ajai62

Orang Biasa Aje. Pentingnya Mencari kebenaran Dalam Melayari Kehidupan Sebagai Insan Kamil

ajai62

POLITIK : Azmin wajar ‘diikat’ agar tidak langgar disiplin parti

Pernah ingkar arahan parti dalam isu jawatan MB
19 Oktober 2014 2:57 AM
Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard (dua dari kanan) bersama dua aktivis pelajar hadir bagi mendengar pertuduhan semula berhubung perhimpunan di ambang tahun baru di Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini.
KUALA LUMPUR 18 Okt. – Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali seharusnya diberi surat ‘kawalan jauh’ oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi memastikan dia tidak melanggar disiplin parti.
Ketua PKR Cabang Rembau yang digantung keahliannya, Badrul Hisham Shaharin berkata, sekiranya dakwaan pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin itu benar, tindakan yang diambil oleh pucuk pimpinan parti tersebut bukan sesuatu yang dianggap pelik.
Pemimpin Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu memberitahu, Mohamed Azmin perlu ‘diikat’ dengan surat tersebut ekoran tindakannya yang didakwa pernah mengingkari arahan PKR dalam isu Menteri Besar Selangor namun Badrul Hisham menegaskan belum tiba masanya untuk membuat pendedahan.
“Saya menyifatkan perbuatan Mohamed Azmin itu sebagai tidak berdisiplin dan biadab lebih-lebih lagi apabila mengambil kira kedudukan beliau sebagai pemimpin kanan PKR, bukannya ahli biasa.
“Jika benar PKR mengemukakan surat ‘kawalan jauh’ kepada Mohamed Azmin, saya menyokong tindakan itu,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Pada 15 Oktober lalu, Raja Petra menerusi entri dalam portal Malaysia Today, mendedahkan e-mel Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang cadangan-cadangan yang perlu diambil oleh parti itu untuk menangani isu jawatan Menteri Besar Selangor.
Dalam e-mel tersebut, Rafizi antara lain didakwa mencadangkan kepemimpinan PKR mengeluarkan surat letak jawatan tidak bertarikh supaya Mohamed Azmin selama­nya diikat de­ngan parti dan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sekiranya dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.
Selain itu, Rafizi menerusi e-mel berkenaan didakwa turut mencadangkan kepada Anwar supaya PKR menuntut Mohamed Azmin bersetuju dengan syarat-syarat tertentu dan menandatanganinya sebelum sokongan majoriti parti diberikan kepada Timbalan Presiden PKR itu.
E-mel itu juga menyebut bahawa jika Mohamed Azmin me­langgar mana-mana persetujuan yang ditetapkan, parti mempunyai hak untuk menukar dan meletakkan tarikh pada surat letak jawatan yang telah ditandatangani Moha­med Azmin.
Walau bagaimanapun, Moha­med Azmin menafikan tentang kewujudan surat ‘kawalan jauh’ itu sambil menyifatkan dakwaan Raja Petra itu tidak benar.
Ditanya, bila beliau akan membuat pendedahan berhubung dakwaan Mohamed Azmin mengingkari arahan PKR, Badrul Hisham memberitahu, perkara itu akan dibongkar dalam sidang akhbar ming­gu hadapan.
Beliau turut mencabar Rafizi mengambil tindakan undang-undang terhadap Raja Petra sekiranya dakwaan berhubung kewujudan surat ‘kawalan jauh’ itu adalah palsu.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/azmin-wajar-8216-diikat-8217-agar-tidak-langgar-disiplin-parti 1.14322#sthash.0Cp4Jdzu.dpuf


