Ganti semula tanah rizab Melayu

Titah Sultan Selangor kepada kerajaan negeri
FAZRINA AYU RADUIAN | 31 Mac 2015 2:14 AM
SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH berkenan menerima teks titah baginda daripada Mohamed Azmin Ali sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga DUN Selangor di Shah Alam, Selangor, semalam. UTUSAN/IZHAM JAAFAR
SHAH ALAM 30 Mac – Sultan Selangor, Sultan Sha­rafuddin Idris Shah mahu kerajaan negeri segera menggantikan semula tanah rizab Melayu yang dibatalkan sebelum ini untuk tujuan pelaksanaan projek-projek pembangunan.
Menurut baginda, sebarang ben­tuk penggantian tanah baharu haruslah ‘serupa keadaannya’ dan mempunyai nilai pasaran yang kompetitif.
“Wajar diingatkan agar hak-hak orang Melayu dan bumiputera mesti dipertahankan termasuk jumlah keluasan tanah rizab Melayu selaras dengan Perkara 89, Fasal 3, Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian da­lam upacara perasmian Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-13 di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Se­langor, Mohamed Azmin Ali.
Berdasarkan Laporan Audit Negara 2013 Siri 2 yang dikeluarkan pada Jun tahun lalu, setakat November 2013 sehingga Februari 2014, sebanyak 38.6 peratus atau 1602.9 hektar tanah rizab yang dibatalkan status belum diganti di negeri Selangor.
Sementara itu, Sultan Sharafuddin meminta semua pihak tidak mempolitikkan isu perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air di negeri ini demi menjamin kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, baginda menitahkan agar perkara itu dimuktamadkan segera berdasarkan semangat dan terma perjanjian utama yang ditandatangani kerajaan ne­geri dan Persekutuan pada 12 September 2014.
Baginda turut bertitah supaya kerajaan negeri Selangor sentiasa bersedia dengan langkah-langkah terbaik dalam memastikan bekalan air bersih mencukupi untuk keperluan domestik dan industri.
“Beta yakin pendekatan bersemuka dan berbincang dapat menyelesaikan persoalan ini secara adil demi menjamin perkhidmatan air terawat yang lebih efisien dan mesra rakyat kepada seluruh warga negeri Selangor.
“Beta juga mahu memanda beta (Menteri Besar) meneruskan sikap tegas mempertahan kedaulatan negeri Selangor dan kepentingan rakyat,”
Dalam pada itu titah baginda, setiap rakyat di negeri ini mesti menikmati kehidupan yang berkualiti, rumah yang selesa dan mampu dimiliki khususnya dalam kalangan siswazah muda dan golongan pertengahan.
“Beta berkenan usaha kerajaan negeri untuk membina 15,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh tiga tahun dan dapat dilipat-gandakan dalam usaha memenuhi permintaan sebanyak 40,000 unit,” titah baginda.

HASUTAN : Tiga pengarang The Malaysian Insider ditahan

Disiasat mengikut Akta Hasutan
MASZUREEN HADZMAN | 31 Mac 2015 1:37 AM
AHMAD Fadli Shaari (depan, dua dari kiri) bersama ahli jawatankuasa Dewan Pemuda Pas menunjukkan salinan laporan polis terhadap The Malaysian Insider di IPD Kota Bharu, semalam. – UTUSAN /YATIMIN ABDULLAH
KUALA LUMPUR 30 Mac – Tiga pengarang The Malaysian Insider ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung beberapa laporan yang disiarkan dalam portal propembangkang itu.
Ketiga-tiga mereka masing-ma­sing merupakan pengarang bahasa Inggeris portal itu, Lionel Morais, 47, Pengarang Bahasa Melayu, Amin Shah Iskandar, 35, dan Pengarang Rencana serta Analisis, Zulkifli Sulong, 53.
Mereka ditahan semasa serbuan di pejabat portal itu di Mutiara Damansara, Petaling Jaya kira-kira pukul 5.45 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, ketiga-tiga mereka ditahan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut beliau, turut dirampas ialah komputer riba dan telefon bimbit.
“Serbuan dibuat bagi mendapatkan bahan-bahan berkaitan untuk membantu siasatan berhubung kenyataan berbaur hasutan yang dibuat portal propembangkang itu. Kesemua mereka ditahan di lokap Jinjang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitternya turut mengesahkan penahanan tiga pengarang terlibat.
“@PDRMsia sahkan bahawa tiga kakitangan The Malaysian Insider te­lah ditahan untuk siasatan. Siasatan bersama oleh PDRM dan @SKMM di bawah Akta Hasutan,” katanya.
Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan memberitahu sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat The Malaysian Insider berhubung laporan-laporan yang disiarkan dalam portal itu.
Ketua Komunikasi Strategik SKMM, Sheikh Ahmad Raffie Sheikh Abdul Rahman berkata, siasatan itu termasuk laporan kononnya Majlis Raja-Raja menolak cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
Menurutnya, siasatan itu dilakukan selepas Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja membuat laporan polis menafikan perkara itu, sementara banyak pihak turut mengeluarkan kenyataan bantahan terhadap portal tersebut.

