Mawar tema Floria

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
kota@utusan.com.my
RAJA Nong Chik Raja Zainal Abidin bersama isterinya, Datin Nafisah Raja Nong Chik tertarik dengan bunga mawar yang menjadi tema Floria Putrajaya 2011 pada majlis pra pelancarannya di Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA 16 Jun – Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yakin kutipan hasil jualan sempena Festival Bunga dan Taman atau Floria Putrajaya 2011 akan meningkat lebih 100 peratus tahun ini berdasarkan prestasi jualan pada tahun lalu.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, pada 2009 sebanyak RM767,949 berjaya dikutip manakala pada tahun lalu melonjak 118 peratus dengan kutipan RM1.67 juta.

“Peningkatan sebanyak RM906,086 dalam tempoh setahun satu pencapaian yang amat membanggakan. Saya yakin kutipan jualan tahun ini akan terus meningkat kerana kita menyasarkan kehadiran pengunjung seramai 800,000 orang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Floria Putrajaya 2011, di sini hari ini.

Floria Putrajaya 2011 akan berlangsung dari 9 hingga 17 Julai di pesisiran Tasik Putrajaya di Presint 2, bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam dari Isnin hingga Khamis manakala ia bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam dari Jumaat hingga Ahad.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ahmad Phesal Talib dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Samsudin Osman.

Festival yang bertemakan ‘Mawar Selamanya’ bakal menyaksikan bunga mawar atau ros dipilih sebagai bunga tema pada tahun ini bagi menggambarkan negara kaya dengan spesies tumbuh-tumbuhan berbunga.

Nong Chik memberitahu, festival kali ini akan diwarnai penyertaan tiga agensi korporat dan swasta, enam jabatan dan agensi kerajaan, lapan persatuan, pengusaha bunga, 13 buah sekolah rendah, sembilan buah sekolah menengah dan 10 buah universiti.

“Bagi menjadikan Floria bertaraf antarabangsa, kita turut menjemput peserta antarabangsa dari New Zealand, United Kingdom, Amerika Syarikat, Hong Kong, Kanada, Korea, Taiwan, Jepun, Pakistan, Kenya, Indonesia, Macau dan Thailand,” katanya.

Acara tahunan itu turut mencatat satu lagi sejarah apabila Kementerian Pelancongan mengadakan 1Malaysia International Night Floral Parade 2011 di Tasik Putrajaya sepanjang tempoh sembilan hari acara itu berlangsung.

Lebih 200 program termasuk ‘garden centre’, agro bazaar, produk agro, ‘master garderner’, ‘botanical discovery’, pertunjukan bunga api, hiburan, persembahan dan pavilion bunga-bungaan akan turut menyerikan lagi festival tersebut.

“Saya amat berharap Floria yang sudah berlangsung sejak 2007 ini dapat mendidik masyarakat menghargai tanaman berbunga seperti di luar negara kerana ada ketikanya taman bunga mereka hampir tidak memerlukan penyenggaraan,” kata Nong Chik.

Sebanyak 12,000 pokok bunga mawar pelbagai spesies akan dipamerkan selain 400,000 tumbuhan berbunga dan berwarna-warni juga akan menghiasi landskap-landskap menarik pada festival ini.

p/s  Terkenang lagu Alleycats.. Sekuntum Mawar Merah… Sebuah Puisi… Untuk Gadis Pilihan…. oh..oh…oh.. Dibulan Februari…

Pantai putih Teluk Batik

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

POHON-POHON yang rendang di sepanjang hamparan pantai menjadikannya ideal untuk aktiviti berkelah.

WALAUPUN pemanduan dari Kuala Lumpur ke Teluk Batik mengambil masa kira-kira empat jam, warga kota yang mencari detik ketenangan dan riadah bersama keluarga tetap menjadikannya pilihan popular destinasi percutian di negeri Perak.

Keletihan mengharungi perjalanan jauh itu bertukar tenang apabila akhirnya berpeluang untuk bersantai di tepi pantai sambil menikmati hembusan bayu segar dan deruan ombak di pantai berkenaan.

Terletak kira-kira enam kilometer dari bandar Lumut, Teluk Batik sentiasa dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara yang mahu menikmati keindahan pantainya dan kepelbagaian aktiviti yang ditawarkan.

MUZIUM SIPUT adalah salah satu daripada lokasi yang wajib dikunjungi.

Menurut sejarah, pada mulanya, ia dikenali sebagai Teluk Batak disebabkan kehadiran kaum Batak yang berasal dari Sumatera di kawasan itu suatu ketika dahulu.

Diceritakan, kaum Batak telah menjadikan kawasan itu sebagai tempat berlindung daripada serangan lanun dan perompak yang bermaharajalela di sekitar laluan Selat Melaka.

Lama-kelamaan, kawasan sekitarnya telah menjadi penempatan kaum Batak di Perak. Namanya terus kekal sebagai Teluk Batak sehinggalah sekitar tahun 70-an, apabila ia diubah secara rasmi kepada Teluk Batik.

Untuk tiba ke sini, pengunjung boleh mengikuti laluan simpang Teluk Muroh yang terletak berhampiran Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Kehadiran penunjuk arah yang terpampang di sepanjang laluan nyata memudahkan pemanduan.

Pantai redup

PELBAGAI prasarana baru seperti Dataran Hadhari ini menceriakan kunjungan.

Keunikan Teluk Batik terletak pada hamparan pantainya yang memutih di samping penyediaan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengunjung.