PALESTIN : Israel bahagi Masjid Al-Aqsa

23 Oktober 2014 1:35 AM
Wanita Palestin beragama Islam mengadakan tunjuk perasaan membantah kehadiran penganut Yahudi di pekarangan Masjid Al-Aqsa pada 14 Oktober lalu. – REUTERS
Israel dilapor akan membentangkan rang undang-undang bertujuan untuk membahagikan kawasan Masjid Al-Aqsa antara penduduk Islam dan Yahudi.
Seorang anggota Parlimen (Knesset) Israel berketurunan Arab, Masoud Ghanayim yang dipetik oleh akhbar Palestin, Felesteen, kelmarin berkata, rang undang-undang itu disediakan oleh Jawatankuasa dalaman Parlimen, yang menetapkan penduduk Yahudi turut boleh bersembahyang di dalam Masjid Al-Aqsa.
“Perkara ini merujuk kepada cadangan untuk memberi hak sama rata kepada umat Islam dan Yahudi, serta akses untuk menggunakan tempat suci itu.
“Ia juga menetapkan beberapa lokasi tertentu yang boleh digunakan orang Yahudi untuk bersembahyang,’’ katanya yang dipetik portal Middle East Monitor.
Pada masa ini, undang-undang Israel dan Rabbinical melarang penduduk Yahudi bersembahyang di Masjid Al-Aqsa.
Kebanyakan Yahudi yang melobi untuk bersembahyang di Masjid Al-Aqsa merupakan pendatang haram Yahudi yang terdiri daripada pelampau kumpulan berhaluan kanan yang mempunyai agenda.
Kota Lama di Baitulmaqdis yang menempatkan masjid itu diiktiraf oleh antarabangsa sebagai tanah yang dijajah Israel. Pihak berkuasa Israel sering menghalang penduduk Islam bersembahyang di masjid itu.
Menurut Ghanayim, undang-undang yang digubal itu termasuk melarang penganjuran demonstrasi awam dan demontrasi di perkarangan Al-Aqsa termasuk menetapkan hukuman kepada sebarang pencabulan.
Katanya, tindakan meluluskan undang-undang itu merupakan satu `pencerobohan terang-terangan terhadap hak asasi penduduk Islam di seluruh dunia’ termasuk menyifatkannya sebagai sebahagian daripada rancangan Israel menyebarkan fahaman Yahudi di bandar Baitulmaqdis.
“Undang-undang itu semata-mata untuk mewajarkan pembinaan berdasarkan mitos sejarah dan agama yang disokong Israel,’’ katanya ketika mengulas tentang rang undang-undang itu.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-bahagi-masjid-al-aqsa-1.15772#sthash.YBMknNHx.dpuf


POLITIK : Dominasi JIM dalam Pas?

AHMAD FARIS | 23 Oktober 2014 2:17 AM
Suasana Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-60 di Parit Raja, Batu Pahat, Johor, pada September lalu.
PADA tahun 1980-an dan 90-an, gerakan Islamic Representative Council (IRC) yang ditubuhkan di United Kingdom (UK) dihancur lumatkan oleh Pas di kampus dan peringkat Pusat parti itu di tanah air.
Selepas beberapa pemimpinnya kembali, IRC didaftarkan sebagai Jemaah Islah Malaysia (JIM) yang ketika itu mengaku non-partisan dan tidak politikal sama seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), pesaing terdekat mereka.
Anggota dan pemimpin JIM waktu itu bebas mengutarakan komen, keluar masuk dalam akhbar arus perdana (mainstream) dan pembangkang atas tiket pertubuhan.
Mengimbas kembali sedikit rentetan latar belakang JIM, tidak menghairankan dalam kalangan sekutu pakatan pembangkang khususnya Pas.
Parti itu sudah banyak berbeza pada hari ini andai dibandingkan dengan zaman silamnya.
Bukan sesuatu yang ganjil lagi bila mana ada pemimpin muda Pas sudah berani, tanpa berselindung, membidas barisan ulama mereka secara terbuka.
Contohnya dalam isu pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu, apabila orang dalam parti itu menempelak Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyuarakan sokongan terbuka supaya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan.
