>Banyak lagi kesilapan Nik Aziz perlu akui

>


Oleh Dr Mashitah Ibrahim
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
2011/02/17

Mursyidul Am PAS akhirnya mohon maaf keterlanjuran guna istilah ‘jakun’ rujuk perbuatan buruk

MURSYIDUL Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat akhirnya memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Orang Asli berikutan keterlanjurannya selama bertahun-tahun menggunakan istilah ‘jakun’ dalam ceramah dan kenyataannya bagi mengaitkan perbuatan buruk seseorang. Ramai yang kurang percaya seorang Menteri Besar dan tokoh politik tidak tahu perkataan itu merujuk nama satu keturunan Orang Asli. Tak apalah, yang penting beliau mengakui kesilapan dan berjanji “akan menjaga mulut daripada mengeluarkan perkataan yang boleh melukakan hati manusia kerana Islam melarang kita berbuat demikian.” Tindakan Nik Aziz adalah ekoran protes masyarakat Orang Asli yang amat sedih dan terguris hati dengan kekerapan beliau menggunakan perkataan itu dan konotasi negatif terhadap suku kaum itu.

Atas prinsip sama, Nik Aziz perlu memohon maaf kepada seluruh umat Islam di negara kita, tidak terkecuali ahli UMNO beragama Islam kerana selama berpuluh tahun sudah mengeluarkan pelbagai fatwa dan kenyataan yang mengelirukan serta panggilan dan gelaran yang buruk dan menghina terhadap orang Islam lain.

Terbaru, pada sidang media 28 Januari lalu di Kampung Redong ketika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, beliau menyifatkan mereka yang tidak mengundi PAS sebagai orang jahiliah.

Tuduhan ini tidak unik atau spesifik ketika pilihan raya kecil DUN Tenang, malah sudah dilemparkan oleh beliau dan pemimpin PAS kepada UMNO tidak henti-henti sejak 50tahun lalu. Orang UMNO pernah dituduh kafir kerana berkongsi kuasa memerintah Malaysia dengan parti bukan Islam dalam Barisan Nasional (BN). PAS masih berpegang kepada Amanat Haji Hadi yang mengkafirkan UMNO dan Nik Aziz tidak pula mengasingkan dirinya daripada amanat itu. Justeru, untuk sekian lama, orang PAS berpegang kepada kepercayaan bahawa haram bersolat berimamkan seseorang yang diketahui menyokong UMNO atau belajar agama daripada guru agama kerajaan. Aktiviti sosial, majlis kenduri, kematian dan keramaian lain anjuran orang UMNO atau penyokong BN dipulau orang PAS, terutama di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang dan Perlis.

Di Bachok, Kelantan, ada kes suami yang berpegang kepada amanat ini menceraikan isterinya semata-mata kerana isterinya penyokong parti yang tidak sama dengannya. Nyata pegangan politik PAS telah meruntuhkan masjid yang dibina atas dasar kasih sayang dan keluarga.

UMNO juga dikatakan parti assabiyah dan kerajaan BN yang dipimpinnya dituduh taghut kerana kononnya tidak melaksanakan undang-undang Islam.

Nik Aziz juga pernah berdoa memohon mata pemimpin UMNO menjadi buta. Mengikut jejak beliau, pemimpin PAS mengeluarkan fatwa membolehkan bergaduh dengan orang Islam lain terutama dengan orang UMNO dan jika mati, dianggap mati syahid.

Pernah darah seorang penulis agama sebuah akhbar harian dihalalkan hanya kerana beliau tidak menyokong PAS dalam tulisannya, manakala sekumpulan wartawan akhbar Berita Harian, New Straits Times, Utusan Malaysia dan TV3 yang membuat liputan muktamar PAS pernah diugut akan dibakar hidup-hidup kerana bekerja dengan media sekular.

Nik Aziz dan barisan pemimpin PAS menanam semangat ‘PAS adalah Islam, Islam adalah PAS’ terhadap ahlinya, justeru jika tidak menyokong PAS bererti menolak Islam. Undi PAS adalah undi Islam, maka jika tidak mengundi calon PAS bererti melakukan dosa dan tidak boleh masuk syurga.

Orang UMNO pernah dihina Nik Aziz dengan pelbagai panggilan seperti menate (binatang), anjing, babi, barua dan kini, digelar jahiliah pula semata-mata kerana tidak mengundi calon PAS.

Apakah ini datangnya daripada orang yang digelar tok guru dan ulama, mewakili pula parti yang kononnya memperjuangkan Islam? Jika benar PAS parti Islam, apakah boleh kita percaya bahawa segala tindakan dan tuduhan liar seperti ini diredai Allah SWT dan sejajar dengan ajaran Rasulullah SAW?

PAS sebenarnya bukanlah sebuah jemaah Islam, tetapi sebuah parti politik yang didaftar dengan kerajaan British selepas ditubuhkan pada 16 September 1951. Ertinya kewujudan PAS hanya selepas mendapat restu dan kelulusan penjajah yang kafir dan latar belakangnya Kristian atau Yahudi.