Pohon rhu yang tumbuh meliar di kawasan pantai nyata meredupkan pandangan. Pantainya yang bersih menjadi tarikan untuk pengunjung berkelah, bermandi-manda mahupun menyertai sukan pantai. Antara sukan popular adalah bola tampar pantai dan juga bola sepak pantai.

Pengunjung juga boleh mencuba aktiviti kayak dan menaiki bot untuk bersiar-siar mengelilingi landskap teluk itu.

Selepas puas membasahkan diri di pantai, pengunjung boleh meluangkan masa untuk meninjau gerai kraftangan yang terletak berhampiran. Pelbagai cenderamata seperti kemeja-T, baju batik, pario dan topi dijual pada harga berpatutan.

DERETAN kedai kraftangan dan cenderamata menyambut pengunjung yang mahu membeli-belah.

Jangan lupa membeli pelbagai produk laut seperti sate ikan, sotong dan ikan bilis kering sebagai oleh-oleh untuk dibawa pulang.

Jika perut berasa lapar, usah risau kerana terdapat deretan gerai makanan dan minuman yang menawarkan pelbagai variasi hidangan untuk menyambut selera pengunjung.

Tidak lengkap kunjungan ke Teluk Batik sekiranya tidak melawat Muzium Siput yang terletak berhampiran. Dengan seni bina rumah Melayu tradisional, muzium itu menyimpan lebih 300 spesies siput dan cengkerang yang terdapat di negara ini.

Biarpun dikenakan sedikit bayaran, namun pelbagai maklumat yang dikutip sepanjang lawatan ke muzium itu nyata berbaloi. Secara tidak langsung, kunjungan ke sini dapat mendidik pengunjung menghargai khazanah marin negara.

Pengunjung juga boleh mencuba pengalaman snorkeling ketika melawat Snorkeling Park. Ia merupakan taman tema pertama seumpamanya di Malaysia yang khusus untuk penyelam-penyelam yang mahu melihat keindahan hidupan laut walaupun berada di darat.

Dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang ia menawarkan pelbagai pakej yang sesuai untuk pelbagai kumpulan dan peringkat usia.

Bagi pengunjung yang ingin bermalam, Teluk Batik menawarkan pelbagai bilik dan calet yang boleh disewa dengan kadar berpatutan. Antaranya ialah, Teluk Batik Resort, Marina Cove Resort, Crystal Bay Chalet, Impian Chalet dan Chalet Pak Man.

Istana Jahar hadiah perkahwinan

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my
 
Muzium Adat Istiadat DiRaja Kelantan (Istana Jahar)
Muzium Adat Istiadat DiRaja Kelantan (Istana Jahar)

KELANTAN mempunyai seni budaya yang unik. Kesenian serta tradisi lamanya masih kekal dan dapat di lihat pada istana-istana lama yang mengagumkan.

Peluang menghabiskan masa setengah hari di Zon Budaya, Kota Bharu Kelantan memberi pelbagai pengetahuan baru mengenai sejarah dan kesenian di negeri kelahiran Cik Siti Wan Kembang itu.

sebelum   selepas

  • FotoMuzium Islam
  • FotoMuzium Kraftangan (Balai Getam Guri)
  • FotoMuzium Negeri Kelantan
  • FotoMuzium Diraja
  • FotoMemorial Peperangan Dunia Kedua (Bank Karapu)

Penerokaan awal bermula apabila penulis bersama beberapa rakan media tersesat ketika mencari Restoran Nasi Ulam di Kampung Kraftangan.

Dari Pasar Siti Khatijah, kami berjalan kaki sehingga melalui beberapa istana lama yang mempunyai seni ukir cukup memukau.

Mungkin rezeki kami, walaupun tiada dalam jadual, kami berpeluang mengunjungi muzium di tengah bandar Kota Bharu itu.
 Menariknya, pengunjung tidak perlu jauh untuk melihat semua muzium di Kota Bharu kerana jarak antara muzium sangat berdekatan.

Justeru, kami hanya berjalan dari satu muzium ke satu muzium untuk melihat sendiri bangunannya yang unik serta barangan yang dipamerkan.

Muzium itu di buka setiap hari bermula 8.30 pagi hingga 4.45 petang kecuali Jumaat.

Muzium Adat Istiadat DiRaja Kelantan (Istana Jahar)

Muzium itu pada asalnya adalah Istana Raja Bendahara Tengku Long Kundor Sultan Ahmad.

Istana dikenali sebagai Istana Jahar itu mula dibina menggunakan kayu pada zaman akhir pemerintahan Sultan Muhammad II (1837 – 1886).

Pembinaannya siap pada 1887, setahun selepas kemang�katan Sultan Muhammad II. Istana ini dibina sebagai hadiah perkahwinan kepada cucunda baginda Long Kundur dengan Tengku Embong, puteri kepada Tengleu Puteh, Raja Pattani III.

Bersesuaian dengan istana yang sudah menjadi tempat persemayaman beberapa Sultan yang memerintah, istana itu dijadikan Muzium Adat Istiadat DiRaja Kelantan yang dirasmikan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra pada 27 Julai 1992.

Muzium, ini mempamerkan peralatan (artifek-artifek) mengenai adat istiadat Diraja di zaman dahulu bermula dari sejak kelahiran hinggalah ke alam perkahwinan seperti melenggang perut, menyambut kelahiran, mencukur jambul, mandi bersiram, pijak tanah dan istiadat berkhatan.