Pada 28 September lalu, dalam satu wacana anjuran LENSA (Lensa Anak Muda Malaysia) di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib yang sambil mengakui label ‘broker,’ ‘barua,’ ‘dicuri’ dan ‘dibeli’ yang dilemparkan oleh Abdul Hadi dalam ucapan penggulungan muktamar parti di Batu Pahat, Johor sebagai kesat, tidak menolak mahu menyaman pemimpin tertinggi parti itu.
“Walaupun ramai rakan pimpinan menyatakan benda ini tidak akan selesai sehinggalah menghantar (saman) membersihkan melalui proses mahkamah.
“(Cuma) Saya tidak menutup pilihan tersebut, tetapi saya menganggap satu perkara yang perlu saya buat pada masa ini,” katanya.
Satu kelemahan ketara Pas ialah apabila ramai yang mengambil kesempatan atas sikap terbuka dan bersangka baik para pemimpin daripada golongan ulama parti itu – dari Dewan Ulama dan Majlis Syura.
Dalam kalangan ahli dan penyokong Pas sendiri juga ada silapnya.
Budaya terlalu mudah kagum dan ‘jatuh hati’ pada individu yang pandai bercakap dan ‘berpersonaliti hebat’ mudah mengambil tempat dalam Pas.
Ini sangat dekat dengan sifat tin kosong gerakan Pas yang hanya sibuk berceramah ke sana ke sini, memburuk-burukkan lawan tanpa menghasilkan apa-apa yang berguna untuk negara.
Meskipun ada dalam kalangan pemimpin Pas menyedari bahaya kewujudan jemaah dalam jemaah (JIM dalam Pas) ini seperti diluahkan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob terhadap penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA) oleh orang Pas sendiri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi, apakah gejala ini boleh dikekang?
JIM, dan kini melalui LENSA, dan terbaharu, PASMA, menyebabkan barisan pemimpin ulama dalam Pas pening kepala dan angkat bendera putih.
JIM sudah berakar umbi. Bukan sahaja dalam Pas tetapi juga Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ahmad Yakob tidak mahu ahli dan penyokong Pas berpecah-belah.
Hanya satu parti Pas tetapi Phahrolrazi, bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah enggan membubarkan PASMA.
Bahkan beliau mahu menyasarkan keanggotaan PASMA sehingga sejuta orang.
Senario ini mengimbas kembali sejarah bagaimana Pas sendiri menolak kemunculan JIM.
Pertentangan pemimpin JIM dengan pemimpin Pas dalam parti itu juga merupakan pertembungan lama.
Semasa mereka belajar di peringkat universiti lagi.
Dan tidak hairanlah berlaku pertembungan antara Mujahid dan beberapa individu yang pernah menganggotai Dewan Ulama Pas Pusat dan mereka yang proulama.
Ke mana perginya pemimpin-pemimpin JIM sebelum 1998?
Ahli dan penyokong Pas boleh semak sendiri termasuk melalui carian Google di mana mereka sekarang.
Mungkin duduk bersebelahan dan kini berdepan dengan anda sekarang.
Belum pernah terjadi penentangan keras secara terbuka dalam kalangan ahli Pas sendiri terhadap kepimpinan ulama parti itu.
Apakah agaknya nasib ulama Pas selepas era Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Abdul Hadi, Haron Din atau Ahmad Yakob?
Abdul Hadi sendiri pastinya menyedari penangan dan sepak terajang JIM.
Apakah ‘penguasaan’ JIM dalam Pas masih boleh dikekang?
Apakah pertembungan keras individu-individu JIM terhadap golongan ulama yang dihormati ramai ahli Pas dan menjadi simbol perjuangan Islam Pas, boleh dihalakan ke kiri atau kanan, bukan berdepan.
Atau mungkinkah akan ada pihak yang ‘menghukum’ dalam mesyuarat agung cawangan dan kawasan Pas pada Mac dan April menjelang pemilihan peringkat Pusat yang dijadual pertengahan tahun depan.
DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa


– See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/dominasi-jim-dalam-pas-1.15853#sthash.iCFfyGyU.dpuf

POLITIK : Melayu pendatang di Malaya?

ZULKIFLI NORDIN | 23 Oktober 2014 2:18 AM
SAYA mengutuk keras kenyataan Perwakilan Johor dalam persidangan Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Tan Lai Soon baru-baru ini yang mendakwa orang Melayu juga ialah kaum pendatang di bumi Malaya ini sama seperti Cina dan India.
KUALA LUMPUR 07 JANUARI 2014 – Datuk Zulkifli Nordin bercakap pada Sidang akhbar mengenai isu Kalimah Allah di Taman Melawati, di sini, hari ini. Gambar : Abdul Razak Latif / Gambar sahaja.
Dakwaan seperti ini lahir mungkin kerana kejahilan mereka mengenai sejarah Nusantara Melayu dan Malaya ataupun dalam geopolitik dan geobudaya Melayu di Nusantara.
Mendakwa bangsa Melayu datang dari Indonesia dan kemudian berhijrah ke Malaya sebagai pendatang ternyata membuktikan kedangkalan mereka.
Bangsa Melayu sudah menduduki dan mendiami arkipelago Nusantara Melayu yang merangkumi antaranya Indonesia, Selatan Filipina, Selatan Thailand, Brunei, sebahagian Kemboja termasuk Malaya dan Kalimantan sejak sekian lama.
Memandangkan keseluruhan arkipelago ini adalah Nusantara Melayu, maka bangsa Melayu bebas bergerak dalam wilayah ini tanpa keperluan kepada pasport atau apa juga sekatan politik mahupun geografi.
Namun kuasa penjajah barat British dan Belanda telah memecahbelahkan geopolitik dan geografi Nusantara Melayu pada tahun 1824.
Pada 1822, British dan Belanda mengadakan kerjasama ketenteraan untuk menentang pemerintah Perancis Napoleon Bonaparte. Setelah kejayaan kerjasama itu, pada 1824, British dan Belanda mengadakan persefahaman membahagi-bahagikan wilayah jajahan mereka menurut sempadan imaginari mereka sehingga akhirnya menyebabkan wilayah arkipelago nusantara Melayu berpecah-belah; antaranya kawasan barat Selat Melaka di bawah Belanda dan timur Selat Melaka kepada British.
Bermula dari 1824, bangsa Melayu yang sebelum itu bergerak bebas di dalam wilayah arkipelago Nusantara Melayu terpaksa menggunakan pasport untuk memasuki wilayah yang dipisah-pisahkan ini.
Oleh itu, pergerakan bangsa Melayu di dalam wilayah arkipelago nusantara Melayu sebelum 1824 ini tidak boleh disamakan dengan perpindahan kaum Cina ke sini. Mendakwa pergerakan itu sebagai ‘pendatang’ samalah seperti mendakwa mereka yang datang dari wilayah Canton ke Shanghai sebagai imigran!
Pergerakan bangsa Melayu di dalam wilayah arkipelago Nusantara Melayu sebelum 1824 adalah pergerakan biasa bagi mana-mana bangsa di dunia ini yang mendiami wilayah sendiri.
Sebaliknya sejarah mencatatkan nenek-moyang kaum Cina datangnya dari negara ­China. Itulah hakikat sejarah yang kita tidak boleh nafikan!
Negara China tidak termasuk dalam arkipelago Nusantara Melayu – sebab itu nenek-moyang mereka yang datang ke wilayah Nusantara Melayu dipanggil imigran, sebab mereka me­lakukan perpindahan benua. Mereka juga tiada pertalian dengan bangsa Melayu sama ada dari segi agama, bahasa mahupun geopolitik dan geobudaya!
Oleh itu mendakwa pergerakan bangsa Melayu di dalam Nusantara Melayu sama seperti perpindahan kaum Cina dari China ke Nusantara Melayu adalah satu putar belit fakta dan sejarah.
Apa pun, pada saya isu seperti ini tidak sepatutnya dimainkan apatah lagi oleh parti komponen BN yang sepatutnya lebih memahami sensitiviti isu sebegini. Adakah mereka mahu menjadi lebih cauvinis daripada DAP? Apakah ini cara mereka mahu meraih populariti politik yang sudah merudum sehingga mengorbankan persefahaman yang telah dibina sekian lama?
Persoalan status anak watan bangsa Melayu ataupun persoalan kewarganegaraan dan nenek moyang kaum Cina dalam negara ini tidak sepatutnya lagi dibangkitkan atau dijadikan bahan politik murahan mana-mana pihak semata-mata untuk meraih undi dan populariti!
Kita perlu menerima hakikat bahawa kini bangsa Me­layu, Cina dan India ialah warganegara Malaysia yang terikat dengan persefahaman, aspirasi, semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial untuk bersama-sama membina dan membangunkan tanah air ini ke arah negara maju demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang.
Kita sekarang, Melayu Cina dan India, adalah rakyat dan warganegara Malaysia!
Selagi kita menghormati Perlembagaan Persekutuan dan cuba sedaya upaya untuk hidup berdasarkan persefahaman, aspirasi, semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial, saya percaya kita akan berjaya membina dan membangunkan negara Malaysia tercinta ini setaraf dan mungkin mengatasi negara-negara maju lain di dunia ini!
Kita juga mesti menolak sebarang amalan atau fahaman ekstremisme, fanatik, rasis, cauvinis dan pelampau sama ada perkauman atau keagamaan! Oleh itu, saya mendesak tindakan keras di bawah Akta Hasutan diambil terhadap Lai Soon kerana ucapan seperti itu adalah berbaur hasutan dan menghina bangsa Melayu.
Malahan ucapan seperti ini perlu dihentikan terus kerana ini bukan pertama kali wakil Gerakan membuat dakwaan seperti ini.
Oleh itu, saya juga mendesak Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Kong supaya mengotakan janjinya untuk mengambil tindakan disiplin yang tegas termasuk dipecat sebagai ahli terhadap mana-mana pimpinan atau perwakilan kerana memainkan isu perkauman ini.
Kita berharap kesemua pihak termasuk ahli dan pe­mimpin Gerakan menghayati saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Persidangan­ Gerakan Ahad lalu supaya semua bentuk fanatik dan ekstremisme agama dan perkauman ditolak!
PENULIS ialah bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu.


