TIBAI dibubar selepas Anwar dipenjara

Masa terbaik Azmin ambil alih kepemimpinan PKR
MOHD. ASRON MUSTAPHA | 12 Februari 2015 1:48 AM
MUHAMMAD Zahid Md. Arip (kanan) mengumumkan pembubaran pertubuhan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) setelah Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara lima tahun di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, semalam. – UTUSAN /Hafiz Johari
KUALA LUMPUR 11 Feb. – Sekarang adalah waktu paling sesuai untuk Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, melakukan gerakan politik bagi mengambil alih kepemimpinan parti itu daripada Presiden, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Zahid Md. Arip berkata, ketiadaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihukum penjara lima tahun atas kesalahan liwat kini membuka seluas peluang untuk Azmin meruntuhkan dinasti Ketua Pembangkang itu dalam PKR.
Katanya dalam politik, jika Azmin lambat menggunakan peluang yang terhidang itu, dibimbangi kebarangkalian untuk beliau mendaki puncak tertinggi PKR sebagaimana diimpinya, akan terhalang kerana sudah pasti kumpulan pro-Wan Azizah tidak akan berdiam diri.
“Sebagai seorang berkuasa di Selangor dan berjawatan Timbalan Presiden, saya galakkan supaya Azmin bertindak segera meruntuhkan dinasti Anwar dalam PKR kerana adalah tidak mustahil selepas ini, calon di Permatang Pauh juga ahli keluarga Anwar.
“Jika itu berlaku, semakin sukarlah untuk Azmin memenuhi impiannya menjadi Presiden PKR, sesuatu yang telah sekian lama menjadi idamannya tetapi terhalang kerana Anwar ada,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengumumkan pembubaran pertubuhan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu, berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan penjara lima tahun ke atas Anwar kerana meliwat.
Menurut Muhammad Zahid, beliau mendapat maklumat bahawa ramai dalam kalangan pemimpin PKR gembira dengan hukuman penjara yang dikenakan ke atas Anwar, walaupun terdapat segelintir daripada mereka cuba memperlihatkan rasa sedih dengan mengecam kerajaan.
“Ramai pemimpin dalam PKR ini, kesedihan yang mereka paparkan apabila Anwar dihukum penjara hanyalah lakonan kerana sebenarnya mereka gembira. Ini kerana setelah Anwar terpaksa meringkuk dalam penjara, gerakan politik mereka akan lebih berjaya,” katanya.
Mengenai pembubaran TIBAI pula beliau berkata, kewujudan pertubuhan itu tidak lagi relevan selepas Anwar dipenjarakan kerana objektif TIBAI ditubuhkan pada 22 April 2012 adalah bagi mendedahkan kepada rakyat siapa sebenarnya Ketua Pembangkang tersebut.
Bagaimanapun katanya, beliau dan bekas Ahli Majlis Syura TIBAI yang rata-rata merupakan bekas ahli dan penyokong kuat PKR ketika zaman reformasi akan terus berjuang menggunakan kapasiti peribadi, untuk menyedarkan rakyat mengenai keburukan pembangkang.
“Kami berpendapat tugas kami untuk menyedarkan rakyat mengenai siapa sebenarnya Anwar sudah selesai, walaupun tidak sebesar mana sumbangan itu tetapi jauh di sudut hati, kami semua berpuas hati dengan apa yang telah diperjuangkan selama ini,” katanya.
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s