38,000 komputer diagih

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

AHMAD Bashah Md. Hanipah (belakang, lima dari kiri) bersama guru dan pelajar pada majlis pelancaran pemberian komputer 1Malaysia di SMKTAR di Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 27 April – Sebanyak 38,000 unit komputer riba 1Malaysia akan diagihkan kepada pelajar yang layak di 178 buah sekolah menengah di seluruh negeri ini menjelang Jun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, kerajaan Persekutuan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperuntukkan RM38 juta bagi tujuan itu di bawah Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI).

Katanya, pengagihan komputer berkenaan yang dibuat secara berperingkat membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu masyarakat khususnya pelajar luar bandar supaya celik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Pemilikannya dengan sasaran satu komputer bagi satu keluarga memberi kemudahan kepada pelajar dan masyarakat untuk mengakses jalur lebar secara lebih meluas.

“Kita harap pemberian ini juga dapat merapatkan jurang digital serta komunikasi antara penduduk di kawasan bandar dan luar bandar,” katanya pada majlis pelancaran pemberian komputer 1Malaysia di bawah NBI peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman (SMKTAR) di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah SKMM Wilayah Utara, Mohd. Hussin Ali dan Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat. Pada majlis tersebut seramai 389 pelajar SMKTAR menjadi kumpulan pertama menerima sumbangan komputer riba berkenaan.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, pengetahuan dalam bidang ICT menjadi faktor penting bukan sahaja kepada kecemerlangan akademik bahkan memastikan masyarakat pada masa ini celik teknologi maklumat agar setanding dengan rakyat di negara maju.

“Penggunaan ICT dalam pembelajaran amat berguna apabila kesemua maklumat dikehendaki diperoleh dengan mudah dan cepat. Pada zaman sekarang, menjadi satu kelebihan bagi mereka yang melayari Internet untuk menyediakan pelbagai bahan rujukan serta maklumat.

“Nasihat saya kepada pelajar jangan menyalahgunakan kemudahan ini untuk tujuan yang tidak baik.

“Ibu bapa perlu memantau aktiviti anak-anak ketika menggunakan komputer supaya ia tidak disalahgunakan,” katanya.

Sementara itu Mohd. Hussin berkata, pihaknya sentiasa berusaha meningkatkan tahap penembusan jalur lebar supaya kemudahan itu dapat dinikmati oleh masyarakat ke arah melahirkan modal insan berkualiti tinggi yang setanding dengan negara-negara maju.

Antara langkah yang diambil kata beliau, ialah bekerjasama dengan syarikat penyedia kemudahan jalur lebar dan membuka Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) di kawasan-kawasan tertentu seperti di tanah rancangan Felda.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s