– See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/melayu-pendatang-di-malaya-1.15855#sthash.maIkoRp9.dpuf


PIALA MALAYSIA : Felda memang The Fighters

Tundukkan Harimau Selatan 4-3 dengan 10 pemain
OLEH NOR AZAN FITRI
AHMAD HIDZIR (SUKAN@UTUSAN.COM.MY) | 21 Oktober 2014 4:00 AM
KUALA LUMPUR , 20 Oktober 2014–Pemain JDT, Mohd Nazrin Nawi (kanan) diasak pemain Felda United, Hasni Zaidi pada perlawanan separuh akhir pusingan pertama di Stadium MPS, Selayang, di sini hari ini. GAMBAR/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN/utusan
PEMAIN Felda, Indra Putra Mahayuddin (kiri) bersaing dengan penyerang JDT, Mohd. Amri Yahyah (tengah) pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium MPS, Selayang, semalam. – UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN
Walaupun beraksi de­ngan 10 pemain sepanjang 36 minit terakhir permainan, Felda United membuktikan mengapa mereka digelar The Fighters apabila mempamer semangat juang tinggi untuk menumpaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 4-3 dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Selayang, semalam.
Kemenangan tipis bagaima­napun menyaksikan anak-anak buah Irfan Bakti Abu Salim itu berdepan misi sukar apabila bertandang ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin untuk aksi separuh akhir kedua, hujung minggu ini.
Felda garang di awal permainan dan mendahului seawal minit kelapan menerusi Edward Junior Wilson yang melakukan rembatan dari luar kotak penalti.
Skuad The Fighters terus menguasai permainan dengan beberapa peluang tercipta menerusi gerakan menarik Indra Putra Mahyuddin dan pemain import Mkeche Ndumba.
Ketika perlawanan hampir memasuki waktu rehat, Ahmad Syamim Yahya menjadikan kedudukan 2-0 menerusi sepakan lencong.
Pareyra Diaz merapatkan jurang 2-1 pada minit ke-52 apabila dia yang tidak dikawal melakukan rembatan deras menewaskan Farizal Harun.
Felda terpaksa beraksi de­ngan 10 pemain pada minit ke-54 selepas Nasriq Baharom dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua akibat mengkasari Pereyra Diaz.
Kekurangan pemain tidak mematahkan semangat The Fighters yang berjaya menambah jaringan ketiga menerusi Ndumba pada minit ke-60.
JDT menerusi pemain gantian, Luciano Figueroa kembali merapatkan jurang 3-2 pada minit ke-80 apabila menanduk masuk hantaran terus Amri.
Ketika perlawanan berbaki tiga minit untuk ditamatkan, Pereyra Diaz menyamakan kedudukan menerusi rembatan deras ke kiri gawang, namun Ndumba muncul wira Felda dengan meledak gol kemenangan pada masa kecederaan.


– See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/felda-memang-8232-the-fighters-1.15083#sthash.lTSh1sew.dpuf


PIALA MALAYSIA : Tok Gajah banyak kelemahan

Kena segera bangkit jika mahu cari tiket ke perlawanan akhir
OLEH SHAHRINNAHAR LATIB (NAHAR.LATIB@UTUSAN.COM.MY) | 22 Oktober 2014 3:23 PM
Pemain Pahang, R. Gopinathan (tengah) tetap menjalani latihan di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam biarpun menyambut Deepavali hari ini. –UTUSAN/MAHATHIR ALI
Kapten Pahang, Mohd. Razman Roslan mengakui terlalu banyak kelemahan yang perlu diperbaiki skuad Tok Gajah selepas tewas 1-3 kepada Kedah dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Ahad lalu.
Katanya, pasukannya tidak boleh membuang masa dan perlu segera memperbaiki apa juga masalah jika mahu menjinakkan Lang Merah dalam perlawanan separuh akhir kedua di Kuantan, Jumaat ini.
Dalam aksi di Stadium Darul Aman minggu lalu, Pahang banyak melakukan kesilapan, terutama di bahagian serangan yang mempersiakan peluang selain bahagian tengah yang kurang berfungsi.
“Pertahanan juga banyak memberi peluang kepada lawan. Namun saya dan rakan akan bangkit untuk berjuang bagi membolehkan pasukan Tok Gajah menang ke atas Kedah,” katanya di sini semalam.
Katanya lagi, dia memang kecewa dengan kegagalan pasukan menang pada perlawanan itu, namun tidak mahu memikirkan sebalik terus fokus untuk perlawanan separuh akhir kedua Jumaat ini.
“Kita akan bangkit untuk menang. Dengan kemasukan semua Dickson Nwakaeme dan Damion Stewart saya yakin kita mampu beroleh kemenangan,” katanya.
Katanya lagi, semua pemain diharap tidak leka dan mengambil mudah sebaliknya perlu mempamerkan kebangkitan agar sasaran untuk layak ke peringkat akhir tercapai.
Dalam pada itu, dia menyeru penyokong memenuhi Stadium Darul Makmur bagi menaikkan semula semangat pemain-pemain Tok Gajah.
Sementara itu, 32,500 keping tiket perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Pahang dengan Kedah akan mula dijual di kuanter-kaunter tiket di Stadium Darul Makmur esok.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Perlawanan PBNP, Raja Mustafa Shah Raja Jalil Shah berkata, seba­nyak lapan kaunter akan dibuka, termasuk kaunter khas untuk wanita.
“Selain itu, 5,000 keping tiket pula boleh diperolehi di Stadium Mini Temerloh, Temerloh, bermula pukul 10 pagi pada hari yang sama.
“Setiap pembelian akan dihadkan hanya empat keping seorang dan dua tiket sahaja untuk kanak-kanak,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau, harga tiket kekal seperti biasa iaitu RM12 untuk terbuka, RM15 (terbuka berbumbung) dan RM25 (tempat duduk utama).
“Selain itu bagi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun tiket berharga RM8. Tiket dijual sehingga habis dan kalau ada lebih lagi, bakinya akan dijual pada Jumaat pula,” katanya.


