainya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s