Anak Seberang: Jalan untuk perkahwinan sejenis dibenarkan sudah d…

Anak Seberang: Jalan untuk perkahwinan sejenis dibenarkan sudah d…

Advertisements

Acer Malaysia perkenal tiga model baharu telefon pintar

RABU, 19 NOVEMBER 2014 @ 2:13 PM
MODEL menunjukkan model baharu telefon pintar keluaran Acer yang dilancarkan di Bangsar, Kuala Lumpur, semalam. – Foto Muhd Asyraf Sawal
KUALA LUMPUR: Acer Malaysia memperkenal tiga model telefon pintar baharu Acer Liquid X1, Liquid Jade dan Liquid Z500.
Acer dalam satu kenyataan berkata telefon pintar berkenaan didatangkan dengan ciri-ciri khas tersendiri.
Acer Liquid X1 menawarkan prestasi tinggi, peralihan yang lancar dan antara muka yang dijana oleh ‘octa-core’ 1.7GHz dan pemproses grafik ‘quad-core’.
Acer Liquid Jade yang memenangi anugerah sebelum ini, memiliki ciri-ciri yang anggun, sentuhan yang lebih lembut dan reka bentuk melengkung dengan dihiasi bingkai ‘bezel’.
Acer Liquid Z500 pula lebih nipis dan selesa untuk dipegang, memiliki pembesar suara hadapan yang amat berkuasa dan Definisi Tinggi (HD), sesuai untuk hiburan.
Kedua-dua, Acer Liquid X1 dan Liquid Jade diperkenalkan awal tahun ini di pameran Computex 2014, Taiwan manakala Acer Liquid Z500 diperkenalkan di Berlin, Jerman ketika IFA 2014.
Acer Liquid X1, Liquid Jade dan Liquid Z500 masing-masing datang dengan tanda harga RM999, RM799 dan RM499, boleh didapati daripada penjual utama Acer di seluruh negara. – BERNAMA
Acer Liquid Z500

CAF 2015 : Piala Negara-Negara Afrika: Guinea layak, Nigeria tersingkir

KHAMIS, 20 NOVEMBER 2014 @ 8:12 AM
ABUJA: Negara yang sedang dilanda wabak Ebola, Guinea mengiringi Ivory Coast, Mali, Ghana dan Republik Demokratik Congo apabila melayakkan diri pada saingan Piala Negara-Negara Afrika
2015 tetapi nasib malang menimpa juara bertahan, Nigeria apabila tersingkir.
Pada akhir peringkat kelayakan menyaksikan Nigeria seri 2-2 ketika menentang Afrika Selatan di gelanggang sendiri, Uyo dan seterusnya tersingkir apabila menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan A.
Congo pula yang menang 1-0 ke atas Sudan mengesahkan tempat sebagai naib juara kumpulan dan tiket ke pusingan akhir. Slot terakhir disambar Republik Demokratik Congo sebagai pemenang tempat ketiga.
Pasukan yang sudah melayakkan diri sebelum perlawanan terakhir peringkat kelayakan itu ialah Algeria, Burkina Faso, Cameroon, Cape Verde Islands, Congo Brazzaville, Gabon, Senegal, Afrika Selatan, Tunisia dan Zambia.
Equatorial Guinea pula layak secara automatik sebagai tuan rumah.
Apapun, kejutan terbesar ialah kegagalan Nigeria yang dianggap negara paling popular di rantau itu.
Tokelo Rantie meletakkan Afrika Selatan di depan ketika berdepan anak didik Stephen Keshi pada minit ke-42 apabila dia melepasi halangan Azubuike Egwuekwe dari sebelah kiri sebelum merembat melepasi jangkauan penjaga gawang, Vincent Enyeama.
Rantie menambah jaringan kedua peribadi pada minit ke-48 apabila memperdaya pertahanan Nigeria sebelum menyepak masuk.
Nigeria merapatkan jurang pada minit ke-68 menerusi Sone Aluko selepas memanfaatkan lantunan bola dari sepakan Ike Uche yang terkena palang post.
Pemain sayap Hull City itu menyamakan kedudukan untuk tuan rumah pada minit terakhir perlawanan tetapi sudah terlambat buat juara bertahan itu.
Afrika Selatan pula terpaksa bermain dengan 10 orang apabila Reneilwe Letsholoyane dibuang padang pada minit ke-74.
Sementara itu, Guinea membuktikan wabak Ebola tidak menghalang untuk mara pada kejohanan itu tahun depan.
Biarpun terpaksa bermain di Maghribi, mereka mempamerkan aksi terbaik apabila menewaskan Uganda 2-0. – AFP
PENYERANG Afrika Selatan, Moeketsi Sekola (kiri) bersaing dengan pemain Nigeria, Omatsone Aluko pada perlawanan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika 2015 di Stadium Akwa Ibom, Uyo, Nigeria, hari ini. – Foto AFP