Selain itu terdapat juga koleksi tekstil, peralatan tembaga dan alat perhiasan diri. Menariknya, semasa pameran berlangsung, pengunjung akan diperdengarkan (diiringi) dengan alunan muzik tradisional.

Muzium ini dibuka setiap hari kecuali Jumaat mulai jam 8.30 pagi hingga 4.45 petang de�ngan bayaran RM1 bagi dewasa dan 50 sen untuk kanak-kanak.

Bagi pelancong asing, bayarannya RM2.

Muzium Islam

Bangunan ini asalnya adalah rumah kediaman Menteri Besar Kelantan. Ia dibina pada tahun 1902 berasaskan gaya dan ciri-ciri rumah Melayu Kelantan model awal abad ke-20.

Pada 1917, bangunan itu dijadikan pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Muzium Islam ini yang dirasmikan Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pada 11 November 1991, berfungsi sebagai institusi mengumpul, menyelidik, memelihara dan mempamerkan warisan sejarah sosial budaya masyarakat Islam.

Galeri pameran di muzium itu mempamerkan koleksi muzium dalam bentuk artifek, model, replika dan peta me�ngenai sejarah dan perkembangan Islam di negeri Kelantan. Sehingga kini 350 koleksi sudah dipamerkan.

Muzium Negeri Kelantan

Muzium Negeri Kelantan adalah bangunan batu yang sebelum ini pejabat Majlis Perbandaran Kota Bharu. Ba�ngunan itu kemudiannya dibaik pulih dan diubah suai pada 1990 menjadi muzium.

Antara koleksi barangan dipamerkan ialah alat-alat muzik tradisional, permainan tradisional, koleksi seramik dan alat pengangkutan darat dan air. Di sini juga terdapat ruangan sejarah purba iaitu replika ‘Gua Cha’.

Bahagian setengah tingkat pula mempamerkan Seni Budaya Negeri Kelantan termasuklah peralatan permainan wayang kulit, rebana ubi, makyong, menora dan lain-lain.

Muzium Diraja

Bangunan Muzium Diraja yang lebih dikenali dengan Istana Batu siap dibina dalam tahun 1939 iaitu hadiah perkahwinan kepada Sultan Yahya Petra (1961-1979) daripada ayahanda saudara baginda, Sultan Ismail (1920-1944).

Penubuhan Muzium Diraja itu menambahkan lagi destinasi pelancongan di negeri Kelantan kerana ia adalah salah satu muzium yang dianggap paling menarik.

Ia juga sesuai dikunjungi pelancong tempatan dan luar negara khususnya untuk membuat kajian serta penyelidikan keluarga Diraja Kelantan.

Muzium Diraja ini me�ngumpul koleksi Diraja yang terdiri daripada salasilah Kesultanan Melayu Kelantan, gambar berkaitan kegiatan kemasyarakatan dan kegemaran AI-Sultan, Raja Perempuan, Tengku Mahkota dan kerabat lain.

Di muzium ini dipamerkan hadiah persembahan yang diterima Sultan dan Raja Perempuan dari luar dan dalam negara.

Muzium Kraftangan (Balai Getam Guri)

Muzium Kraftangan (Balai Getam Guri) adalah sebahagian daripada bangunan Kampung Kraftangan yang diperuntukkan kepada Perbadanan Muzium Negeri Kelantan dan dijadikan Muzium Kraftangan.

Ia dirasmikan oleh Raja Perempuan Kelantan 27 Julai 1991 yang mempamerkan hasil-hasil krafta�ngan Kelantan seperti sulaman tradisional, tenunan songket, batik, pertukangan perak dan anyaman.

Muzium itu terletak di pusat bandar Kota Bharu, dalam kawasan Zon Budaya dan berhampiran dengan Pasar Buluh Kubu.

Asalnya, bangunan itu adalah kepunyaan Sultan Kelantan. Kawasan itu dahulunya dipenuhi dengan rumah setinggan kemudian dibersihkan untuk dijadikan taman permainan kanak-kanak. Bangunan ini dibina pada 9 Mac 1991 dan kemudiannya dikenali sebagai Kampung Kraftangan.

Di dalam muzium itu, pengunjung boleh melihat pelbagai koleksi hasil kraftangan masyarakat tempatan yang dipamerkan antaranya alat-alat menenun songket, barangan yang diperbuat daripada buluh, tembaga dan banyak lagi.

Memorial Peperangan Dunia Kedua (Bank Karapu)

Bangunan Memorial Peperangan Dunia Kedua pada asalnya adalah sebuah bank perdagangan pertama di Kelantan iaitu ‘The Mercantile Bank of India’. Selepas Perang Dunia II, ia diambil alih oleh ‘The Hongkong & Shanghai Bank’.

Dalam masa pendudukan Jepun 1941-1945, bangunan ini digunakan sebagai Pejabat Polis Rahsia Jepun “Kampetai” dan lokap tempat siasatan mereka yang anti-Jepun.

Bertepatan dengan Kelantan iaitu sasaran pertama Tentera Jepun dalam usaha menakluki Tanah Melayu dalam Perang Dunia Kedua, bangunan itu dinaik taraf untuk dijadikan Memorial Peperangan Dunia Kedua dan perasmian pembukaannya disempurnakan oleh KDYMM Al Sultan Ismail Petra pada Ogos 1994.

Melangkah masuk ke muzium itu, pengunjung akan terpegun melihat periuk api yang sangat besar.

Di bahagian galeri bawah memorial itu dipamerkan keterangan-keterangan, gambar dan bahan yang berkaitan Perang Dunia Kedua, khususnya di Kelantan.

