Lihat, tafsir dan fikirkan.. SLOGAN INI KALI LAH

Oleh Zaini Hassan

WALAUPUN saya mahu lari daripada menulis dan menyentuh mengenai politik dan terus berjihad ekonomi, namun cakap-cakap politik masih tidak dapat dielakkan.
Minggu ini kita melihat satu tafsiran simulasi grafik yang dilakukan oleh seorang sahabat saya yang perlu dikongsi bersama.
Beliau ialah Datuk Akbar Ali, mantan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia, Pengarah Eksekutif MTEN Melaka dan Ahli Dewan Negara.
Ia menggambar iltizam kaum Cina untuk menegakkan kekuatan mereka, dan sebaliknya sikap kecelaruan orang Melayu yang tidak sedar hakikat sebenar.
Berikut tafsiran Akbar:
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) telah sebulan setengah berlalu. Keputusannya telah diketahui ramai: BN menang dengan majoriti mudah – 133 buah kerusi Parlimen; merosot 7 kerusi tetapi berjaya merampas kembali Kedah; pembangkang pula menang 89 kerusi Parlimen.
Banyak sebab telah diberikan berhubung kemerosotan itu; antaranya kesilapan memilih/meletakkan calon, kelemahan jentera dan sabotaj dari dalam parti. Apa pun, sebab yang paling besar, seperti yang diungkapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah tsunami Cina!
Agar tidak disalah-tafsirkan sebagai rasis, maka sebelum kita menulis lebih lanjut lagi, eloklah ditegaskan bahawa kaum Cina adalah pragmatis dan bijak menggunakan peluang keemasan yang ada. Adalah tidak salah mereka ‘Bersatu’ menggunakan hak demokrasi yang mereka miliki sebagai rakyat Malaysia.
Justeru adalah juga tidak salah mereka ‘Bersatu’ mahu memilih serta memangkah mana-mana parti yang mereka suka.
Orang Melayu pula di sebaliknya; kurang pragmatis dan kurang bijak serta ‘Tidak Bersatu!’ Jangan salahkan ibu mengandung.
Orang Cina telah melihat dan menyambar peluang serta tawaran yang diberikan oleh Anwar Ibrahim kepada kaum mereka.
Lantaran itu, pada hemat orang Cina, ‘Ini Kali lah’ bagi kaum mereka untuk mencapai strategi jangka panjangnya yang ketiga: Merebut Kuasa Politik. Dua strategi pertama telah pun berjaya – kerakyatan dan kuasa ekonomi.
Mereka telah menyeru supaya bersatu dalam menumbangkan kerajaan BN, sepertimana yang disiarkan dalam Nanyang Siang Pau pada 13 Jun 2009: http://darahtuah.wordpress.com/2010/03/08/7-ngo-cina-diseru-menumbangkan-kerajaan/
Ia boleh ditafsirkan sebagai iltizam untuk menumbangkan kerajaan yang bertunjangkan pribumi dan Islam dan menggantikan dengan sebuah kerajaan yang berteraskan bukan Islam dan orang Cina menjadi dominan.
PRU-13 telah mereka rancang sedemikian rupa daripada peringkat persiapan menyerang, pertahanan, pemilihan dan peletakan calon dan sebagainya.
Hasilnya, walaupun mereka tidak menang, tetapi komposisi calon-calon yang berjaya itu adalah manifestasi rancangan tersebut!
Natijahnya, di pihak pembangkang, bilangan Ahli Parlimen (MP) Bukan Islam adalah jauh lebih ramai iaitu 50 orang atau 56% berbanding MP Islam hanyalah 30 orang atau 44%!
MP Cina pula adalah seramai 39 orang atau hampir empat kali ganda lebih ramai jika dibandingkan dengan MP Cina dalam BN!
Dalam BN, terdapat seramai 97 MP Pribumi/Islam atau 73%, dan 21 MP lagi Pribumi Bukan Islam atau 16%. MP Cina hanyalah 11 orang atau 8%!
Lantaran itu, adalah tidak salah jika dibuat kesimpulan bahawa orang Cina telah bersatu untuk menumbangkan kerajaan yang bertunjangkan Pribumi/Islam dan menggantikan dengan kerajaan yang bertunjangkan Bukan Islam/orang Cina!
Kerana laungan “Ini Kali Lah” untuk mereka boleh merebut kuasa maka ahli-ahli MCA dan Gerakan daripada kaum Cina telah menjadi pengkhianat parti dan berduyun-duyun lari bersekongkol dengan DAP. Lalu tsunami Cina, seperti mana yang diungkapkan oleh Najib, adalah tepat sekali!
Tanpa sokongan padu Bumiputera di Sabah dan Sarawak, BN telah kalah pada tahun 2008 lagi! Ada pendokong MCA mengingatkan orang UMNO bahawa orang Cina telah menyokong BN semasa PRU 1999. Tanpa sokongan mereka, mungkin BN kehilangan lagi banyak kerusi dalam PRU berkenaan. Setuju.
Tetapi mari kita tanya soalan ini: Kalaulah orang Cina dihidangkan pada tahun 1999 itu peluang yang sama seperti tahun 2013, tidak mungkinkah orang Cina sudah merebut peluang tersebut dan menumbangkan BN pada tahun itu juga?
Melihat dan menilai sikap, pemikiran dan strategi orang Cina di Malaysia ini pada tahun 2008 dan 2013 maka jawapannya, tanpa melupakan tulisan pada tahun 2009 di atas dan PRU 1969, tidak lain dan tidak bukan tentulah Ya!
Dengan mengambil kira:
(a) Sikap dan iltizam kaum Cina sedemikian rupa,
(b) Kemasukan pemilih baru kira-kira 2.64 juta orang,
(c) Kawasan bandar akan semakin besar (dari 71% kepada 77%) dan,
(d) Penetrasi internet akan melebihi 75%, apakah pelan tindakan BN/UMNO untuk kekal menang dengan selesa dalam PRU-14 nanti?