Kemasukan pertama pelajar UiTM Raub November tahun depan

19 November 2014 12:41 AM
Shahiruddin Ab. Moin (dua dari kanan) melihat pelan pembinaan kampus UiTM Raub, Pahang, baru-baru ini.
RAUB 18 Nov. – Pembinaan Kampus Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Raub bernilai RM230 juta dijangka siap lebih awal pada Julai tahun hadapan berbanding jadual asal pada Oktober 2015.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, proses pembinaan yang dimulakan pada November 2012 berjalan dengan lancar di mana sebanyak 70 peratus pembinaan telah siap setakat ini.
“Kita berpuas hati dengan perlaksanaan projek yang setakat ini berjalan dengan lancar dimana lebih cepat sebanyak kira-kira 15 peratus atau pun 75 hari.
“Jadi kita menjangkakan projek ini akan diserahkan pada Oktober tahun depan sebelum kemasukan pelajar pertama pada 1 November 2015,” katanya selepas melakukan lawatan di tapak projek UiTM Raub di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengarah Projek Utusan Intelek Sdn. Bhd., Mohd. Khalil Dan dan Pegawai Daerah Raub, Khairul Anuar Mahmood.
Menurut Shahiruddin, kampus yang mampu memuatkan sehingga 3,000 pelajar itu akan menawarkan tiga bidang pengajian utama iaitu Fakulti Sains dan Pentadbiran, Fakulti Sains dan Matematik dan Fakulti Pengurusan.
Justeru, beliau berharap kampus berkenaan bukan sahaja dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar setempat tetapi mampu melonjakkan lagi ekonomi penduduk setempat.
“Jadi saya berharap peluang perniagaan di dalam kampus akan turut diberikan kepada penduduk setempat selain pembinaan kawasan perniagaan di luar kampus.
“Saya juga berharap penduduk setempat akan mengambil kesempatan dengan merebut pelbagai peluang yang ada bagi meningkatkan pendapatan masing-masing,” ujarnya.


– See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/kemasukan-pertama-pelajar-uitm-raub-november-tahun-depan-1.26292#sthash.am8PIZRF.dpuf


Istiadat Konvokesyen UiTM ke-81 Sabtu ini

ABDUL RAZAK IDRIS | 18 November 2014 1:51 AM
SHAH ALAM 17 Nov. – Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan melangsungkan Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-81 bermula dari 22 November hingga 9 Disember depan.
Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat UiTM, Alfina Bakar berkata, istiadat itu akan menyaksikan sebanyak 31,532 graduan UiTM di seluruh negara menerima pengiktirafan di atas kecemerlangan mereka dalam pelbagai bidang pengajian meliputi doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma.
Katanya, sebanyak 52 graduan akan menerima PhD manakala 1,170 graduan akan menerima ijazah sarjana. Sebanyak 13,370 penuntut pula bakal menerima ijazah sarjana muda, diikuti 16,699 (diploma), diploma lepasan ijazah (48) dan profesional (193).
“Sebanyak 17,134 penerima ijazah dan diploma merupakan penuntut di kampus induk di sini manakala sebanyak 14,398 penuntut dari kampus cawangan di seluruh negara bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing.
“Penganugerahan ijazah itu akan di­sempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang juga Canselor UiTM yang mana Seri Paduka berkenan menyampaikan ijazah tersebut pada sidang pertama istiadat konvokesyen itu,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, Seri Paduka juga berkenaan menyampaikan Anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor; Anugerah Pingat Emas Naib Canselor dan Anugerah Tun Abdul Razak kepada graduan cemerlang sempena istiadat konvokesyen berkenaan yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM.
Selain itu, anugerah lain yang akan turut disampaikan pada istiadat konvokesyen tersebut adalah Anugerah Cemerlang Tan Sri Arshad Ayub; Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang); Anugerah Cemerlang Pharmaniaga; Anugerah Pingat Emas Yayasan Budiman UiTM; Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Hashim; Anugerah Kepimpinan Cemerlang dan Anugerah Hadiah Buku MTDC.


– See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/istiadat-konvokesyen-uitm-ke-81-sabtu-ini-1.26031#sthash.31VUtyVn.dpuf