– See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tok-gajah-banyak-kelemahan-1.15433#sthash.fjqUMiUp.dpuf


Malaysia teruskan komitmen cari MH370

NOR AZIAH JAAFAR | 23 Oktober 2014 2:44 AM
Kapal GO Phoenix lengkap dengan peralatan sonar ProSAS menyertai operasi mencari pesawat MH370 di Lautan Hindi.
Malaysia meneruskan komitmen mencari pesawat MH370 dengan penyertaan kapal sewa kontrak, GO Phoenix dalam operasi di selatan Lautan Hindi yang diharap membawa kumpulan pencari selangkah lagi ke arah menemukan pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kapal berkenaan yang dilengkapi dengan peralatan sonar ProSAS iaitu antara sistem pengesan bawah laut yang paling sofistikated, merupakan testimoni komitmen Malaysia dalam usaha pencarian pesawat berkenaan.
Menurutnya, penyertaan GO Phoenix adalah sebagai tambahan terhadap dua kapal yang disewakontrak oleh Malaysia-Australia iaitu Fugro Discovery dan Fugro Equato yang sedang melakukan usa­ha pencarian pesawat itu.
Katanya, Malaysia optimis usaha pencarian MH370 akan membuahkan hasil berdasarkan kecanggihan teknologi yang digunakan.
“Saya 99.9 peratus yakin terhadap usaha berkenaan jika pencarian dilakukan di kawasan yang tepat di mana pesawat itu berada. Namun, lautan itu luas dan bergantung terhadap pelbagai faktor termasuk keadaan ombak yang bergelora,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan GO Phoenix di Pelabuhan Fremantle, di sini hari ini.
Penyertaan GO Phoenix dalam operasi berkenaan dibiayai oleh Petronas dengan peruntukan RM67 juta untuk tempoh enam bulan iaitu sehingga Februari 2015.
Peruntukan berkenaan termasuk untuk kos kapal, kru dan penyediaan peralatan teknikal. Kapal berkenaan akan bertolak esok ke kawasan pencarian di selatan Lautan Hindi iaitu kira-kira 3,000 kilometer dari sini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Jailani Johari; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas serta Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), Judith Zielke.
Wartawan dan jurugambar RTM, Awaludin Abdul Ghani, 51, dan Abdul Halim Mohd. Yusof, 44, akan menyertai misi pencarian kapal itu menjadikan mereka wartawan pertama di dunia pergi ke kawasan operasi mencari MH370.
Kata Hishammuddin, walaupun berhadapan dengan pelbagai rinta­ngan, namun Malaysia tetap fokus terhadap usaha mencari pesawat berkenaan yang terus menjadi ke­utamaan dengan bantuan kerajaan Australia dan China.
Menurut beliau, sistem sonar ProSAS mempunyai keupayaan mengesan sehingga 6,000 meter di bawah laut meliputi kawasan seluas 194 kilometer persegi sehari.
Beliau sekali lagi melahirkan penghargaan terhadap negara-negara yang terlibat dalam operasi mencari MH370. – UTUSAN

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/malaysia-teruskan-komitmen-cari-mh370-1.15895#sthash.lw8JaNd8.dpuf


POLITIK : Azmin jangan jadi ‘tin kosong’