Advertisements

Jangan biar agama, raja, bahasa sekadar fakta di atas kertas

Hassan Mohd. Noor

SELEPAS setahun, Selak pernah mengingatkan bahawa lima prinsip Rukun Negara yang dibina bakal runtuh (lihat Selak, 7 Mei 2012). Ingatan itu dibuat berikutan beberapa tindak tanduk rakyat Malaysia yang dilihat tidak lagi menyokong prinsip-prinsip Rukun Negara. Tidak ketinggalan mengenai perhimpunan yang dinamakan Bersih 3.0. Ketika itu juga, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetus huru-hara dan kekacauan dalam negara.
Sudah tentu kenyataan itu masih terpakai ketika ini walaupun kumpulan yang terlibat juga kini turut melibatkan ramai bukan Islam. Tetapi adakah peringatan itu diambil peduli lebih-lebih lagi melibatkan orang Islam? Ketika ini timbul isu perhimpunan membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Biar atas nama apa sekali pun, perhimpunan seumpama itu jelas sekali hanya untuk kepentingan kelompok tertentu. Mungkin dalam kalangan mereka itu, ada yang gagal menjadi Perdana Menteri, tidak dilantik sebagai Menteri Besar atau sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco). Tidak kurang juga yang kecewa kerana kecundang semasa bertanding pada PRU-13.
Hakikatnya, banyak pihak sudah mengiktiraf keputusan PRU-13 ini termasuk dalam kalangan parti pembangkang. Malangnya ada yang sengaja buat-buat tidak tahu, memekakkan telinga atau membutakan mata berhubung pengiktirafan terhadap keputusan PRU lalu. Mereka seolah-olah baru keluar dari ‘tempurung’ atau baru meninggalkan ‘gua pertapaan’ selepas mengundi pada 5 Mei 2013. Mungkin selepas mengundi, mereka terus lari ‘masuk gua atau sembunyi di bawah tempurung’. Selepas seminggu dua, baru keluar dari ‘pertapaan’.
Kepada mereka ini, untuk makluman jika PRU-13 tidak telus, maka Lim Guan Eng, Khalid Ibrahim dan Ahmad Yaakob akan dihalang oleh kepemimpinan DAP, PKR dan Pas untuk mengangkat sumpah jawatan dan membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Bukan setakat itu, pelbagai jawatan bagi membantu Menteri Besar (MB) dan Ketua Menteri (KM) juga telah diisi.
Baru-baru ini, mereka juga mengemukakan petisyen pilihan raya. Banyak kawasan pilihan raya yang terlibat. Apakah maknanya ini semua? Tidakkah mereka sudah mengiktiraf PRU-13? Melalui petisyen ini, mungkin masing-masing masih menaruh harapan keputusan yang ada terbatal atau pilihan raya ulangan diadakan. Kita tunggu episod seterusnya.
Tetapi apakah maksud di sebalik pembentukan kerajaan negeri di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan? Adakah PRU-13 tidak diiktiraf? Malangnya ada pemimpin yang berjaya mempengaruhi pengikut-pengikut mereka untuk menentang keputusan PRU-13 ini. Bagaikan lembu dicucuk hidung. Sandiwara apakah yang sedang berlaku?
Mereka mengiktiraf PRU dengan mengangkat sumpah jawatan sebagai MB/KM, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tetapi pada masa yang sama turut berperanan mempengaruhi rakyat turun di jalanan untuk membantah keputusan PRU-13. Sedikit masa lagi, mereka akan mendapat elaun atau gaji wakil rakyat.