Ini termasuklah serangan Jepun ke atas Kelantan mengikut kronologi. Pertahanan Tentera British Zaman Pemerintahan Jepun sehingga Jepun menyerah kalah dengan gugurnya bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.

Di galeri atas (tingkat satu) dipamerkan sejarah Kelantan di bawah Pentadbiran British dan Siam (Thailand) serta Kelantan sebelum dan selepas Merdeka serta pemberontakan ‘Tok janggut’ pada tahun 1915.

INFO

  • Muzium Negeri-terletak di Jalan Hospital, Kota Bharu berhampiran Bulatan Tun Padang dan bersebelahan Pejabat Tanah Kota Bharu serta Pusat Penerangan Pelancongan
  • Muzium DiRaja-terletak di Jalan Hilir Kota, bersebelahan dengan kampung Kraftangan
  • Muzium Adat Istiadat DiRaja Kelantan-kawasan Kota Sultan Ismail, bersebelahan dengan Istana Balai Besar
  • Muzium Islam-terletak di Jalan Sultan, Kota Bharu berhampiran dengan Padang Merdeka dan bersebelahan Masjid Muhammadi Kota Bharu.
  • Memorial Peperangan Dunia Kedua-terletak di Jalan Sultan, Kota Bharu berhampiran dengan padang Merdeka dan bersebelahan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia.
  • Muzium Kraftangan-Kampung Kraftangan di Jalan Hilir Kota, bersebelahan dengan Muzium DiRaja.
  • Bayaran bagi warga negara ialah RM1 untuk dewasa dan RM0.50 untuk kanak-kanak manakala RM2 untuk pelancong asing.
  • Keterangan lanjut layari http://www.kelantan.muzium.net

Dunia antik Ipoh Station

Hobi pasangan suami isteri yang gemar mengumpul barangan antik dipamerkan buat pelanggan di kafe mereka.

PERKONGSIAN hobi unik Azlina dan suami diperkembangkan menjadi sebuah kopitiam.

SAMBIL diiringi alunan lagu-lagu biduanita Saloma dan seniwati Normadiah, memori zaman 50-an dan 60-an dijelmakan semula tatkala pelanggan melangkah masuk ke Ipoh Station Antique Cafe.

Perasaan itu bertambah nyata apabila melihat susunan koleksi barangan antik tempatan seperti poster filem, iklan dan majalah melatari dinding premis tersebut.

Menurut pemilik bersama dan juga pasangan suami isteri, Azlan Huzairi Mustafa’I Adnan, 46, dan Nor Azlina Osman, 35, restoran itu adalah cetusan daripada hobi mereka yang gemar mengumpul barang-barang antik.

Kata Azlina, hobi mengumpul barangan antik telah membawa pasangan tersebut menjelajah sehingga ke Pulau Pinang dan Melaka bagi mendapatkan item yang mereka ingini.

“Keseluruhan restoran ini dirias menggunakan barangan antik termasuk meja dan kerusi. Walaupun terdapat beberapa bahagian yang baru, ia masih lagi mengekalkan cita rasa zaman 60-an,” kata Azlina.

SUASANA kafe 60-an jelas kelihatan sejurus pengunjung melangkah masuk ke Ipoh Station Antique Cafe.

Filem-filem lama arahan Tan Sri P. Ramlee seperti Bujang Lapuk dan restoran-restoran lama yang masih mengekalkan rekaan zaman kolonial menjadi inspirasi kepada konsep Ipoh Station.

Lebih signifikan, pembukaan rasmi restoran itu telah disempurnakan oleh pelakon veteran, Datuk Aziz Sattar tahun lalu.

Menggunakan tema hiasan kafe antik, susunan barang-barang untuk dekorasi Ipoh Station diatur supaya kelihatan mirip kafe di zaman sebelum zaman merdeka.

Suasana di kaunter bayaran dihidupkan secara nortalgik apabila majalah-majalah hiburan lama digantung secara berderet manakala kehadiran sebuah mesin daftar tunai melengkapkan gaya.

Di bahagian berhawa dingin pula, bar olok-olok turut direka termasuk meletakkan sebuah peti sejuk besar, almari dengan susunan botol minuman ringan dan deretan gelas berkaca tebal.

Bukan itu sahaja, kipas siling, lampu dinding, pembesar suara turut didatangkan dalam model lama dan masih berfungsi dengan baik. Malah, sistem pendawaian turut mengikut gaya dahulu iaitu wayar tidak ditanam dalam dinding.

KOLEKSI kamera antik dipamerkan di para-para.

Warna-warna yang digunakan pula lebih kepada rona coklat, krim dan merah pusam bagi membangkitkan suasana lampau.

Koleksi paling lama yang terdapat di dalam restoran yang terletak di kawasan perniagaan Bandar Puchong Utama itu adalah sebuah kipas berjenama General Electronic Company (GEC) yang berusia kira-kira 80 tahun.

Sesungguhnya, restoran tersebut adalah salah satu cara pasangan suami isteri tersebut berkongsi dengan orang ramai hasil koleksi barang-barang antik yang dikumpul mereka selama 10 tahun.

Sesuai dengan konsep antik kafe, Ipoh Station menghidangkan masakan Melayu Perak yang kebanyakan resipi dan cara memasak diajar oleh ibu mertua Azlina.

Menu Melayu Perak

GANTUNGAN majalah lama turut menjadi elemen hiasan dalaman kafe ini.