22 Oktober 2014 3:30 AM
Mohamed Azmin
KUALA LUMPUR 21 Okt. – Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dikecam oleh pemimpin parti beliau sendiri kerana masih tidak melakukan apa-apa perubahan biarpun sudah sebulan memegang jawatan itu.
Pemimpin Angkatan Muda Ke­adilan (AMK) Cabang Ampang, Shahrunizad Sahar berkata, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sepatutnya mempunyai perancangan pembaharuan dalam pentadbiran negeri dengan mendakwa Mohamed Azmin sudah lama mengimpikan jawatan berkenaan.
Kata beliau, ketiadaan perubahan segera yang dilakukan jelas membuktikan bahawa tidak ada apa-apa alasan untuk Mohamed Azmin menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Adakah Mohamed Azmin ma­s­ih dalam tempoh ‘berbulan madu’ lagi? Seharusnya beliau menunjukkan kredibilitinya sebagai Menteri Besar.
“Jangan jadi se­perti tin kosong yang hanya bercakap, tetapi tidak mampu untuk bertindak,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau berkata, keputusan Mohamed Azmin meneruskan perjanjian penstrukturan semula air Selangor dan projek Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) juga menunjukkan Abdul Khalid melakukan tindakan yang betul, sekali gus penggugurannya daripada ja­watan itu merupakan satu kesilapan besar.
“Seperti rakyat Selangor tahu sebelum ini, yang sering digunakan untuk mendesak Abdul Khalid meletakkan jawatan adalah isu perjanjian air dan projek Kidex yang kononnya satu perjanjian berat sebelah.
“Tetapi nampaknya, selepas Mohamed Azmin menjadi Menteri Besar Selangor, lain pula ceritanya.
“Ini bermakna Abdul Khalid melakukan tindakan yang betul, jadi apa isu sebenar beliau didesak meletakkan jawatan,” tegasnya.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/azmin-jangan-jadi-8216-tin-kosong-8217-1.15479#sthash.HylDcv0R.dpuf


Cipta budaya baharu, hina Islam

OLEH AQILAH MIOR KAMARULBAID (PENGARANG@UTUSAN.COM.MY) | 21 Oktober 2014 3:37 AM
Othman Mustapha
KUALA LUMPUR 20 Okt. – Penganjuran Kempen ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ dikhuatiri mempunyai agenda terselindung dan secara jelas dilihat seolah-olah cubaan mencipta budaya baharu sekali gus membawa kepada perbuatan menghina Islam.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, hal ini sekali gus telah menimbulkan keresahan awam khususnya dalam kalangan umat Islam kerana secara jelas bercanggah dengan pegangan mazhab dan adat di negara ini.
Beliau berkata, Mazhab Syafie melarang umat Islam menyentuh anjing secara sengaja kerana ‘menajiskan’ diri tanpa tujuan munasabah adalah haram di sisi Islam.
“Walaupun islam meletakkan kaedah sertu (samak) apabila terkena najis yang dikategorikan sebagai mughallazah, namun kaedah tersebut bukanlah alasan untuk membolehkan seseorang itu memegang najis berkenaan secara sengaja.
“Tindakan tersebut samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas penganjuran kempen ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ di Central Park, Bandar Utama, Petaling Jaya semalam yang dikatakan bagi menepis persepsi negatif orang ramai terutamanya umat Islam terhadap haiwan berkenaan sebagai haiwan peliharaan seperti kucing.
Dalam pada itu, Othman turut menegur pihak penganjur yang mengadakan kempen memegang anjing secara sengaja dan terbuka kepada umum termasuk mereka yang beragama Islam tanpa sebarang sebab yang munasabah.
“Suka Jakim tegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berpegang kepada Mazhab Syafie sebagai mazhab rasmi. Justeru, peranan Jakim adalah untuk memastikan umat Islam di negara ini mengamalkan syariat yang tidak menyalahi mazhab tersebut,” jelasnya.
Munurut Othman, Islam pada dasarnya tidak memandang keji kepada anjing sebagai salah satu makhluk Allah, apatah lagi untuk menyeksa, memukul dan membunuh haiwan tersebut tanpa sebab yang secara terangan bertentangan dengan ajaran Islam.
“Sebaliknya, anjing wajar diberi kasih sayang. Walau bagaimanapun, Mazhab Syafie tidak membenarkan haiwan tersebut dijadikan binatang peliharaan.
“Dalam perkembangan ini, penganjur kempen tersebut akan dipanggil untuk memberi penjelasan,” katanya.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/cipta-budaya-baharu-hina-islam-1.15240#sthash.3Yb0l8l9.dpuf


Pas gesa pemimpin politik bertaubat – YANG MENYOKONG PELIWAT BILA LAGI?