Inilah suasana politik yang ada pada hari ini. Jika suasana ini berterusan, ke mana hala tuju rakyat negara ini selepas 55 tahun merdeka? Adakah mereka yang memasuki usia emas sudah puas menikmati kemerdekaan? Adakah generasi muda yang dilahirkan di atas ‘dulang kemerdekaan’ sudah bosan dengan nikmat yang ada pada hari ini dan mahu sesuatu yang baharu yang belum pasti baik dan buruknya?
Belajarlah bersyukur dengan nikmat yang ada dan berusaha menjaganya dengan baik, bukan terikut-ikut dengan rentak masyarakat luar. Kata orang, di sini (bumi Malaysia) langit dijunjung. Sesuai dengan pesanan di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung, maka wajarlah setiap rakyat di negara ini bertindak mengikut lunas undang-undang. Kita di bumi Malaysia dan di sinilah langit dijunjung. Bukannya kita menjunjung langit di bumi Afrika, Turki, Mesir, Amerika Syarikat atau mana-mana negara. Maka belajarlah menghormati pemimpin dan negara di mana bumi kita pijak.
Hayatilah prinsip-prinsip Rukun Negara. Amat malang, ada rakyat negara kita yang sudah tidak menghormati lima prinsip Rukun Negara. Mereka tidak percaya kepada ketentuan Tuhan, mereka menghina institusi raja, menghina anggota pasukan keselamatan, membelakangkan undang-undang dan berani bertindak di luar batasan undang-undang.
Ketika Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya menghormati keputusan PRU-13, mereka memperlekehkan titah itu. Mereka juga melontarkan pelbagai fitnah terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang telah diamanahkan oleh Seri Paduka untuk menjalankan proses pilihan raya sehingga ada yang membuat kenyataan bodoh mendesak supaya seluruh anggota SPR meletak jawatan. Atas nama kebebasan bersuara, mereka melakukan ini semua sama ada melalui Facebok, Twitter, YouTube atau perhimpunan haram.
Tidak kurang juga yang berani menghina dan mencabar anggota pasukan keselamatan yang menjaga keselamatan negara. Apakah apabila mereka ini memerintah, seluruh anggota pasukan polis akan ditukar dan digantikan dengan ‘polis baharu’ mereka yang ‘lebih baik’?
Merosak dan memusnahkan sesuatu yang sudah terbina begitu lama memang mudah. Dalam sekelip mata, sebuah bangunan boleh diruntuhkan. Begitu juga dengan perpaduan dan keharmonian yang boleh runtuh perlahan-lahan dengan tindak tanduk songsang yang merosakkan.
Kerosakan ibarat api dalam sekam ini perlu dihentikan. Sesuatu perlu dilakukan supaya Rukun Negara tidak runtuh begitu sahaja. Tidak dinafikan, ada manusia yang tidak mahu mengikut peraturan dalam dunia ini dan menganggap segala peraturan tidak relevan. Maka mereka sanggup melakukan apa sahaja yang boleh mencetuskan suasana yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Mereka sengaja mencari penyebab untuk menimbulkan suasana kecoh. Atas alasan kebebasan bersuara dan bertindak. Hakikatnya masih ramai yang mahu suasana harmoni, boleh bersantai sambil berhibur dengan penyanyi jalanan di hadapan Sogo, Kuala Lumpur.
Sesuatu harus dilakukan supaya generasi yang semakin ‘terbuka’ dan ‘bebas’ ini tidak lupa ‘asal usul’. Pendidikan salah satu saluran yang baik untuk mengembalikan kesedaran ini. Tentunya kita tidak mahu segala-gala yang dibina sebelum ini demi perpaduan dan keharmonian rakyat hanya menjadi nota di atas kertas.
Jangan biarkan agama, bahasa dan raja kita sekadar kekal di atas kertas.

