GST : Jangan tunduk dengan pengusaha restoran, hotel

FARHANA JONI 
DAN NAZWIN IZAN AHMAD NAZRI | 15 April 2015 1:42 AM
JACOB GEORGE
 S.M. Mohamed Idris
Datuk Yusoff Ismail 
Datuk Paul Selvaraj 
KUALA LUMPUR 14 April – Kerajaan tidak perlu membuang masa untuk mengkaji caj perkhidmatan yang dikenakan pengusaha restoran dan hotel terhadap pengguna, sebaliknya perlu bertindak tegas menghapuskan bayaran tersebut dengan segera.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamed Idris berkata, langkah itu perlu kerana masyarakat hari ini kerap mempersoalkan sikap kerajaan yang terlalu bertolak ansur terhadap pengusaha restoran, hotel dan syarikat telekomunikasi hingga membebankan mereka sebagai pengguna.
Katanya, pengusaha restoran dan hotel seolah-olah mengambil kesempatan terhadap ‘kelembutan’ kerajaan dengan memberi alasan caj perkhidmatan lima hingga 10 peratus yang dikenakan terhadap pengguna itu akan diberikan kepada pekerja.
“Tidak logik jika kerajaan menerima alasan pengusaha hotel dan restoran itu kerana kutipan bayaran itu tiada kena-mengena langsung dengan pengguna, sebaliknya terkandung dalam syarat serta perjanjian antara majikan dengan pekerja.
“Apabila caj perkhidmatan ini masih ada, masyarakat mula sangsi dengan matlamat cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana pada peringkat awal kerajaan mengatakan ini berperanan meringankan beban tetapi kini mereka perlu membayar dua cukai pula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Nege­ri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek bahawa kerajaan sedia menimbang untuk memansuhkan caj perkhidmatan 10 peratus dalam industri hotel dan makanan jika dilihat tidak adil kepada pengguna, semalam.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvaraj mencadangkan kerajaan menghapuskan terus caj perkhidmatan sebanyak 10 peratus itu dan memperkenalkan dasar satu harga bagi mengurangkan beban pengguna.
“Jumlah caj tersebut sepatutnya diberikan oleh pelanggan hanya jika mereka berpuas hati dengan kualiti perkhidmatan yang telah diberikan. Bukan hak pengusaha untuk menentukan kadarnya.
“Pemerhatian yang dilakukan oleh FOMCA sendiri juga mendapati, kebanyakan pengusaha tidak mempunyai perjanjian bersama dengan pekerja yang menyatakan secara jelas mengenai caj perkhidmatan.
“Caj yang dikutip tidak diberikan kepada pekerja, sebaliknya hanyalah menjadi pendapatan tambahan kepada pengusaha yang jelas tidak adil kepada pekerja dan pengguna,” katanya ketika dihubungi.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail pula berkata, orang ramai telah muak dengan kenyataan mengkaji yang sering dikeluarkan oleh kerajaan berhubung isu cukai perkhidmatan kerana sepanjang tempoh kajian itu dilaksanakan, rakyat te­rus terbeban.
Katanya, jika kerajaan telah se­bulat suara melaksanakan GST pada 1 April lalu, maka tiada sebab untuk mengkaji atau berbincang dengan pengusaha hotel, restoran dan syarikat telekomunikasi tentang caj perkhidmatan, sebaliknya perlu dihapuskan serta-merta.
“Dalam tempoh dua minggu pelaksanaan GST, kami menerima kira-kira 500 aduan orang ramai yang keliru dengan dua cukai yang dikenakan terhadap setiap pembelian, malah mempertikaikan apa kuasa kerajaan sebenarnya dalam menangani isu caj perkhidmatan ini kerana jelas membebankan pengguna, khususnya yang berpendapatan rendah,” katanya.
Di samping itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, alasan untuk mengkaji dahulu membuktikan kerajaan tidak bersedia melaksanakan GST kerana mereka seharusnya bersedia dan merancang dengan teliti serta mendapatkan maklumat statistik yang mencukupi.
Jelasnya, saranan untuk menimbang dan meneliti caj perkhidmatan adalah gimik kerajaan semata-mata dan membuang masa.
“Perkara ini tidak betul-betul digambarkan oleh kerajaan, dalam keadaan sekarang semua pihak terperangkap sama ada pengguna, ahli ekonomi dan juga pelancong. Saya mendapat pertanyaan daripada pelbagai pihak antarabangsa seperti Singapura, Filipina, Amerika Syarikat dan sebagainya yang bertanyakan tentang soal GST ini.
“Kastam tidak dapat jawab soalan, kredibiliti dan kualiti yang dikeluarkan mereka amat mendukacitakan selain tidak bersedia sepenuhnya. Alih-alih kita (persatuan pengguna) yang kena seperti ‘punching bag’,” katanya.
Pandangan itu turut disuarakan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang melihat caj per­khidmatan tidak lagi wajar dikenakan pada masa sekarang.
“Kalau dahulu diwujudkan se­bab gaji rendah iaitu RM450 sebulan, kerana itu kerajaan wujudkan perjanjian bersama (CA) tetapi sekarang gaji minimum adalah RM900. Oleh itu, sudah tidak ada keperluan untuk terus mengenakan caj perkhidmatan ini malah gaji pekerja seharusnya ditanggung oleh majikan bukan pengguna yang telah membayar untuk makan dan minum.
“Kerajaan seharusnya mengikut corak sendiri dan bukan berpandukan negara yang mengamalkan pelaksanaan cukai ini. Caj perkhidmatan memang tidak diperlukan dan seharusnya di buang terus daripada sistem kerajaan,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s