Cubaan liberalkan hukum Islam – Dewan Ulama Pas Pusat

OLEH MOHD. ASRON MUSTAPHA (MOHDASRON.MUSTAPHA@UTUSAN.COM.MY) | 23 Oktober 2014 2:48 AM
Mohd. Khairuddin Aman Razal
Pas menggesa pemimpin politik Islam yang memuji dan menggalakkan penganjuran ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ supaya segera bertaubat kepada Allah kerana kempen tersebut jelas bercanggah dengan syariat serta akhlak Islam.
Ketegasan Pas yang disuarakan menerusi Dewan Ulama Pusatnya itu dibuat selepas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar yang juga anak kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji penganjuran berkenaan.
Nurul Izzah menerusi laman Twitternya dipetik sebagai berkata, “Islam juga adalah tentang kasih sayang. Tahniah (penganjur) Syed Azmi (Alhabshi) dan semua yang hadir” walaupun penganjuran berkenaan dikutuk hebat pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, penganjuran ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ jelas merupakan hakikat kepada sebahagian daripada agenda liberalisme untuk meliberalkan hukum-hakam agama Islam.
Katanya, atas sebab itu, selain pemimpin politik Islam yang bertindak memuji serta menggalakkannya, semua pihak terlibat baik penganjur mahu pun mereka yang hadir sebagai peserta perlu segera bertaubat kepada Allah.
“Dewan Ulama Pas Pusat menegaskan kepada pemimpin politik Islam yang memuji dan menggalakkan penganjuran program seumpama itu agar bertaubat kepada Allah dan jangan dimulakan suatu ikutan yang tidak baik kepada masyarakat Islam.
“Percubaan untuk mempromosi syariat salah dengan dipelopori orang Islam sendiri menerusi agenda yang dilabelkan dengan label yang lunak hakikatnya adalah agenda liberalisme untuk meliberalkan hukum-hakam Islam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahad lalu, penganjuran program ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ di Petaling Jaya mendapat sambutan segelintir umat Islam dan ramai dalam kalangan mereka yang hadir bertindak menyentuh serta membelai haiwan tersebut sebelum memuat naik gambar di Internet.
Penganjurnya, Syed Azmi mendakwa, tujuan penganjuran kempen tersebut adalah untuk menghakis perasaan takut orang ramai terhadap anjing yang digambarkan sebagai ganas dan sering menyerang manusia.
Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin berkata, sebarang usaha berdalih dan mencari alasan semata-mata untuk menghalalkan atau merasionalkan sesuatu yang salah perlu ditolak sama sekali, apatah lagi jika kenyataan berkenaan dibuat oleh pemimpin politik.
“Ia hanyalah dalih untuk meliberalkan amalan syariat umat Islam. Hukum Islam tidak diamalkan berdasarkan nafsu untuk mencari yang mudah tetapi untuk mencari pendapat yang terkuat dengan dalil terkuat berdasarkan penilaian ulama muktabar,” jelasnya.
Tambah beliau, hadis-hadis sahih dengan jelas mengatakan bahawa haram hukumnya membela anjing kecuali untuk menjaga ternakan atau berburu manakala kempen pada Ahad lalu pula cuba membawa mesej kepada masyarakat mengenai anjing tanpa menghirau hukumnya.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pas-gesa-pemimpin-politik-bertaubat-1.15920#sthash.u0IzkGdu.dpuf


Naufal Muzir

love my country, говорить через социальные медиа

naxxone84

Luahan Kejam Nukilan Jiwa

jebatmustdie

This site is dedicated to opinion pieces by pundits and the intelligentsia; mostly on politics and socio-economics

SPM Soalan

All SPM Info, Trial, HOTS/KBAT and Past Years Papers

MUAFAKAT

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia

Piglove

Adventures of Bacon and Friends

theratuvendor's Blog

beauty stop & FIXI's novel lover

Evil Joy Speaks

Orang Biasa Aje. Pentingnya Mencari kebenaran Dalam Melayari Kehidupan Sebagai Insan Kamil

records with merritt

Curate Your Vinyl Collection Here

My little journal

A personal blog about my family, cooking adventures, and crafts.

Just a dad ...

Still a coach. Still a daddy. Just not Coach Daddy anymore.

Abby Has Issues

I have issues. So do you.

Karim's Blog

will blog anything for the betterment

Gelagat Anwar

Fikir Masak Masak

Your Well Wisher Program

Attempt to solve commonly known problems…