PAKAT-PAKATLAH KITA BERADA DI LUAR KAWASAN

Gelaran pengkhianat lebih tepat untuk pemimpin Pas patuh arahan parti lain

Norazli Musa, Mahfodz Mohamed

KUALA LUMPUR 18 Jun – Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa tidak sewajarnya menggelar mana-mana pemimpin parti yang tidak menyertai perhimpunan anjuran pakatan pembangkang bagi membantah perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, sebagai pengkhianat.
Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa berpandangan, gelaran pengkhianat sebenarnya lebih tepat diberikan kepada mana-mana pemimpin Pas yang mematuhi arahan pucuk pimpinan parti lain.
Menurut beliau, arahan untuk menganjurkan perhimpunan membantah keputusan PRU-13 dikeluarkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan melalui persetujuan majlis pimpinan pakatan pembangkang.
“Kalau kita mematuhi arahan pemimpin parti lain, itu lagi khianat sebenarnya,” katanya di sini hari ini. Norazli mengulas percanggahan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak memaksa ahli Pas menyertai perhimpunan itu sedangkan Husam sebelum ini mendakwa pemimpin Pas yang tidak menyokong pendiriannya sebagai pengkhianat parti yang lupa asal-usul.
Semalam, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din meminta ahli parti mematuhi pendirian dan nasihat Abdul Hadi.
Norazli menambah, ahli Pas juga sepatutnya wala’ atau mematuhi pendirian pemimpin yang mempunyai kedudukan paling tinggi di dalam parti.
“Husam cuma Naib Presiden sedangkan Abdul Hadi ialah Presiden manakala Majlis Syura Ulama menduduki hierarki tertinggi di dalam Pas.
“Sepatutnya kita menyokong pemimpin yang lebih tinggi, bukannya bercanggah pendapat dengan mereka,” jelasnya sambil menegaskan tidak akan menghadiri perhimpunan itu kerana mematuhi arahan pemimpin tertinggi Pas.
Sementara itu, Naib Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, secara dasarnya, mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat pada 9 Jun lalu sebulat suara bersetuju parti itu mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut.
Walau bagaimanapun, jelas beliau, tidak kesemua pemimpin dan ahli Pas dapat hadir kerana mereka ada halangan atau urusan lain yang lebih penting.
“Mungkin mereka ada keperluan lain seperti urusan di luar kawasan atau mengerjakan umrah semasa perhimpunan dijalankan.
“Kita tidak boleh melabelkan mereka sebagai pengkhianat kerana masing-masing ada alasan. Itu tidak tepat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ditanya sama ada akan menyertai perhimpunan tersebut atau tidak, Mahfodz menjelaskan, beliau berada di luar kawasan.

 
KOMEN : APA CERITA SEKARANG NI DALAM PAS SEMUA ORANG BOLEH KELUARKAN FATWA SESUKA HATI… MATI SYAHID KE MATI KATAK?