Harga yang ditawarkan oleh restoran bergaya klasik ini juga amat berpatutan iaitu pada harga di antara RM5 hingga RM6 sehidang bagi pilihan makanan bergoreng sama ada mi atau nasi.

Minuman yang memenuhi selera rakyat Malaysia seperti kopi, Nescafe, Milo, limau ais dan lain-lain pula dijual pada harga di antara harga RM1.70 hingga RM3.80.

“Hidangan yang wajib dicuba setiap pelanggan adalah gulai tempoyak, ikan patin, asam pedas dan sotong petai yang terdapat dalam set tengah hari kami.

“Set tengah hari bermula pada pukul 11.30 pagi hingga 2.30 petang dengan harga RM8 bagi setiap set,” tambah Azlina.

Ipoh Station juga mempunyai hidangan istimewa iaitu nasi goreng ikan rebus dari Ipoh yang berharga RM6 sehidang selain laksa dan mi rebus yang berharga RM6.50 setiap satu.

Menurut Azlina, setiap rempah dan pes cili sentiasa segar dan dibuat sendiri malah seramai lima orang tukang masak telah dilatih olehnya selama sebulan sebelum memulakan kerja bagi memastikan kualiti dan rasa makanan berada dalam standard yang dikehendaki.

“Menariknya, kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada kaum Cina dan selebihnya Melayu. Mereka memenuhi kafe ini khususnya ketika waktu makan tengah hari.

“Rata-rata mereka adalah pelanggan tetap yang akan datang semula untuk makan dan menikmati dekorasi kafe kami,” kata Azlina.

Pihak Ipoh Station menyasarkan untuk membuka cawangan baru sekurang-kurangnya tiga buah lagi dengan menggunakan konsep yang sama. Dalam perancangan, mereka mahu menjadikan Ipos Station sebagai bisnes francais. – ADLAN JAAFAR

Keunikan Gold Coast Morib

Oleh Azian Aziz
pengarang@utusan.com.my
Taman tema air di Gold Coast Morib Resort. – utusan/Rasmi Abdullah

MORIB, suatu ketika dahulu terkenal sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Kuala Langat, Selangor kerana mempunyai pantai peranginan yang indah.

Bagaimanapun, pelbagai isu timbul termasuk soal kebersihan, selain persaingan dengan destinasi peranginan berdekatan seperti Sepang yang terkenal dengan pantai Bagan Lalang dan Golden Palm Tree Sepang Gold Coast. Kesemua faktor itu menyebabkan kegemilangan Morib semakin pudar.

Penulis yang pernah singgah di pantai Morib sebelum ini mendapati sambutan pelancong terhadap pantai tersebut ‘kurang meriah’.

Namun begitu, ‘kesuraman’ itu dijangka hilang apabila sebuah pusat peranginan baru, Gold Coast Morib dibuka sepenuhnya kelak. Terletak kira-kira lima kilometer dari pantai Morib dan berdekatan Istana Pantai Bahagia milik Sultan Selangor, kehadiran resort itu telah menukar persepsi penulis terhadap Morib.

Jujurnya, penulis tidak menyangka ada tempat peranginan seperti itu dibuka di Morib memandangkan prestasi pantai itu yang tidak lagi sepopular dahulu, selain keliru dengan Golden Palm Tree Sepang Gold Coast.

Tetapi selepas melihat sendiri keindahan landskap, taman tema airnya yang direka cantik, 40 gazebo tepi pantai yang dijadikan restoran makanan laut eksklusif serta kawasan pantai yang telah dibersihkan, membuatkan penulis teruja untuk datang lagi ke pusat peranginan itu.

Apa yang boleh dikatakan, Gold Coast Morib mempunyai keunikan tersendiri. Terletak di tanah seluas 5.6 hektar dan dibina dengan pelaburan RM180 juta oleh usahawan terkenal Datuk Alex Tan, destinasi penginapan ini mula menerima pengunjung termasuk sepanjang musim cuti sekolah lalu walaupun ia masih belum siap sepenuhnya.

Menurut Pengurus Besar Gold Coast Morib Resort Sdn. Bhd., Lau Cheong Leong, buat masa ini hanya 448 studio suite lengkap dengan jakuzi yang dihias indah dengan konsep Bali, Jepun dan Oriental boleh disewa pengunjung pada harga promosi RM250++ semalam.

Beliau berkata, sebanyak 128 unit kondominium dua bilik dan 64 unit tiga bilik masing-masing berharga RM400++ dan RM500++ di resort itu dijangka siap dan boleh diduduki dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.

Selain itu, katanya, Gold Coast Morib juga menyediakan tujuh bilik mesyuarat dan dewan bankuet yang unik kerana kesemua dinding dan bumbungnya diperbuat daripada kaca.

Tambah beliau, pihaknya juga membuka tiga jenis restoran iaitu kopitiam yang menawarkan harga seperti kopitiam di luar, lounge dan restoran makanan laut yang memberi peluang kepada pengunjungnya memilih sendiri apa yang hendak dimakan di ‘pasar ikan’ yang disediakan.

”Tetapi buat masa sekarang pengunjung yang datang menginap di sini hanya boleh makan di restoran sementara, mandi di taman tema yang boleh memuatkan 1,000 orang pada satu masa dan bersiar-siar di tepi pantai serta menikmati keindahan alam semula jadi dengan menyertai aktiviti river cruise di Sungai Jugra.

”Restoran makanan laut yang dinamakan Pavalion By The Sea pula akan beroperasi sepenuhnya penghujung bulan ini dan di sini pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan live band, selain menikmati keindahan laut dan lampu berwarna-warni yang dipasang di semua pokok di kawasan itu.