Menteri Besar akur titah Sultan Selangor

31 Mac 2015 1:38 AM
SHAH ALAM 30 Mac – Kepentingan rakyat dan kedaulatan ne­geri Selangor akan diutamakan dan dipastikan terjamin dalam perjanjian penstrukturan air di negeri ini, kata Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.
MAXIMUS ONGKILI
Menurut Moha­med Azmin, beliau akan mengatur pertemuan dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili dalam kadar segera.
“Difahamkan beliau (Maximus) berada di Sabah beberapa hari dan sekembalinya beliau, saya akan tetapkan tarikh secepat mungkin di mana di peringkat pegawai telah mengadakan perbincangan sejak Isnin yang lalu.
“Selepas itu, saya akan bertemu dengan Menteri supaya perkara ini dimuktamadkan segera,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-13 oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.
Terdahulu, dalam titahnya, Sultan Selangor mahu semua pihak tidak mempolitikkan isu perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air di negeri ini demi menjamin kepentingan rakyat.
Mohamed Azmin berkata, kerajaan negeri komited untuk menamatkan perjanjian air dengan syarat kerajaan Persekutuan tidak berganjak dengan semangat, prinsip dan terma perjanjian utama yang telah ditandatangani.
“Perkara ini telah ditegaskan oleh Sultan Selangor supaya kerajaan negeri bertegas memelihara kedaulatan negeri dan kedua belah pihak perlu menghormati perjanjian yang telah ditandatangani demi kepentingan pengguna dan rakyat” ujarnya.
Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertegas akan mencari saluran alternatif bagi membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas petisyen pengampunan diraja oleh keluarganya ditolak.
“Saya akan berbincang dengan pihak keluarga dan pihak peguam Anwar untuk melihat apakah saluran lain yang boleh dikemukakan,” katanya