KDN bantu kekang fahaman Syiah

Ahmad Zahid Hamidi bersama Ahli-ahli Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Pencetakan al-Quran dan Ahli Lajnah Tashih al-Quran Kementerian Dalam Negeri selepas mengadakan pertemuan di Putrajaya, semalam. – BERNAMA

PUTRAJAYA 18 Jun – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedia membantu Kerajaan Persekutuan dan negeri menghalang penularan ajaran Syiah daripada mempengaruhi masyarakat Islam di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan perintah yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Hal Ehwal Agama Islam Negeri bagi mengekang fahaman tersebut.
“Oleh kerana hal ehwal agama terletak di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan negeri, jadi KDN tidak berhasrat untuk campur tangan tetapi daripada segi pelaksanaan dan penguatkuasaannya, PDRM lazimnya diminta untuk lakukannya.
“Ini bermaksud KDN akan membantu Kerajaan Persekutuan dan negeri melaksanakan penguatkuasaan akidah dan syariah Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pertemuan Bersama Ahli Lembaga dan Ahli Lajnah Tahsih al-Quran di Hotel The Everly di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Pengerusi Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Teks al-Quran KDN, Tan Sri Harussani Zakaria dan Pengerusi Lajnah Tashih al-Quran, Datuk Syeikh Mohamad Nor Mansor al-hafiz.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga akan bersama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyelaraskan undang-undang penguatkuasaan terhadap pihak yang cuba menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam menerusi media sosial.
Katanya, langkah itu penting supaya tiada pihak yang memandang remeh isu itu dan menghalang daripada terus memberi gangguan kepada agama Islam sebagai agama Persekutuan.
“Biarpun media sosial terletak di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia namun kita telah menyelaraskan antara SKMM dan pihak polis untuk melaksanakan penguatkuasaan bagi melakukan pertuduhan mengikut akta-akta tertentu,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, satu kurikulum agama yang baru akan diperkenalkan kepada semua banduan Islam di seluruh negara bagi memantapkan akidah mereka.
Mengulas mengenai pertemuan pertama kali ini, Ahmad Zahid berkata, pihaknya dimaklumkan masih terdapat banyak naskhah al-Quran yang diimport dari luar negara tidak mendapat izin KDN. Katanya, pemantauan rapi akan dilaksanakan kerana naskah yang dicetak tanpa pengesahan dari segi ejaan dan huruf itu berbahaya dan boleh menyeleweng akidah.
Sementara itu, mengulas dakwaan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang diculik sekumpulan lelaki di Lahad Datu semalam hingga mencetuskan polemik sebagai pengulangan krisis pencerobohan di Sabah baru-baru ini, Ahmad Zahid bagaimanapun enggan mengulas lanjut isu itu.

Bajet 2014 dibentang 25 Oktober – PM

NAJIB Tun Razak berucap dalam Majlis Konsultasi Bajet 2014 di Kementerian Kewangan, Putrajaya, semalam. Turut hadir Dr. Ali Hamsa (kiri) dan Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah. – UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN

PUTRAJAYA 18 Jun – Bajet 2014 akan dibentangkan di Parlimen 25 Oktober ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Serentak itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, mulai hari ini setiap isu dan cadangan yang dikemukakan oleh pihak berkepentingan akan diberi pertimbangan sewajarnya sebagai input penyediaan bajet tersebut.
Beliau turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Dasar Fiskal yang bertujuan mengurangkan defisit fiskal, mengukuhkan kewangan awam dan memastikan kemampanan fiskal jangka panjang.
”Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh saya sendiri, beberapa menteri yang terpilih dan ketua-ketua jabatan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Konsultasi Bajet 2014 di sini hari ini.
Yang hadir sama Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.
Tema majlis perundingan itu ialah Mengotakan Janji, Merancakkan Transformasi.
Mengulas mengenai majlis perundingan itu, Najib berkata, kira-kira 96 memorandum telah dikemukakan meliputi pelbagai aspek makro, isu-isu sektoral dan sosial kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan.
Beliau percaya antara 96 memorandum itu, sebahagian daripadanya akan dipertimbangkan khususnya yang selaras dan sesuai dengan matlamat utama kerajaan dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara.
”Matlamat itu tertumpu kepada dua elemen iaitu merancakkan ekonomi negara dan menentukan kesejahteraan rakyat secara inklusif.
”Malah, bajet tahun ini adalah suatu yang amat penting kepada kerajaan yang telah diberi mandat baharu untuk memenuhi aspirasi rakyat,” kata beliau.
Tegas Najib, kerajaan berada di kedudukan yang betul untuk terus mengurangkan defisit fiskal daripada 4.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas kepada empat peratus tahun ini.
”Sasaran kita ialah untuk memenuhi sasaran fiskal jangka sederhana kira-kira tiga peratus daripada KDNK pada 2015 tanpa menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi domestik dan sokongan fiskal berterusan bagi inisiatif transformasi.
”Ini akan dicapai melalui gabungan berhemah yang bijak tetapi perbelanjaan produktif dan pengukuhan langkah-langkah peningkatan hasil yang termasuk pulangan cukai yang lebih baik dan penguatkuasaan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN),” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut menyedari cabaran yang dihadapi sektor ekonomi negara terutama dalam pembangunan potensi pertumbuhan sektor perkhidmatan, meningkatkan modal insan, pengurusan bakat terutama bagi wanita dan belia serta menguruskan pembaharuan fiskal.
”Bidang-bidang berkenaan perlu ditangani dengan sewajarnya untuk memastikan pertumbuhan yang mampan dan inklusif,” katanya.
 

