Tabur bakti pendidikan negara

Oleh RAJA JAAFAR ALI
utusanjohor@utusan.com.my
Bangunan yang menempatkan bilik-bilik darjah masih teguh berdiri.

JOHOR BAHRU 28 April – Tiga tahun lagi bakal menyaksikan genap seabad umur Sekolah Menengah Kebangsaan Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) yang sebelum ini dikenali sebagai English College (EC) menabur bakti dalam pendidikan negara.

Memulakan operasi pada 21 Mac 1914, di bangunan berdekatan Istana Sungai Chat dan berhadapan dengan Pantai Lido, seramai 21 pelajar terpilih dari Sekolah Bukit Zahrah ditempatkan di sini di bawah tunjuk ajar dua guru ‘orang putih’ dari England yang dikenali sebagai Mr. Morrison dan Mr. Holman.

EC terus berkembang sebagai institusi pendidikan Inggeris di bandar raya ini sebelum dipindahkan ke Jalan Sungai Chat berhadapan dengan Dataran Bandaraya pada 1930 dan terus mencipta nama dengan kelahiran kumpulan-kumpulan pelajar cemerlang.

Pendudukan Jepun di Tanah Melayu dari 1941 hingga 1945 menyaksikan EC bertukar peranan menjadi markas tentera, kilang senjata, hospital dan tempat tahanan sebelum dibuka semula pada 1946 dengan kemasukan kumpulan pelajar perempuan pertama tiga tahun kemudian.

Sebaik tamat penjajahan British, nama EC ditukar kepada MSAB pada 1960, bersempena nama Sultan Abu Bakar, Bapa Pembangunan Johor yang membawa kemodenan dalam pentadbiran kerajaan Johor dan sekolah ini melahirkan banyak ‘produk’ tokoh seperti Tun Hussien Onn, Tun Dr. Ismail dan Tun Musa Hitam.

Pada masa kini, kesemua sejarah lengkap sekolah ini sejak awal penubuhan, era kegemilangan dan suka dukanya dihimpunkan di dalam Muzium Mini Tun Hussein Onn di dalam MSAB sendiri.

Pada 1998, ia telah dirasmikan anak kepada Perdana Menteri ketiga itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Melangkah masuk ke dalamnya, terpampang gambar tokoh-tokoh terkemuka yang lahir dari sekolah ini termasuk Sultan Johor sendiri, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menerima pendidikan formal di sekolah ini.

Selain itu, banyak gambar hitam putih generasi terdahulu MSAB yang membangkit nostalgia di bangku sekolah terutama kepada Alumni MSAB terhadap sekolah berusia 97 tahun ini.

Bukan itu saja, muzium mini itu juga menempatkan peralatan makmal, buku teks dan latihan pelajar pada era 1930-an hingga kini, termasuk juga piala-piala kemenangan.

Pemimpin-pemimpin lain yang menerima pendidikan di sekolah ini ialah bekas Presiden MCA, Tan Sri Lee San Choon; bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Mohamed Rahmat; wartawan dan penulis, Adibah Amin; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz.

Selain itu, juga bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Tan Sri Muhammad Ali Hashim; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsudin Osman, Datuk Chua Jui Meng dan Datuk Bandar Johor Bahru, Jaffar Awang.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MSAB, Zais Akil berkata, siapa saja digalakkan mengunjungi muzium mini tersebut untuk mengetahui dengan lebih dekat sejarah penuh penubuhannya, terutama bekas-bekas pelajar sekolah ini.

“Kita akan buat majlis besar-besaran sempena 100 tahun MSAB pada 2014 nanti. Muzium ini menjadi saksi kepada kecemerlangan yang ditonjolkan oleh mereka yang pernah mendapat pendidikan awal di sini dari era penjajah, kemerdekaan dan kemajuan Malaysia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Alumni MSAB, meluahkan rasa bangga dengan penganugerahan Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Sekolah Premier sejajar dengan matlamat membina negara bangsa, pembangunan modal insan, melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan dan memartabatkan profesion perguruan.

p/s  Saya adalah salah seorang bekas pelajar MSAB (EC) dari tahun 1975 sehingga 1979. Peperiksaan yang diduduki ialah Lower School Certificate (LCE) dan Malaysia Certificate of Education (MCE). Mewakili MSAB dalam pasukan Bolasepak bawah 15 thn (1977) dan bawah 18 thn (1979). Kepada rakan-rakan yang mengenali saya boleh hubungi saya di jalaini62@yahoo.com. Sejarah tidak akan dilupai… Untuk lebih mengenali saya klik about me di blog ini.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s