F1 : Hamilton menang di China, Rosberg berang

13 April 2015 12:45 AM
SHANGHAI – Lewis Hamilton membuktikan kehebatannya apabila menjuarai Grand Prix China, tetapi kemenangannya itu dicemari de­ngan kemarahan rakan sepasukan dalam Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg apabila persengke­taan lama kedua-dua pemandu itu meletus kembali semalam.
Lewis Hamilton menjulang trofi kejuaraan selepas memenangi Grand Prix China di Shanghai semalam. AFP
Dalam perlumbaan yang ber­akhir dengan kereta keselamatan memimpin saingan, pemandu Bri­tain tersebut melakar kemenangan kedua daripada tiga Grand Prix yang telah berlangsung tahun ini, sementara Rosberg di kedudukan kedua dan pelumba Ferrari, Sebastian Vettel di anak tangga ketiga.
Rosberg, yang menghamburkan kemarahan terhadap mekaniknya setelah tewas tipis semasa sesi kelayakan untuk merebut petak utama, pada satu ketika meminta Hamilton agar meningkatkan kelajuan jenteranya, setelah Vettel semakin menghampiri belakang pelumba Jerman itu.
“Saya tidak mengawal perlumbaannya, saya hanya menguasai perlumbaan saya sendiri. Saya langsung tidak diancam oleh Nico sepanjang saingan,” kata Hamilton ketika ditanya tentang arahan pa­sukannya agar meningkatkan kelajuan jenteranya.
Rosberg yang benar-benar marah membalas kembali kenyataan tersebut dan berkata: “Memang menarik dapat mendengar alasan daripada anda, Lewis yang menunjukkan anda sememangnya mementingkan diri sendiri.
“Memandu lebih perlahan daripada sepatutnya pada awal saingan telah membuka laluan kepada Sebastian untuk memintas saya. Keadaan itu benar-benar meletakkan diri saya dalam bahaya.”
Hamilton melebarkan rekod kemenangannya di China kepada empat kejuaraan, tetapi kejayaannya itu telah dibayangi pertelingkahan terbaharunya dengan Rosberg.
Vettel, yang mengejutkan Mercedes apabila memenangi saing­an di Malaysia dua minggu lalu, telah menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga, dengan pemandu kedua Ferrari, Kimi Raikkonen di tempat keempat.
Hamilton berada hampir lima saat di depan Rosberg sehinggalah pemandu Torro Rosso, Max Verstappen yang berdepan masalah teknikal ketika saingan berbaki dua lagi pusingan untuk tamat, telah memaksa kereta keselamatan ma­suk ke dalam litar.
“Kereta keselamatan masuk di hujung perlumbaan benar-benar tidak membantu sesiapapun,” kata Hamilton yang hanya berdepan masalah kokpit jenteranya yang terlalu panas.
Sementara itu, dua pemandu Williams, Felipe Massa dan Valtteri Bottas masing-masing menamatkan saingan di kedudukan kelima serta keenam. – AFP

Leave a comment