TELCO : Harga pakej jalur 
lebar turun 14-57%

SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH | 16 April 2015 2:30 AM
AHMAD SHABERY CHEEK mengumumkan penurunan kadar caj bagi pakej jalur lebar di Menara KKMM, Putrajaya, semalam. Turut hadir Dr. Halim Shafie (dua dari kiri) dan wakil-wakil syarikat telekomunikasi. bernama
PUTRAJAYA 15 April – sebanyak enam syarikat penyedia jalur lebar utama di negara ini mengumumkan penurunan antara 14 hingga 57 peratus bagi kos pakej jalur lebar asas untuk perkhidmatan mudah alih dan tetap masing-masing.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, penurunan harga tersebut pada masa ini hanya melibatkan pakej jalur lebar asas untuk kedua-dua perkhidmatan tersebut.
Beliau berkata, pengurangan ketara itu merupakan komitmen kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebagai negara digital dan lebih ramai rakyat mendapat manfaat menerusi pelaksanaan tersebut.
“Syarikat penyedia perkhidmatan Celcom Axiata Bhd. (Celcom), Digi Telecommunications Sdn. Bhd. (Digi), Maxis Bhd. (Maxis) dan U-Mobile Sdn. Bhd. (UMobile) kini menurunkan harga pakej asas masing-masing kepada RM25 bagi data bulanan sebanyak 1GB dan sekurang-kurangnya 3G HSPA.
“Secara terperinci Maxis sebelum ini menawarkan perkhidmatan jalur lebar bagi pakej terbabit dengan harga RM30 kini menurunkan kepada RM25 iaitu penurunan sebanyak 20 peratus, Celcom menurunkan harga kepada RM25 (16.7 peratus), Digi kekal pada harga RM25 manakala UMobile turun daripada RM28 kepada RM25 (11 peratus),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengurangan harga untuk pakej asas jalur lebar mudah alih dan perkhidmatan tetap di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Seri Dr. Halim Shafie dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad.
Menurut Ahmad Shabery, bagi penyedia perkhidmatan jalur lebar talian tetap iaitu Telekom Malaysia (TM) dan TIME dotCOM Bhd. (Time dotCom) pula bersetuju untuk menawarkan pakej asas pada harga RM38 sebulan untuk 1Mbps dan kadar RM179 untuk perkhidmatan 10Mbps.
Katanya, sebelum ini harga semasa yang ditawarkan bagi kedua-dua pakej terbabit masing-masing ialah RM88 dan RM199.
Berikutan itu, katanya, penetapan harga terbaharu bagi pakej jalur lebar asas talian tetap itu kini lebih rendah sehingga 57 peratus daripada harga semasa.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, semua harga baharu itu akan berkuatkuasa selewat-lewatnya dalam tempoh dua bulan lagi bagi perkhidmatan jalur lebar mudah alih, manakala bagi perkhidmatan tetap dijangka mengambil tempoh lebih lama lagi.
Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memberi peluang kepada syarikat telekomunikasi terbabit membuat penukaran sistem dan perisian baharu.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan juga akan meneruskan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi terbabit pada masa hadapan supaya perkhidmatan jalur lebar yang disediakan berkualiti tinggi dan laju.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s