Jangan biar agama, raja, bahasa sekadar fakta di atas kertas

Hassan Mohd. Noor

SELEPAS setahun, Selak pernah mengingatkan bahawa lima prinsip Rukun Negara yang dibina bakal runtuh (lihat Selak, 7 Mei 2012). Ingatan itu dibuat berikutan beberapa tindak tanduk rakyat Malaysia yang dilihat tidak lagi menyokong prinsip-prinsip Rukun Negara. Tidak ketinggalan mengenai perhimpunan yang dinamakan Bersih 3.0. Ketika itu juga, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetus huru-hara dan kekacauan dalam negara.
Sudah tentu kenyataan itu masih terpakai ketika ini walaupun kumpulan yang terlibat juga kini turut melibatkan ramai bukan Islam. Tetapi adakah peringatan itu diambil peduli lebih-lebih lagi melibatkan orang Islam? Ketika ini timbul isu perhimpunan membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Biar atas nama apa sekali pun, perhimpunan seumpama itu jelas sekali hanya untuk kepentingan kelompok tertentu. Mungkin dalam kalangan mereka itu, ada yang gagal menjadi Perdana Menteri, tidak dilantik sebagai Menteri Besar atau sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco). Tidak kurang juga yang kecewa kerana kecundang semasa bertanding pada PRU-13.
Hakikatnya, banyak pihak sudah mengiktiraf keputusan PRU-13 ini termasuk dalam kalangan parti pembangkang. Malangnya ada yang sengaja buat-buat tidak tahu, memekakkan telinga atau membutakan mata berhubung pengiktirafan terhadap keputusan PRU lalu. Mereka seolah-olah baru keluar dari ‘tempurung’ atau baru meninggalkan ‘gua pertapaan’ selepas mengundi pada 5 Mei 2013. Mungkin selepas mengundi, mereka terus lari ‘masuk gua atau sembunyi di bawah tempurung’. Selepas seminggu dua, baru keluar dari ‘pertapaan’.
Kepada mereka ini, untuk makluman jika PRU-13 tidak telus, maka Lim Guan Eng, Khalid Ibrahim dan Ahmad Yaakob akan dihalang oleh kepemimpinan DAP, PKR dan Pas untuk mengangkat sumpah jawatan dan membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Bukan setakat itu, pelbagai jawatan bagi membantu Menteri Besar (MB) dan Ketua Menteri (KM) juga telah diisi.
Baru-baru ini, mereka juga mengemukakan petisyen pilihan raya. Banyak kawasan pilihan raya yang terlibat. Apakah maknanya ini semua? Tidakkah mereka sudah mengiktiraf PRU-13? Melalui petisyen ini, mungkin masing-masing masih menaruh harapan keputusan yang ada terbatal atau pilihan raya ulangan diadakan. Kita tunggu episod seterusnya.
Tetapi apakah maksud di sebalik pembentukan kerajaan negeri di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan? Adakah PRU-13 tidak diiktiraf? Malangnya ada pemimpin yang berjaya mempengaruhi pengikut-pengikut mereka untuk menentang keputusan PRU-13 ini. Bagaikan lembu dicucuk hidung. Sandiwara apakah yang sedang berlaku?
Mereka mengiktiraf PRU dengan mengangkat sumpah jawatan sebagai MB/KM, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tetapi pada masa yang sama turut berperanan mempengaruhi rakyat turun di jalanan untuk membantah keputusan PRU-13. Sedikit masa lagi, mereka akan mendapat elaun atau gaji wakil rakyat.
Inilah suasana politik yang ada pada hari ini. Jika suasana ini berterusan, ke mana hala tuju rakyat negara ini selepas 55 tahun merdeka? Adakah mereka yang memasuki usia emas sudah puas menikmati kemerdekaan? Adakah generasi muda yang dilahirkan di atas ‘dulang kemerdekaan’ sudah bosan dengan nikmat yang ada pada hari ini dan mahu sesuatu yang baharu yang belum pasti baik dan buruknya?
Belajarlah bersyukur dengan nikmat yang ada dan berusaha menjaganya dengan baik, bukan terikut-ikut dengan rentak masyarakat luar. Kata orang, di sini (bumi Malaysia) langit dijunjung. Sesuai dengan pesanan di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung, maka wajarlah setiap rakyat di negara ini bertindak mengikut lunas undang-undang. Kita di bumi Malaysia dan di sinilah langit dijunjung. Bukannya kita menjunjung langit di bumi Afrika, Turki, Mesir, Amerika Syarikat atau mana-mana negara. Maka belajarlah menghormati pemimpin dan negara di mana bumi kita pijak.
Hayatilah prinsip-prinsip Rukun Negara. Amat malang, ada rakyat negara kita yang sudah tidak menghormati lima prinsip Rukun Negara. Mereka tidak percaya kepada ketentuan Tuhan, mereka menghina institusi raja, menghina anggota pasukan keselamatan, membelakangkan undang-undang dan berani bertindak di luar batasan undang-undang.
Ketika Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya menghormati keputusan PRU-13, mereka memperlekehkan titah itu. Mereka juga melontarkan pelbagai fitnah terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang telah diamanahkan oleh Seri Paduka untuk menjalankan proses pilihan raya sehingga ada yang membuat kenyataan bodoh mendesak supaya seluruh anggota SPR meletak jawatan. Atas nama kebebasan bersuara, mereka melakukan ini semua sama ada melalui Facebok, Twitter, YouTube atau perhimpunan haram.
Tidak kurang juga yang berani menghina dan mencabar anggota pasukan keselamatan yang menjaga keselamatan negara. Apakah apabila mereka ini memerintah, seluruh anggota pasukan polis akan ditukar dan digantikan dengan ‘polis baharu’ mereka yang ‘lebih baik’?
Merosak dan memusnahkan sesuatu yang sudah terbina begitu lama memang mudah. Dalam sekelip mata, sebuah bangunan boleh diruntuhkan. Begitu juga dengan perpaduan dan keharmonian yang boleh runtuh perlahan-lahan dengan tindak tanduk songsang yang merosakkan.
Kerosakan ibarat api dalam sekam ini perlu dihentikan. Sesuatu perlu dilakukan supaya Rukun Negara tidak runtuh begitu sahaja. Tidak dinafikan, ada manusia yang tidak mahu mengikut peraturan dalam dunia ini dan menganggap segala peraturan tidak relevan. Maka mereka sanggup melakukan apa sahaja yang boleh mencetuskan suasana yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Mereka sengaja mencari penyebab untuk menimbulkan suasana kecoh. Atas alasan kebebasan bersuara dan bertindak. Hakikatnya masih ramai yang mahu suasana harmoni, boleh bersantai sambil berhibur dengan penyanyi jalanan di hadapan Sogo, Kuala Lumpur.
Sesuatu harus dilakukan supaya generasi yang semakin ‘terbuka’ dan ‘bebas’ ini tidak lupa ‘asal usul’. Pendidikan salah satu saluran yang baik untuk mengembalikan kesedaran ini. Tentunya kita tidak mahu segala-gala yang dibina sebelum ini demi perpaduan dan keharmonian rakyat hanya menjadi nota di atas kertas.
Jangan biarkan agama, bahasa dan raja kita sekadar kekal di atas kertas.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s