Aplikasi MyKira banding 
harga sebelum, selepas GST

31 Mac 2015 1:41 AM
HASAN MALEK (duduk) melancarkan Pusat Gerakan Antipencatutan dan Aplikasi MyKira GST di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad. – UTUSAN/RASHID MAHFOF
PUTRAJAYA 30 Mac – Orang ramai yang mahu membuat perbandi­ngan harga barang sebelum dan selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kini boleh berbuat demikian dengan mudah dan pantas menggunakan sistem aplikasi telefon mudah alih, MyKira GST.
Menteri Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, aplikasi yang dibangunkan pihak­nya dengan kerjasama MIMOS Bhd. dapat menyediakan kemudahan kepada pengguna untuk memban­dingkan harga barang selepas pelaksanaan GST pada 1 April ini.
Beliau berkata, antara ciri utama aplikasi tersebut ialah orang ramai dapat menyemak lebih 10,000 harga barangan yang berada di pasaran dan pada masa sama, pengguna juga boleh terus membuat aduan dengan menggunakan e-aduan yang terdapat dalam aplikasi terbabit.
“Menerusi MyKira pengguna yang kurang pasti harga sesuatu barang sebelum dan selepas GST boleh membandingkannya melalui aplikasi ini dengan hanya menggunakan tiga langkah sahaja dan sistem ini akan memberitahu julat harga sesuatu barang terbabit, sekiranya tiada masalah sistem ini akan menunjukkan tanda bagus.
“Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan sistem ini untuk terus melaporkan kepada Pusat Gerakan Anti Pencatutan (PGAP) sekiranya peniaga terbabit mengambil keuntungan secara berlebihan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan PGAP dan aplikasi MyKira GST di sini hari ini.
Menurut Hasan, buat masa sekarang sistem tersebut boleh dimuat turun menggunakan aplikasi Android sahaja, manakala aplikasi iOS hanya dapat dimuat turun selepas Rabu ini.
Dalam pada itu, Hasan berkata, pusat gerakan tersebut akan beroperasi selama 24 jam setiap hari bagi menerima aduan harga barang melalui telefon, saluran e-aduan dan media sosial selain pemantauan melalui siaran televisyen.
Katanya, pengguna yang mempunyai aduan boleh menghubungi terus talian hotline 1-800-886-800 atau talian 03-88826245 atau 03-88826088 dan setiap aduan akan direkod serta disalurkan kepada pegawai kementeriannya untuk diambil tindakan.
Hasan berkata, mana-mana peniaga yang didapati bersalah bakal didakwa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Kita tidak akan bertolak ansur lagi selepas ini terhadap mana-mana peniaga yang degil kerana kerajaan sudah melakukan penerangan melalui pelbagai media masa dan mustahil mereka tidak tahu, oleh itu saya nasihatkan penggguna supaya membuat aduan kepada kita untuk diambil tindakan.
“Sekiranya kesalahan dilakukan sangat berat mereka boleh didakwa di mahkamah khas jenayah yang ditubuhkan di lima zon iaitu di kawasan utara, selatan, timur, tengah serta Sabah dan Sarawak untuk diadili,” katanya.

HUDUD : Ahli Parlimen bukan Islam 
perlu beri laluan – Hadi

31 Mac 2015 2:16 AM
ABDUL HADI AWANG (dua kiri) bersama Mohamad Sabu (kiri), Mustafa Ali (dua kanan) dan Takiyuddin Hassan semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas, Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI
KUALA LUMPUR 30 Mac –Ahli-ahli Parlimen yang bukan beragama Islam perlu memberi laluan kepada Pas untuk membentangkan rang undang-undang persendirian berhubung pindaan bidang kuasa Mahkamah Syariah di Parlimen.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan itu selaras dengan semangat Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Menurut beliau, pada masa sama, Perlembagaan Persekutuan membenarkan agama-agama lain diamalkan secara bebas di negara ini.
“Adalah tidak wajar Perlembagaan kita tidak memihak kepada orang Islam untuk melaksanakan hukum syariat sendiri sedangkan agama lain bebas.
“Islam adalah agama Persekutuan. Ini percanggahan yang perlu diperbetulkan oleh semua pihak,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat di Pejabat Agung Pas di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Penolongnya, Datuk Takiyuddin Hassan.
Pada 18 Mac lalu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang memasukkan satu usul bagi membawa rang undang-undang persendirian untuk meminta Parlimen meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
Tindakan itu menyebabkan sekutu Pas, DAP membuat ketetapan memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi dan turut meminta beliau meninggalkan pakatan pembangkang jika mahu membentangkan rang undang-undang persendirian atas kapasiti Ahli Parlimen pakatan pembangkang.
Beliau menambah, semua ahli Parlimen yang beragama Islam seharusnya menyokong rang undang-undang persendirian tersebut tanpa mengira parti politik yang diwakili mereka.
“Bidang kuasa kerajaan negeri Kelantan memerlukan pindaan kepada Jadual Kesembilan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang tidak memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen,” jelasnya.
Abdul Hadi berkata, pindaan turut merangkumi kaedah sebatan yang bakal digunakan agar hukuman itu lebih berunsur mendidik pesalah.
Sementara itu, Takiyuddin memberitahu, pindaan yang dicadangkan itu bertujuan menambah bidang kuasa mahkamah syariah di seluruh negara termasuk di Kelantan.
“Pada masa ini, hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah ialah tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan,” ujarnya.
Jelas beliau, sebagai perban­dingan, Mahkamah Majistret mempunyai bidang kuasa untuk menjatuhkan hukuman lima tahun penjara, denda RM10,000 dan 12 sebatan.