”Kami juga menanam 150 pokok kelapa di pantai tempat peranginan ini agar suasana nampak lebih tropika dan hijau,” kata beliau ketika ditemui S2.

Cheong Leong memberitahu, pihaknya juga sedang membina 300 unit hotel bajet pada harga antara RM100++ hingga RM150++ semalam, lengkap dengan pusat beli-belah yang mempunyai 300 unit kedai, dijangka siap tahun depan.

Kata beliau, pembinaan hotel bajet adalah bagi memberi peluang kepada semua golongan yang mempunyai bajet kecil untuk datang bercuti ke Gold Coast Morib.

”Gold Coast Morib ini memang sesuai untuk keluarga, kumpulan yang ingin berseminar, syarikat yang mahu mengadakan hari keluarga serta pelancong tempatan dan luar yang cintakan alam semula jadi.

”Setakat ini, kami telah menerima pengunjung luar negara dan banyak permintaan untuk mereka datang berkumpulan termasuk dari Taiwan, Korea dan Jepun memandangkan tempat ini begitu dekat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), iaitu kira-kira 35 minit perjalanan.

”Tidak lama lagi, kami juga akan membuka taman tema air kepada orang ramai yang tidak menginap. Bayaran masuk adalah RM30 termasuk satu hidangan makanan untuk dewasa dan kanak-kanak (RM15),” katanya.

Keunikan siput tanpa cengkerang

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.darif@kosmo.com.my


HIDUPAN yang habitatnya di dasar laut ini mempunyai saiz sebesar kepala mancis sehingga ibu jari. Kepada para penyelam biasa, mungkin mereka terlepas pandang dengan kewujudannya. Namun, kepada penyelam dan jurufoto marin tegar, haiwan ini menjadi salah satu objek buruan lensa kamera mereka.

Mata mereka cekap mengenal pasti kewujudan siput tanpa cengkerang atau lebih mesra dikenali sebagai nudibranch. Selain saiznya yang comel, haiwan tersebut juga terkenal kerana corak pada badannya yang berwarna-warni.

“Sebelum ini sukar melihat nudibranch kerana saiznya yang kecil. Maklumlah, dasar laut dipenuhi dengan pelbagai hidupan. Tetapi kekerapan menyelam akhirnya memberi saya kemahiran mengesan nudibranch di merata-rata tempat di dasar laut,” jelas penyelam skuba Mohamad Tajuddin Mohd. Kassim, 40, sambil memberitahu di Pantai Penunjuk, Kijal, Terengganu terdapat beberapa spesies nudibranch.

Antaranya nembrotha kubaryana, black spot jorunna, glossodoris atromarginata dan flabellian exoptata.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata itu, aktiviti menyelam memberinya kepuasan yang sukar ditemui di darat. Anak kelahiran Trong, Perak yang mempunyai lapan tahun pengalaman menyelam itu menjelaskan, menyelam memberi seseorang pengalaman berada di kawasan tanpa graviti.

“Mengenali dan mendekati pelbagai spesies di dasar laut antara aktiviti yang paling ditunggu-tunggu setiap kali menyelam,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Tajuddin, lazimnya apabila menyelam dia akan terus ke sekitar kawasan yang berbatu atau terumbu karang semata-mata untuk mencari nudibranch. Kadangkala anak ketiga daripada empat beradik itu tidak melepaskan peluang merakam gambar nudibranch untuk koleksi peribadinya.

Menakjubkan

Kepada Fredy Tansari, 26, pula dia berasa bertuah kerana dilahirkan di Jakarta, Indonesia yang dikelilingi pulau-pulau yang memiliki keistimewaan khususnya buat penyelam skuba sepertinya.

Fredy yang merupakan jurufoto dasar laut sepenuh masa berkata, dia sudah menyelam hampir separuh pulau yang terdapat di Indonesia. Antaranya termasuklah Pulau Bali, Pulau Derawan, Pulau Maratua, Pulau 1000, Pulau Shang Hiang dan Pulau Raja Ampat. Dia juga mengakui aktiviti menyelam memberi pengalaman yang menakjubkan.

Menyelam, kata Fredy, memberinya peluang mendalami ekologi dan hidupan laut serta sejarah sesebuah pulau. Selain itu, dia dapat menenangkan fikiran setiap kali lensa kameranya sibuk mencari objek menarik dan pelik di dasar laut untuk dirakamkan.

“Buangkan persepsi bahawa pemandangan yang cantik hanya boleh dilihat di darat sedangkan dasar laut juga menawarkan kepelbagaian hidupan laut yang memukau pandangan. Selain menemui pelbagai jenis ikan yang cantik dan unik dari segi bentuk dan warna, saya menemui hidupan yang pelik.

PERBANDINGAN saiz nudibranch dengan hujung jari manusia.

“Salah satunya nudibranch yang berwarna-warni. Bayangkan, hidupan bersaiz antara dua hingga 21 sentimeter (sm) itu amat cantik dan terdapat dalam bermacam-macam jenis. Badannya lembut dan bercorak. Kadangkala ada spesies nudibranch yang hadir dalam dua warna seperti kuning dan hitam, ungu dan putih serta kuning dan coklat,” tambah Fredy yang berkelulusan dalam bidang sains komputer.

Menurut Fredy, nudibranch merupakan haiwan yang bertoksik bagi menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa ikan. Biasanya, nudibranch makan makanan yang bertoksik bagi mengekalkan kandungan toksik di dalam badannya.