PAS bukan hizbullah (parti Allah), tetapi sebuah parti politik yang hanya sah bergiat di Malaysia, bukan global, bagi memenuhi keperluan sistem demokrasi berparlimen seperti juga dengan UMNO, Berjasa, Hamim dan parti lain yang dipelopori orang Islam.

Islam adalah addin yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur selama 22 tahun 2 bulan 22 hari melalui Malaikat Jibrail yang termaktub dalam Quran.

Islam bukan hak eksklusif PAS Orang Islam lain, juga pertubuhan seperti PERKIM dan IKIM, parti politik seperti UMNO, institusi seperti Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam dan Tabung Haji, juga gerakan seperti persatuan pelajar Islam dan jemaah tabligh turut memperjuangkan Islam, malah dikira dari segi sumbangan, lebih besar relevan dan impaknya daripada aktiviti PAS.

KOMEN : DAH AGAK DAH DIA AJE YANG BETUL. FIKIRLAH SENDIRI MANA YANG NAK DIIKUTI. ADAKAH PAS ITU ISLE….

>’Kakitangan kerajaan Selangor tak gembira’

>


Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my
2011/02/17

Kajian UKM dapati 65.6 peratus tidak yakin dasar dilaksana

KUALA LUMPUR: Kajian sebuah universiti tempatan mendapati 65.6 peratus kakitangan awam kerajaan Selangor tidak gembira dengan pemerintahan kerajaan negeri itu kerana tidak yakin dengan dasar yang diamalkannya. Penjawat awam negeri itu juga menganggap tiada perubahan besar dalam politik kerajaan Selangor sejak pilihan raya umum pada Mac 2008, sekali gus menyebabkan mereka tidak suka pakatan DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR)-PAS memerintah Selangor semula. “Sebanyak 76.3 peratus daripada 720 responden yang disoal kecewa dengan situasi politik semasa kerana pemimpin politik negeri kurang menumpukan perhatian atau tanggungjawab untuk mengurus dan memajukan sumber ekonomi negeri secara menyeluruh.

“Malah, tahap kepercayaan terhadap internet dan blog, masing-masing 26.1 dan 22.4 peratus, mengatasi kepercayaan terhadap pemimpinnya iaitu hanya 20.8 peratus,” katanya.

Soal selidik bertajuk ‘Pemerintahan Pakatan Rakyat: Kajian Pungutan Pendapat di Kalangan Kakitangan Awam Selangor’ itu membabitkan 720 responden kakitangan awam di Selangor merangkumi penjawat persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu dijalankan Ketua Program Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali; Pensyarah Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, Junaidi Awang Besar dan Pengarah Pusat Teknologi Penerbitan, Prof Dr Kamaruddin M Said. Soal selidik itu membabitkan 91 peratus responden Melayu, 3.3 peratus (Cina) dan 4.3 peratus lagi India.

Selangor dengan penduduk seramai 4.6 juta adalah salah sebuah negeri yang maju dengan sumber pendapatan sektor perindustrian, perkhidmatan dan pertanian.

Jumlah pengundi berdaftar di negeri itu adalah 1,422,274 orang dan bilangan yang terbabit dalam sektor perkhidmatan kerajaan pula seramai 252,777 orang.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, pembangkang menguasai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor membabitkan lapan wakil PAS, 13 (DAP) dan 15 (PKR), manakala Barisan Nasional (BN) memperoleh 20 kerusi DUN.

Hasil soal selidik itu juga menunjukkan kerajaan Selangor belum menunaikan sebahagian janji Pilihan Raya Umum 2008.

Contohnya, kerajaan Selangor hanya memberikan bayaran RM1,000 kepada pelajar miskin yang memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) sedangkan mengikut manifestonya, menjanjikan semua rakyat negeri itu melanjutkan pelajaran ke IPT.

Sebanyak 56.6 peratus responden juga menyatakan dasar kongsi kuasa kerajaan Selangor bukan kerajaan alternatif terbaik dan 60.3 peratus bersetuju dasar yang dijalankan lebih banyak dipengaruhi DAP, manakala 56.4 peratus berpendapat dasar pentadbiran bermasalah.

KOMEN : APA KATA MB SELANGOR DARI PKR TU DENGAN HASIL SOAL SELIDIK YANG DIJALANKAN. BELIAU BARU SAJA MEWARTAKAN BAHAWA SOKONGAN RAKYAT KEPADA KERAJAAN PAKATAN PEMBANGKANG TERUS BERTAMBAH…. MANA DIA DAPAT FAKTA TENTANG SOKONGAN RAKYAT PADA DIA PUN KITA TAK TAHU. MEMANG MEREKA MEMERINTAH SELANGOR IKUT SUKA MAK BAPA DIA ORANG AJE. CAKAP TAK SERUPA BIKIN. KEPADA RAKYAT SELANGOR TAK PAYAH BERDEMOSTRASI KITA TUKAR KERAJAAN BERMASALAH INI PADA PRU 13 NANTI. UNDI JANGAN TAK MENGUNDI.