F1 : Ferrari lebih bagus daripada Mercedes

27 Mac 2015 12:34 AM
Kimi RAIKKONEN menganggap prestasi buruk Ferrari ketika ini disebabkan mereka tidak bernasib baik kerana masalah teknikal.
SEPANG – Kimi Raikkonen percaya, pasukan Ferrari sebenarnya lebih bagus daripada pendahulu Formula Satu (F1) dunia ketika ini, Mercedes dan mereka hanya tidak bernasib baik apabila gagal menamatkan perlumbaan di atas podium dalam Grand Prix Australia dua minggu lalu.
Bekas juara dunia dari Finland itu menegaskan, pasukannya sudah bersedia untuk membuktikan kemampuan sebenar pada Grand Prix Malaysia di Sepang hujung minggu ini dan tekad untuk tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan di Melbourne.
Dalam perlumbaan pembuka tirai 2015 di Australia, Raikkonen bermula baik apabila berjaya menduduki tangga kelima sesi kelayakan, namun masalah jentera menyebabkan dia terpaksa menamatkan saingan di tempat ke-13.
Pelumba berusia 36 tahun itu berkata, dia mengalami masalah teknikal ketika melakukan hentian pit sehingga mengganggu pres­tasinya sepanjang perlumbaan.
“Dalam perlumbaan itu (Grand Prix Australia) saya fikir kami sebenarnya lebih baik berbanding pasukan Mercedes, namun di­sebabkan masalah teknikal yang timbul ketika saya melakukan hentian pit, selain beberapa kerosakan yang berlaku di awal saing­an, jadi sangat menyukarkan.
“Kami tidak menamatkan perlumbaan pada kedudukan yang baik, namun kami mempunyai cukup masa untuk memperbaiki keadaan. Kami cuba menamatkan saingan di kedudukan hadapan, tetapi jentera ketika itu tidak mengizinkan, apa pun setidak-tidaknya kami berada dalam kelompok yang bagus pada sesi kelayakan,” kata juara dunia 2007 itu.
Menurut Raikkonen lagi, dia berharap perlumbaan kali ini akan menyebelahi pasukannya, malah turut merasakan bahawa mereka adalah lebih baik daripada Mercedes.
“Saya harap nasib kami lebih bernasib baik berbanding di Melbourne. Seperti yang saya katakan tadi, kami memiliki kelajuan dan saya fikir semuanya berjalan dengan lancar cuma kami perlu mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan.
“Saya pernah mengalami beberapa kemalangan sebelum ini, namun ia sebahagian daripada perlumbaan. Jika anda melakukan kesilapan anda terpaksa berdepan dengannya.
“Jika anda tidak bersedia menghadapi risiko atau takut saya yakin masih ramai pelumba yang sanggup menggantikan tempat anda,” katanya lagi