Hidupan beracun

Penyelam dan jurufoto dasar laut dari Pasir Mas, Kelantan, Tan Pee Pheng, 37, mengakui bahawa nudibranch merupakan hidupan yang beracun. Dengan bentuk fizikalnya yang kecil maka haiwan tersebut dapat melindungi diri daripada menjadi makanan si pemangsa.

“Selain dikenali dengan panggilan singkatan nudi, segelintir penyelam menggelarkan nudibranch sebagai permata dan rama-rama di dasar laut. Lihat saja warna-warna dan corak di badan nudi yang begitu menarik.

“Namun, jangan sangka hidupan yang kecil dan secantik itu tidak bahaya. Ia beracun dan bertoksik. Toksik tersebut diperoleh menerusi proses makan bunga karang, alga, rumput laut, obor-obor, binatang moluska, krustasia atau telur ikan,” terang Pee Pheng mengenai pemakanan nudibranch.

Nudibranch mampu menghasilkan racunnya sendiri. Biasanya haiwan tersebut menyimpan zat-zat beracun di dalam badan dan mengeluarkannya menerusi sel kulit atau kelenjar apabila diancam atau diganggu si pemangsa.

Selain itu, warna terang yang menghiasi nudibranch bukan sekadar daya penarik semata-mata malah ia bertindak memberi tanda visual pada pemangsa bahawa hidupan yang berwarna terang bermakna dagingnya tidak enak dimakan.

Menyentuh mengenai aktiviti merakam foto nudibranch, Pee Pheng memberitahu, ia adalah pengalaman yang menyeronokkan dan wajib dilakukan setiap kali pergi menyelam.

“Memang tidak dinafikan kehadiran nudibranch sukar dilihat kerana saiz kecil. Tetapi, biasanya ia berada di sekitar terumbu karang.

“Bagi memudahkan proses mencari haiwan ini, saya menggunakan kanta pembesar. Begitu juga dengan kamera, saya menggunakan kamera Canon G9 dan kanta makro,” kata Pee Pheng. Nudibranch boleh ditemui di pulau-pulau di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Jepun dan Korea.

Dalam pada itu, Pengarah dan Jurulatih Skuba, Ocean Elements, Mohd. Halimi Abdullah, 40, turut menyatakan kecantikan yang dimiliki nudibranch sering menjadi perhatian jurufoto dasar laut.

“Pulau Tenggol di Terengganu antara pulau di Malaysia yang menjadi kawasan habitat utama hidupan laut ini. Hidupan-hidupan laut di pulau itu agak banyak kerana pulau itu masih kekal terpelihara dan kurang dibangunkan.

“Tak silap saya terdapat lebih daripada 50 spesies nudibranch di Pulau Tenggol,” tambah Halimi, yang kerap ke Pulau Tenggol, selain Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Terengganu dan Pulau Mabul, di Semporna, Sabah untuk aktiviti merakam foto nudibranch.

Namun Halimi menyarankan supaya berhati-hati sewaktu merakam hidupan berkenaan. Dia menasihatkan kumpulan jurufoto terutamanya yang baru berjinak-jinak agar tidak bersandar atau memijak terumbu karang.

Terumbu Karang

HALIMI bersama kelengkapan fotografinya yang sering dibawa ketika menyelam di dasar laut.

“Seperti yang kita ketahui kebanyakan nudibranch berada di celah-celah dan sekitar terumbu karang. Jadi, memandangkan saiznya kecil maka ia memerlukan jurugambar mengambil gambar dari sudut yang lebih dekat.

“Namun, apa yang menyedihkan, dek terlalu teruja untuk merakamkan gambar hidupan itu, sesetengah individu secara tidak sengaja merosakkan terumbu karang. Ramai yang tidak tahu terumbu karang memerlukan ribuan tahun untuk membesar. Dianggarkan haiwan tersebut membesar satu sentimeter setahun,” ujar Halimi.

Mengulas lanjut mengenai aktiviti merakamkan foto nudibranch di dasar laut, Halimi menerangkan penyelam boleh menggunakan kamera kompak digital ataupun kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR).

“Berdasarkan pengalaman peribadi saya, kedua-dua jenis kamera ini boleh digunakan untuk merakam foto nudibranch. Cuma perbezaannya dari segi kualiti dan perincian foto tersebut.

“Bagi mereka yang selesa menggunakan kamera kompak pastikan anda bawa bersama perumah kamera kedap air. Ia bukan saja mengelakkan kerosakan pada kamera malah membantu menghasilkan foto-foto nudibranch yang menarik,” jelas Halimi yang menggunakan kamera kompak digital jenama Canon G9.

Halimi dari Taman Melati, Kuala Lumpur mengakui kamera DSLR lebih baik berbanding kamera kompak dalam menghasilkan rakaman foto terbaik. Rupa dan corak nudibranch jelas kelihatan memandangkan aktiviti fotografi berkenaan dibantu dengan teknik fokus menggunakan lensa kamera yang sesuai.

Menurut Halimi, dia membelanjakan RM15,000 untuk membeli kelengkapan kamera di dasar laut. Bagi mendapatkan foto yang menakjubkan, sebaik-baiknya gunakan lensa makro berukuran antara 90 milimeter (mm) hingga 150 mm.

“Pemilihan lensa makro yang betul memudahkan aktiviti fotografi sekali gus membantu penyelam merakam nudibranch yang menyorok di celah-celah terumbu karang,” ujar Halimi ketika ditemui Kosmo!.