Akta Hasutan 1948 perlu kekal

ROKIAH ABDULLAH | 20 November 2014 3:45 AM
Musa Hassan
IPOH 19 Nov. – Akta Hasutan 1948 bukan sahaja perlu dikekalkan malahan ditambah baik untuk memantapkan lagi peranannya sebagai benteng terakhir menentang pihak yang semakin berani membuat kenyataan berbaur hasutan.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, antara penambahbaikan yang boleh dilakukan termasuklah perkara-perkara yang menyentuh berkaitan Islam, kedudukan raja-raja Melayu serta mengenai usaha mengeluarkan mana-mana negeri dalam Persekutuan.
Musa berpendapat, hukuman sedia ada iaitu penjara lima tahun juga perlu ditambah bagi mewujudkan rasa gerun kepada individu yang terlibat melakukan kesalahan berkenaan.
“Seperti sekarang, ramai orang bercakap tentang Sabah dan Sarawak mahu keluar (Malaysia), itu hasutan tapi perkara itu terus diperkatakan.
“Begitu juga pasal warga-negara, kita tidak boleh per-tikaikan warganegara mereka (bukan Melayu) kerana mereka telah menjadi warganegara.
“Jadi, pada saya, kita memerlukan satu akta yang berkesan untuk mengekang perkara itu dari terus berlaku dan amat jelas akta ini masih relevan kerana ia menjaga keharmonian semua pihak dan perkara ini amat penting dalam menjadikan negara terus sejahtera dan aman,” katanya demikian selepas menghadiri program pemahaman mengenai akta tersebut anjuran Pergerakan Wanita UMNO Perak, di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Sekretariat Perundangan UMNO Malaysia, Datuk Khairul Anwar Rahmat dan Presiden Penaja Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM), Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz.
Sementara itu, Musa dalam ucapannya ketika menjadi panel dalam program itu berkata, kerajaan tidak perlu tunduk dengan desakan pihak tertentu sehingga sanggup mengubah undang-undang dengan sewenang-wenangnya.
Dalam konteks tersebut katanya, semua pihak boleh menjadikan pengalaman pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang diganti akta baharu iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) selain Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) sebagai contoh pada masa depan.
“Pada saya ia (Sosma) tidak cukup kuat kerana meskipun pihak berkuasa boleh menahan individu terlibat, namun mereka perlu memohon di mahkamah dan membuktikan perkara tersebut terlebih dahulu,” katanya.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/akta-hasutan-1948-perlu-kekal-1.26929#sthash.3Se1vfFA.dpuf


Sultan Nazrin yakin hakim teruskan aspirasi Almarhum Sultan Azlan

20 November 2014 3:44 AM
SULTAN NAZRIN dan Tuanku Zara Salim menghadiri Prosiding Rujukan Untuk Memperingati Almarhum Sultan Azlan di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Arifin Zakaria (kanan). – UTUSAN/RASHID MAHFOF
PUTRAJAYA 19 Nov. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melahirkan keyakinan bahawa para hakim yang sedang berkhid­mat akan meneruskan aspirasi ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah untuk menegakkan sistem kehakiman yang bebas tanpa dipengaruhi perasaan takut atau memihak.
Sultan Nazrin bertitah, baginda optimis para pegawai kehakiman di bawah pimpinan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria akan terus mendukung hasrat murni Almarhum selaras dengan sum­pah yang mereka meterai ketika dilantik sebagai hakim.
“Kecintaan Almarhum yang mendalam dalam bidang undang-undang diteruskan walaupun selepas baginda bersara sebagai Ketua Hakim Negara dan ini dilakukan dengan memainkan peranan pada persidangan Majlis Raja-Raja,’’ titah Sultan Nazrin di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman di sini hari ini.
Baginda menyampaikan titah khas pada Prosiding Rujukan Untuk Memperingati Almarhum Sultan Azlan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara serta dihadiri oleh kaum kerabat ba­ginda, dan orang-orang kenamaan.
Pada prosiding itu, Arifin turut bersidang bersama baginda; Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum.
Sultan Nazrin selanjutnya bertitah, minat Almarhum dalam kebebasan kehakiman mencatat kenangan dalam minda bukan sahaja ahli keluarga malah sesiapa sahaja yang mengenali baginda.
Titah Sultan Perak, mahkamah merupakan rumah pertama Almarhum dan meskipun baginda biasa membawa pulang kerjanya, sesiapa pun tidak dibenarkan mencampuri urusannya ketika menyudahkan penghakiman bertulis yang kadangkala berlanjutan sehingga dinihari.
Sultan Nazrin selanjutnya ber­kongsi dengan hadirin pandangannya mengenai etika Almarhum yang disifatkan sebagai tidak bertolak ansur sewaktu membezakan antara yang baik dan yang buruk.
Dalam titahnya, Sultan Nazrin selanjutnya melahirkan penghargaan dan rasa terharu terhadap usaha pihak mahkamah menga­dakan majlis tersebut demi memperingati jasa bakti dan sumbangan Almarhum dalam dunia kehakiman dan perundangan.
“Jemputan daripada Ketua Hakim Negara untuk bertitah sepatah dua kata pada majlis istimewa seperti ini merupakan satu penghormatan yang sangat dialu-alukan oleh beta dan bonda Tuanku Bainun serta kaum kerabat secara keseluruhannya.
“Beta dan Permaisuri dengan rasa rendah diri sangat berbesar hati diberi penghormatan untuk duduk di kerusi hakim Mahkamah Perseku­tuan dan berpeluang merasai walau sedetik pengalaman Almarhum selama bertahun-tahun ketika berkhidmat, dan pengalaman ini sesungguhnya sesuatu yang amat menimbulkan nostalgia,” titah baginda.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sultan-nazrin-yakin-hakim-teruskan-aspirasi-almarhum-sultan-azlan-1.26915#sthash.t98U9TEx.dpuf