F1 : Rosberg susun strategi terbaik

AIZAWATI AHMAD 
DAN FADHILUL IZMEL ISHAK | 27 Mac 2015 12:41 AM
NICO ROSBERG berjalan di paddock sebelum menyertai sidang akhbar di Litar Antarabangsa Sepang, semalam. Reuters
SEPANG – Pemandu Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg menyifatkan Litar Antrabangsa Sepang (SIC) sebagai litar perlumbaan terbaik untuk pasukan-pasukan menyusun strategi bagi melancarkan serangan masing-masing.
SIC yang merupakan litar perlumbaan sebenar dianggap oleh pemandu Jerman itu sebagai lokasi terbaik untuk pelumba memanfaatkan kesempatan me­mintas lawan masing-masing ketika saingan berlangsung.
Justeru, Rosberg berkata, amat penting untuknya mencatat keputusan baik dalam pusingan kelayakan dengan strategi yang tepat perlu dirancang bagi mendapatkan petak depan dalam perlumbaan sebenar nanti.
“Pusingan kelayakan amat penting untuk kami bersaing antara satu sama lain. Berdasarkan pengalaman tahun lalu, pemilihan tayar juga mempengaruhi keputusan perlumbaan, selain memanfaatkan kesempatan untuk memintas lawan.
“Persaingan hujung minggu ini mungkin peluang terbaik untuk kami menyusun strategi bagi melancarkan serangan ke atas pencabar kami,” katanya dalam sidang akhbar, di sini semalam.
Ketika ditanya tentang peluang pasukan pesaing merapatkan jurang dengan jentera Mercedes, Rosberg memberitahu, sukar untuknya mengulas mengenai perkara tersebut kerana jawapannya hanya akan diketahui apabila perlumbaan sebenar berlangsung.
“Sukar untuk saya katakan dengan keadaan litar di sini jurang akan dapat dirapatkan oleh pasukan lain, kita perlu tunggu dan lihat apa yang akan berlaku,” ujarnya.
Pemandu berusia 29 tahun itu turut meramal persaingan sengit daripada Kimi Raikkonen dan menganggap pelumba Ferrari tersebut sebagai ancaman terbesar buat pasukannya.
“Saya lihat Kimi sebagai ancaman terbesar buat kami, saya rasa Ferrari berjaya memperbaiki prestasi mereka dan dijangka mencatat keputusan lebih baik berbanding pencabar terdekat kami pada tahun lalu,” tambahnya.
NICO ROSBERG memandang pemandu McLaren, Fernando Alonso menjawab soalan wartawan dalam sidang akhbar di Litar Antarabangsa Sepang, semalam, – UTUSAN/RUSHDI SALLEH