Tanjung Balau destinasi surfing

rekreasi@utusan.com.my
PELANGI Balau Resort merupakan pilihan terbaik buat mereka yang berminat dengan aktiviti sukan air.


Malaysia juga mempunyai lokasi luncur ombak sebagaimana yang terdapat di Tanjung Balau, Johor B haru.

Mungkin destinasi tersebut tidak dikenali ramai seperti Desaru, tetapi lokasi perkampungan nelayan itu juga menjanjikan keseronokan buat peluncur (surfer).

Tanjung Balau terletak di daerah Kota Tinggi berhampiran Desaru dan Bandar Penawar.

Secara tidak langsung, ia kini dijadikan sebagai antara lokasi pilihan buat mereka yang menggemari aktiviti sukan air ekstrem tersebut.

Selain pengunjung tempatan, lokasi itu turut menjadi tumpuan pelancong-pelancong luar dari Singapura, Indonesia dan Thailand terutamanya ketika pertandingan luncur ombak sedang diadakan.

Di sini pengunjung berpeluang melihat pelbagai gelagat anak-anak muda yang sedang asyik melayari gelora ombak perairan Laut China Selatan, malah ombaknya juga kuat kadang-kala tinggi melebihi saiz badan manusia.

Oleh itu, meluncur di atas ombak setinggi tujuh kaki sudah tentu mendebarkan, lebih-lebih lagi apabila berjaya melepasi cabaran saat getir ketika ombak sedang mengganas.

Itulah antara gambaran yang dihadapi setiap peluncur yang sedang berdiri di atas papan luncur ombak.

Sukan ekstrem itu menguji keberanian dan kemahiran setiap peluncur untuk mengawal kestabilan papan luncur ketika ia dibawa gelora arus deras.

Pada asasnya, mereka yang ingin mencuba aktiviti itu hanya memerlukan kemahiran berenang dan meluncur.

Cara untuk mengawal papan luncur itu pula agak mudah untuk dipelajari kerana peluncur pada mulanya perlu meniarap di atas papan luncur tersebut dan mengayuh sehingga melepasi ombak.

Selepas itu, peluncur perlu berdiri di atas papan tersebut dan tunggu sehingga ombak datang dan itulah masa yang ditunggu-tunggu peluncur untuk mempamerkan pelbagai aksi menarik.

Luncur ombak merupakan sukan air ekstrem paling diminati dan telah berkembang sehingga menjadi sub-budaya paling dominan di pantai-pantai terkenal di California, Florida dan Hawai, Amerika Syarikat.

Industri sukan ekstrem itu semakin berkembang mengikut arus popularitinya, malah ia turut dibangunkan sehingga menjana berbilion ringgit terutama sekali dalam penjenamaan pakaian dan membentuk pasaran.

Malah ada sesetengah individu menjadikan aktiviti itu sebagai kerjaya tetap dengan menerima tajaan daripada badan-badan korporat.

Menurut penduduk setempat, Silahuddin Ali, kemahiran meluncur dapat dipecahkan kepada beberapa bahagian iaitu menangkap gelombang (drop in catch the wave), pantulan jaringan (the pop-up) dan kedudukan pada gelombang (positioning on the wave).

Selain kemahiran itu, peluncur juga perlu menguasai teknik-teknik untuk menembusi ombak seperti duck diving atau eskimo roll.

“Posisi drop in memerlukan pengalaman yang luas untuk meramal kedudukan gelombang ombak di mana ia akan berpecah.

“Peluncur perlu cepat bertindak sebaik sahaja permulaan gelombang menolak ke hadapan. Oleh itu, latihan mengimbangi badan merupakan persiapan terbaik sebelum terjun ke dalam laut,” katanya.

Beliau berkata, saiz papan luncur juga memainkan peranan yang penting.

“Papan luncur ombak dibahagikan kepada dua jenis iaitu papan luncur panjang (longboard) dan papan luncur pendek (shortboard) yang direka berbeza-beza untuk disesuaikan dengan gaya aksi yang bakal dipamerkan.

“Papan luncur pada asalnya dibuat daripada kayu keras yang besar dan berat. Biasanya saiz papan tersebut dalam tujuh hingga 12 kaki dan berat sekitar 20 hingga 45 kilogram.

“Papan luncur kayu balsa pula lebih ringan tetapi papan luncur moden hari ini banyak yang dibuat daripada polyurethane, jalur-jalur kayu, kain gentian kaca (fiberglass) dan polyester yang lebih ringan dan tahan lasak,” jelasnya.

Tambahnya, peralatan lain yang biasanya digunakan oleh peluncur termasuk ikatan leash yang digunakan bagi menghentikan papan luncur tersebut daripada berlanggar dengan peluncur lain.

Surf wax dan pelapik traction pads pula membantu peluncur daripada tergelincir ketika dilambung ombak.

Selain Tanjung Balau dijadikan sebagai lokasi pilihan peluncur, ia turut menjadi destinasi tarikan ramai yang boleh memberikan keamanan dan ketenangan buat pengunjung.

Ia menyediakan pelbagai kemudahan penginapan antaranya, Pelangi Balau Resort.

Lokasi biliknya nyata strategik dan selesa bertemankan bunyi desiran ombak pantai yang nyaman lagi mengasyikkan.

Selain itu pelbagai lagi lokasi menarik yang terdapat di sekitarnya seperti Muzium Nelayan, Go-Kart, Bujang Boat Fireflies Cruise dan Desaru Fruit Farm.