Bergerombolan demo sudah basi



Oleh ZULKIFLI JALIL 

pengarang@utusan.com.my

Dua pekerja memasang khemah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bagi sambutan Tahun Baharu 2014.

SEBILANGAN orang mengatakan demonstrasi terjadi ketika orang lapar. Lapar kerana kekurangan makanan, pengetahuan, bahkan kekuasaan.
Semua maklum, demonstrasi menjadi sangat tragis dan mematikan. Kebanyakan demonstrasi terjadi ketika sekelompok orang tidak puas dengan keadaan tertentu, terhadap orang atau sekelompok orang lain.
Dan demonstrasi sering kali dimulakan dengan menunjukkan rasa damai, kemudian berterusan, lalu tumbuh menjadi aksi anarki. Perusuh akan melakukan kekerasan dan polis terpaksa bertindak balas. Hal ini sering menyebabkan kecederaan, parah dan mengundang maut.
Di Indonesia untuk tahun 2013, demonstrasi sudah tidak laku meskipun ada laungan supaya dibantah besar-besaran kenaikan harga minyak di republik itu. Tidak mendapat sambutan dan trend ini hampir sama berlaku di Malaysia.
“Soal dia (penganjur) nak buat esok pada 31 Disember, tentu sekali bertujuan bukan untuk menghormati tahun baharu, tetapi untuk menunjukkan kerenah politik, iaitu politik kasar, sorak-sorai yang mungkin merosakkan harta dan ketenteraman awam.
“Tinggal lagi kerajaan sudah buat keputusan seperti terkandung dalam Akta Perhimpunan Aman 2012, iaitu jika ada mana-mana parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) mahu menganjur perhimpunan, maka boleh buat cuma pilih tempat sendiri untuk mendapat kelulusan pihak berkuasa,” kata Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Budaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim dalam pertemuan di pejabatnya di Yayasan AlBukhary, dekat Masjid Negara baru-baru ini.
Dalam aspek ini, Rais berkata, perhimpunan aman tidak wajar ditahan sebab itu telah dijanjikan oleh kerajaan tahun lalu dalam akta berkenaan.
“Ya, pada masa sama benar juga telahan bahawa perhimpunan yang pada mulanya aman boleh merebak dan menjadi tidak keruan. Tetapi dalam soal ini perlu ditentukan oleh pihak berkuasa yang jika dianjurkan – risikonya bahaya atau tidak sehingga menjejas dan merosakkan harta awam.
“Antara syarat di bawah akta itu ialah tidak harus ‘memporak-perandakan’ lalu lintas, tidak menjejaskan para peniaga, pengangkutan dan menjamin suasana muhibah semasa mereka menjalankan perarakan atau mengeluarkan ucapan,” katanya.
Hak berhimpun telah pun diberi kelonggaran oleh kerajaan, cuma perlu dicari premis yang sesuai.
“Pada saya di (stadium) Shah Alam, saya tidak fikir kerajaan boleh halang ini kecuali dulu sebelum undang-undang diluluskan, memang tidak dibenarkan,” kata beliau.
Kata Rais: “Bagaimanapun saya fikir itu gara-gara berhimpun beramai-ramai di hujung tahun akan mudah mengeruhkan sambutan tahun baharu apabila keluar ‘bertembung’ dengan suasana riang ria dan resolusi tahun baharu.
“Jika diteruskan ini tentu tidak diterima rakyat sebab rakyat sudah muak. Saya kira kalau nak dibuat di Dataran Merdeka tidak sesuai tetapi boleh di kawasan lapang yang lain.”
Ditanya kemarahan memuncak sebahagian besar rakyat negara ini termasuk ketika itu lebih 600 laporan polis sudah dibuat menggesa pihak berkuasa tidak bertangguh untuk bertindak terhadap penganjur himpunan haram itu, Rais berkata: “Kita tidak boleh menduga dia nak guling kerajaan atau tidak. Jika disebut nak guling kerajaan, boleh diambil tindakan menerusi undang-undang yang ada.
“Rakyat akan muak dengan cara begini, sebab ini cara kasar. Tidak ada lunas demokrasi dan sekiranya lahir kemahuan guling kerajaan, itu tidak demokratik dan tindakan setimpal perlu diambil oleh Polis Diraja Malaysia,” kata beliau.
Rais turut mengulangi bahawa Stadium Shah Alam adalah tempat sesuai untuk penganjuran perhimpunan awam.
“Tetapi sekiranya ada usaha untuk menggulingkan kerajaan, tiga perempat Akta Hasutan boleh menyebabkan seseorang itu ditangkap kerana terlibat atau bersubahat,” katanya.
Mengenai kemungkinan penglibatan pelajar dalam himpunan haram esok, Rais yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata: “Saya tak fikir perkara ini akan mendapat sokongan pelajar IPTA secara menyeluruh dan mungkin hanya beberapa segmen penuntut IPTA melibatkan diri.
“Dan saya amat yakin penuntut universiti tidak akan menyebelahi pihak terbabit untuk berdemonstrasi di hujung tahun tanpa apa-apa sebab yang relevan.
“Kalau nak tentang GST dan kos hidup yang tinggi, bukan cara berarak tetapi menggunakan hak untuk berhimpun di tempat dan di bawah peraturan yang dibenarkan, memang pun boleh dipohon dan dibenarkan. Kalau tak memohon, penganjurnya perlu dicekup.”
Motif penganjuran Perhimpunan 31 Disember oleh pihak terbabit memang meragukan. Kenapa perhimpunan serupa yang dilakukan pakatan pembangkang pada awal Januari tahun ini tidak diulangi.
Perhimpunan yang dibuat dalam Stadium Merdeka itu tidak dikacau, malah berjalan lancar. Bahkan, ia merupakan testimoni kepada keberkesanan penguatkuasaan Akta Perhimpunan Aman 2012.
Ketika itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut menghargai kemampuan semua pihak yang terbabit dalam himpunan itu sama ada di bahagian pihak berkuasa mahupun pihak penganjur kerana mematuhi peruntukan serta semangat akta berkenaan.
Bukan itu sahaja, Najib mengucapkan terima kasih kepada pihak pembangkang kerana menghormati semangat akta tersebut walaupun beliau tidak bersetuju dalam banyak perkara dengan mereka.
Kaedah bergerombolan pada pandangan umum sudah basi dan tidak akan mencapai matlamat untuk berjaya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131230/re_01/Bergerombolan-demo-sudah-basi#ixzz2p0wEd7iU © Utusan Melayu (M) Bhd


Leave a comment