Senarai barang dikecualikan GST

Menjelang pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan 1 April ini
HERMAN HAMID | 27 Mac 2015 1:13 AM
KUALA LUMPUR 26 Mac – Menjelang pelaksanaan cukai barangan dan perkhid­matan (GST) 1 April ini, Kementerian Kewangan hari ini memperluaskan lagi senarai barang dan perkhidmatan yang dikecuali­kan daripada cukai tersebut bagi memanfaatkan rakyat dan industri.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, senarai tersebut meliputi empat perkara iaitu bahan bacaan, ubat, yuran penyelenggaraan terma­suk sinking fund kediaman dan perkhid­matan pendidikan.
Menurut Kementerian Kewa­ngan, pengecualian GST kini diperluaskan kepada semua jenis bahan bacaan termasuk surat khabar manakala majalah dan buku-buku lain yang bukan merupakan bahan bacaan dikenakan GST.
Kata kenyataan itu, langkah ini diharap dapat memastikan bahan bacaan yang dikecualikan GST tidak akan mengalami sebarang kenaikan dan seterusnya dapat me­ningkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat.
Selain itu, bilangan ubat yang dikecualikan GST di bawah Senarai Ubat-Ubatan Penting Nasional diperluaskan daripada 2,900 kepada 4,215 jenama ubat untuk memastikan ubat-ubatan di bawah senarai ini dapat meliputi semua dos dan kaedah pengambilan.
“Malah Kementerian Kewangan juga akan mengkaji cadangan Kementerian Kesihatan untuk memperluaskan lagi jenis ubat bagi penyakit tertentu untuk dikecualikan GST,” kata kenyataan itu.
Di samping itu, Kementerian Kewangan memaklumkan, yuran penyelenggaraan dan sinking fund yang sebelum ini hanya dikecuali­kan GST ke atas rumah kos rendah dan kos sederhana rendah kini turut diperluaskan meliputi semua jenis bangunan kediaman yang dipegang di bawah hak milik strata.
Perkhidmatan pendidikan yang dikecualikan daripada GST turut diperluaskan meliputi pendidikan kemahiran yang disediakan oleh penyedia latihan kemahiran yang menjalankan program yang diluluskan dan ditauliahkan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652).
Selain itu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan itu turut memberi penjelasan berhubung empat perkara iaitu GST ke atas perkhidmatan kesihatan, pertubuh­an bukan kerajaan (NGO) terma­suk institusi keagamaan, GST di zon perdagangan bebas dan gudang, serta barang yang dikecualikan cukai tersebut.
Menurut Kementerian Kewangan, perkhidmatan jagaan kesihatan oleh hospital, klinik, pusat rawatan dialisis dan seumpanya tidak dikenakan GST namun GST akan dikenakan ke atas caj rawatan atau perkhidmatan rundingan yang diberikan oleh doktor bebas (independent doctor) yang tidak berdaftar sebagai kemudahan jagaan kesihatan.
“Di dalam membantu kemudah­an jagaan kesihatan swasta untuk mengurangkan kos untuk menyediakan perkhidmatan jagaan kesihatan, sebanyak 120 jenis peralatan perubatan yang dibeli oleh hospital, klinik atau mana-mana kemudahaan jagaan kesihatan swasta diberi pelepasan GST,” kata kenyataan itu.
Selain itu, Kementerian Kewangan turut menjelaskan barang yang dikecualikan GST termasuk susu formula bayi di bawah umur 36 bulan, semua jenis beras dan gula.
Sementara itu, tambah Kementerian Kewangan, bagi aktiviti NGO dan institusi keagamaan yang terlibat sepenuhnya di dalam aktiviti kebajikan atau keagamaan juga tidak dikenakan GST.
“Mengenai layanan GST di zon perdagangan bebas dan gudang, secara prinsipnya, pengenaan GST ke atas perkhidmatan yang dibekalkan tidak akan menambahkan kos perniagaan kerana apa-apa GST yang dibayar boleh dituntut semula sebagai kredit oleh syarikat yang berdaftar.
“Penelitian semula sedang dijalankan dan secara prinsipnya beberapa jenis perkhidmatan yang digunakan di dalam kawasan berikut akan diberi layanan khas. Langkah ini bagi memastikan aktiviti perniagaan yang dijalankan di dalam kawasan tersebut adalah kompetetif dan selaras dengan amalan di pe­ringkat antarabangsa.
“Keputusan mengenai jenis perkhidmatan yang akan diberi pelepasan GST akan dimaklumkan kepada pihak industri,” ujar kenya­taan itu.

POLITIK : Pas sifatkan DAP berbohong

26 Mac 2015 2:11 AM
KOTA BHARU 25 Mac – Pas menyifatkan sekutunya, DAP sebagai ‘berbohong’ apabila mendakwa tidak diberikan kefahaman secukupnya berhubung isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
Mohamed Fadzli Hassan
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadz­li Hassan berkata, tanggapan tersebut tidak betul kerana sudah beberapa kali penjelasan tentangnya diberikan sebelum ini.
Justeru kata­nya, beliau yakin kepemimpinan DAP sudah jelas berkaitan isu tersebut dan tidak perlu lagi mempertikainya selepas Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 ( Pindaan 2015) diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan baru-baru ini.
“Saya sendiri sudah tiga kali bersama-sama pimpinan Pas Pusat serta kerajaan negeri berjumpa mereka bagi menjelaskan berkaitan hudud.
“Bermula di pejabat DAP di Cheras, semua pimpinan atasan DAP serta PKR hadir dan dipengerusikan sendiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kemudian di Pejabat Agung Pas dan akhir sekali di bangunan Parlimen baru-baru ini. Pimpinan lain seperti Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah serta Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan tidak kurang daripada empat kali hadir.
“Bagi saya pimpinan pakatan pembangkang sudah jelas tentang hudud dan pendirian kita. Pada perjumpaan terakhir di Parlimen baru-baru ini tidak ada pun keputusan dibuat supaya Pas menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 ( Pindaan 2015) di DUN Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai tindak balas terhadap keputusan DAP semalam yang memutuskan hubu­ngan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan isu pelaksanaan hudud di Kelantan.
Susulan keputusan tersebut menyebabkan terdapat dalam kala­ngan masyarakat yang meletakkan kesalahan terhadap Pas kononnya gagal memberi kefahaman sejelas­nya kepada DAP berkenaan hudud, sekali gus menimbulkan kemelut di antara kedua-dua parti itu.
Sementara itu, Mohamed Fadzli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi negeri berkata, sebahagian daripada pe­mimpin pakatan pembangkang itu dengan tegas menolak pelaksanaan hudud dalam setiap kali perjumpaan.

