PARLIMEN : Waspada propaganda militan

Jangan terpedaya, salah guna konsep jihad – Tuanku Abdul Halim
10 Mac 2015 12:58 AM
TUanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan bergambar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia (kiri) dan isteri, Puan Sri Hadijah Teng Abdullah (kanan) dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang (dua dari kiri) dan isteri, Puan Sri Sharifah Rogayah Syed Jaffar (dua dari kanan) sempena istiadat pembukaan rasmi mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. –BERNAMA
KUALA LUMPUR 9 Mac – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah meminta rakyat berwaspada dengan propaganda kumpulan militan agar tidak terpedaya dan menyalahgunakan konsep jihad atas nama Islam.
Seri Paduka bertitah, mereka perlu sentiasa mengawasi anggota keluarga masing-masing serta bersama-sama menghayati ajaran Islam sebenar.
“Beta menyambut baik usaha berterusan untuk memperkukuh kawalan keselamatan dan ketente­raman awam khususnya menangani ancaman pengganas di Sabah dan membendung penularan fahaman ekstrem dalam kalangan rakyat se­perti militan Islamic State (IS).
“Lanjutan daripada pembenta­ngan Kertas Putih berhubung ancaman militan, kerajaan juga bercadang mewujudkan undang-undang berhubung antikeganasan,” titah Seri Paduka ketika merasmikan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen Ke-13 di sini hari ini.
Seri Paduka turut menggesa semua anggota Parlimen menjadikan mesyuarat Parlimen ini sebagai waktu terbaik untuk membuka lembaran baharu dengan niat dan tekad yang positif setelah negara mengharungi pelbagai cabaran serta dugaan sepanjang 2014.
Sepanjang tahun lepas, negara diuji dengan beberapa peristiwa yang tidak diduga seperti tragedi melibatkan pesawat MH370 dan MH17 milik Malaysia Airlines serta bencana banjir besar luar biasa di beberapa negeri.
“Beta dan Raja Permaisuri Agong sama berduka dan berdoa supaya anggota keluarga mangsa tragedi pesawat tersebut mendapat ketenangan dan memperoleh penyelesaian terbaik,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka berdua juga berdoa supaya mangsa banjir tabah menghadapi ujian.
“Beta berharap segala ujian yang ditempuhi lebih menguatkan Malaysia sebagai satu negara bangsa yang berdaulat demi masa depan yang lebih sejahtera,” titah Yang di-Pertuan Agong.
Tuanku Abdul Halim berharap proses bantuan dan pemulihan semula infrastruktur di kawasan terlibat banjir dapat dilaksanakan dengan segera termasuk pembinaan rumah kekal dan pembaikan rumah yang rosak teruk akibat musibah itu.
Seri Paduka turut menzahirkan rasa bangga dan mengucapkan penghargaan kepada semua yang telah menunjukkan semangat kesukarelawan yang tinggi dan me­nyumbang bantuan kepada mangsa banjir.
Titah Tuanku Abdul Halim, kerajaan Persekutuan dan negeri serta semua pihak di peringkat akar umbi wajar sentiasa bersiap sedia dalam pengurusan bencana untuk bersama menghadapi apa jua musibah yang mendatang dengan lebih berkesan.
Dalam pada itu, Seri Paduka menasihatkan golongan yang gemar mengadu-domba dan menyebar fitnah dalam kalangan masyarakat termasuk di media sosial supaya menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
Titah Seri Paduka, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap pihak berkenaan bagi memastikan keharmonian dan kerukunan hidup antara rakyat pelbagai agama, kaum dan budaya di negara ini terpelihara.
Tuanku Abdul Halim turut bertitah menegaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan hendaklah dipatuhi dan tidak dipersoal manakala agama lain bebas diamalkan. – BERNAMA
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s