Tidak perlu layan pembangkang

DR. MAHATHIR Mohamad ketika hadir untuk menyampaikan ucapan dalam Forum Ketua Pegawai Eksekutif 2013 anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana di Pusat Konvensyen Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SAFIYANA SALIM

KUALA LUMPUR 18 Jun – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak perlu mendengar dan melayan sebarang desakan daripada pembangkang.
Menurut beliau, ini kerana pembangkang tidak ikhlas untuk membawa pembaharuan yang memberi kebaikan sebaliknya hanya mengambil atau mereka-reka sesuatu isu untuk menumbangkan kerajaan.
“Pada pendapat saya, apabila pembangkang cakap sesuatu, jangan layan mereka, selama 23 tahun (menjadi Perdana Menteri) saya tidak melayan mereka.
“Pembangkang akan sentiasa menuduh kerajaan menipu, apabila mereka mahukan penggunaan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan kerajaan akur pada permintaan itu, mereka tetap tidak menghargainya.
“Mereka tidak berminat untuk menjadikan perkara lebih baik atau pilihan raya bersih, mereka hanya mahukan isu dan di sebalik semua permintaan ditunaikan termasuk membenarkan pengundi-pengundi yang berada di luar negara, mereka tetap tuduh kerajaan menipu,” katanya ketika berucap dalam Forum Ketua Pegawai Eksekutif 2013 anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Menurut Dr. Mahathir, beliau bagaimanapun melihat beberapa parti pembangkang semakin matang apabila dua parti iaitu DAP dan Pas tidak menyokong demonstrasi yang dianjurkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Politik tidak selalunya rasional, pembangkang menggunakan segala isu untuk menuduh kerajaan menipu, mereka boleh tuduh perkara itu tetapi jangan buat kekacauan di negara ini, sekiranya kita menjadi matang, negara ini ada masa depan yang lebih baik,” katanya.
Katanya, beliau bersyukur rakyat Malaysia tidak mempunyai budaya ganas namun hak kebebasan bersuara tidak sewajarnya disalahgunakan dan perkara itu perlu dikawal selia untuk menjaga keamanan serta kestabilan negara.
Katanya, usaha juga perlu dilakukan untuk memperkukuhkan integrasi serta perpaduan rakyat negara ini yang berbilang bangsa dan agama.
Menurutnya, matlamat itu boleh dicapai dengan setiap rakyat Malaysia memperkasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan dan setiap pelajar tanpa mengira bangsa mendapat pendidikan di sistem sekolah yang sama.
Dalam pada itu, menurut Dr. Mahathir, beliau percaya kepada sistem demokrasi, namun beliau berpendapat kerajaan perlu kuat bagi menghadapi cabaran yang bukan sahaja datang dari dalam negara tetapi juga luar negara.
“Sekiranya kerajaan lemah, pelaksanaan polisi dan undang-undang menghadapi kesukaran, lagipun kita memerlukan tempoh masa untuk satu-satu idea direalisasikan,” katanya.