POLITIK : DAP dianggap putus dengan Pas – Haron Din

Pakatan pembangkang bakal berkecai
MAISARAH SHEIKH RAHIM | 26 Mac 2015 2:13 AM
KUALA LUMPUR 25 Mac – Keputusan DAP memutuskan hubungan dengan Pre­siden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dianggap amat melampau sekali gus memberi isyarat hubungan pakatan pembangkang bakal berkecai.
Harun Din
Perkara itu disua­rakan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang turut menyelar tindakan DAP menggelarkan Abdul Hadi sebagai pengkhia­nat kerana ia tidak patut dikeluarkan oleh rakan sekutu parti sendiri sedangkan orang biasa pun tidak mengeluarkan perkataan seumpama itu.
Beliau turut mempersoalkan kewajaran DAP berbuat demikian seperti mahu mengajar Pas seolah-olah mengarahkan parti itu untuk menukarkan Presiden jika mahu terus kekal dalam pakatan pembangkang.
“Adakah pada saat-saat seperti ini ketika kita semua mahu per­ba­i­ki semua keretakan, tiba-tiba DAP buat kenyataan yang meluaskan retak itu, memutuskan hubungan dengan Presiden mengisyaratkan kepada pakatan akan berpecah.
“Apa yang nyata bukan kita memulakan masalah keretakan ini, tidak fahamkah DAP bahawa Pre­siden adalah sebahagian dalam parti dan parti merupakan sebahagian Presiden, jadi mana mungkin dipisahkan? Kalau tidak mahu berhubung dengan Pre­siden nak berhubung dengan siapa?
“Parti di bawah arahan Presiden, amat pelik tindakan DAP itu, kita nampak isyaratnya adalah ke arah itu (berpecah). Apa maknanya kalau putus kepala kalau ekor tidak putus? Putus kepala maknanya mati, ertinya habis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
DAP semalam mengambil keputusan untuk memutuskan hubu­ngan dengan Abdul Hadi berikutan tindakan Pas bertegas mahu me­laksanakan hudud di Kelantan dan pada masa sama, parti itu turut menuduh Abdul Hadi sebagai pe­mimpin yang tidak bermaruah dan tidak jujur.
Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, keputusan sebulat suara dibuat oleh DAP kerana menganggap Abdul Hadi ‘pengkhia­nat’ dalam pakatan pembangkang kerana membentangkan usul rang undang-undang persendirian ber­kenaan hudud ke Parlimen tanpa pengetahuan parti itu.
Dalam pada itu, tokoh ulama berpengaruh itu berkata, Pas sudah berkali-kali menyatakan kepada DAP bahawa jika mereka merasakan tidak perlu lagi kepada pakatan, maka parti itu dipersilakan keluar daripada gabungan kerjasama antara mereka. Menurut beliau, DAP perlu membuat keputusan sebegitu tanpa lagi berdolak-dalik mencari pelbagai alasan dengan menjadikan isu hudud sebagai modal pekikan mereka.
Sedangkan Pas, katanya, meng­anggap pakatan masih lagi berguna dan boleh dipertahankan buat ketika ini sehingga keadaan menentukan sebaliknya.
“Kalau DAP rasa mahu keluar, keluar sahaja dan kita tunggu senario politik baharu,’’ katanya.
Mengulas lanjut, Haron berkata, DAP diminta merujuk semula keputusan pakatan pembangkang dalam soal hudud iaitu ketiga-tiga parti bersetuju dalam tidak bersetuju tentang agenda perjuangan Pas tersebut.
“Tidak mengapalah kalau mereka menentang hudud tetapi ja­nganlah sampai buat tuduhan begitu yang kurang sopan,” katanya.