‘Syurga’ Shangri-La Rasa Ria Tuaran

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my
PEMANDANGAN dari udara Shangri-La Rasa Ria Tuaran yang cantik dan mempesonakan.

TANPA perlu diuar-uarkan lagi, Sabah memang terkenal dengan keunikan dan keistimewaan alam semula jadinya termasuk hutan yang berusia ratusan juta tahun, pantai yang memutih, gugusan pulau yang tidak tercemar serta hidupan liar yang hampir pupus seperti Orang Utan yang boleh ditemui di Borneo dan Sumatera sahaja.

Keunikan itulah yang terus menobatkan Sabah sebagai antara destinasi utama pelancongan tersohor dunia. Agak terlalu jarang mana-mana resort di sesebuah negeri mampu menawarkan semua keistimewaan yang terdapat itu dalam satu pakej yang unggul.

Namun di Shangri-La Rasa Ria Tuaran (Rasa Ria), ada segalanya. Kedudukannya amat strategik dan ia secara sempurna mampu menawarkan segala kelebihan yang menjadi tarikan di Sabah yang juga dikenali sebagai Negeri di Bawah Bayu. Segala tarikan itu ada di bawah satu bumbung.

Rasa Ria berada di tanjung yang menghadap Laut China Selatan, dipagari hutan simpan seluas kira-kira 25 hektar dan dilatari pula dengan ikon Sabah, Gunung Kinabalu yang begitu jelas kelihatan puncaknya semasa langit cerah.

Aman dan tenang apabila berada di sini. Sambil mendengar bunyi hempasan ombak memukul pantai, halwa telinga kita akan dihiburkan juga oleh suara sang burung yang berkicau riang, seolah-olah mengalukan kedatangan tetamu, sama ada individu, berkeluarga mahupun pasangan mempelai untuk menikmati saat-saat indah berbulan madu.

Godaan untuk tidak melakukan sebarang aktiviti iaitu dengan sekadar berehat di dalam bilik atau tepi kolam renang ternyata gagal kerana terlalu banyak aktiviti ‘memberahikan’ ditawarkan di hotel ini.

Sebut sahaja, semuanya ada. Bermula daripada aktiviti menunggang kuda di tepi pantai, memukul bola golf di Dalit Bay Golf & Country Club, belayar meredah lautan ke pulau-pulau indah berhampiran, merasai pemanduan off-road dengan menunggang ATV, menikmati pengalaman terbang bebas seperti burung dengan meluncur angin atau menyertai pakej merentas hutan di hutan simpan.

Jika sudah sampai di sini, jangan lepaskan peluang untuk melihat keletah dan gelagat ‘ala-ala manja’ Orang Utan di pusat pemuliharaan haiwan tersebut di hutan simpan bersebelahan Rasa Ria.

Flora dan fauna unik seperti rusa, pelbagai spesies monyet, landak, burung, tenggiling, ular sawa, tupai, spesies-spesies orkid Borneo turut berteduh di hutan simpan itu.

Selain memberikan kepuasan bercuti kepada pelanggan dewasa, Rasa Ria sama sekali tidak mengabaikan kegembiraan si cilik dengan turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang pasti akan menjadi kenangan terindah yang akan dikenang sampai bila-bila.

Dengan diawasi oleh kakitangan khusus Rasa Ria, kanak-kanak pasti gembira dengan aktiviti mencari dan mengumpul kerang serta siput di tepi pantai, mengenali tanaman dan hidupan liar atau berehat di rumah kelab, Pongo Kids’a Club.

Tidak melupakan pasangan yang dilamun cinta, Rasa Ria juga boleh meraikan hari bahagia mereka dengan melangsungkan perkahwinan di gazebo tepi pantai sambil menikmati pemandangan indah matahari terbenam.

Rasa Ria mempunyai 420 bilik dengan 90 unit daripadanya berstatus premium, dengan kadar harga bermula daripada RM400 termasuk sarapan untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

Kualiti perkhidmatan terbaiknya tidak perlu disangsikan kerana ia telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan dari dalam dan luar negara seperti ISO 14001, Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) untuk sistem keselamatan makanan.

Tarikan acara tradisi kampung

Oleh BASIR ABU BAKAR
basir.abubakar@kosmo.com.my

BALAI polis lama yang sudah dibaik pulih ini menyimpan banyak sejarah mengenai kisah jenayah dan isu keselamatan.

KESERONOKAN dan keunikan merasai pengalaman menginap di homestay sering kali menjadi buah mulut para pelibur khususnya pelancong domestik.

Konsep inap desa itu pasti akan membuatkan sesiapa sahaja yang mendengar berasa teringin dan teruja untuk merasai sendiri tawaran pakej yang banyak disediakan di negara ini.

Oleh itu, jemputan Kementerian Pelancongan Malaysia untuk mengunjungi rumah peserta Inap Desa Kampung Sungai Pasu dan Kampung Gali Hilir di Raub, Pahang tidak dilepaskan oleh Kosmo!.

Inap Desa Sungai Pasu sememangnya tidak asing dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara. Cuma kunjungan kali ini turut memperkenalkan tarikan di sebuah lagi inap desa iaitu Kampung Gali Hilir.

Inap Desa Sungai Pasu yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan sejak tahun 2002 merupakan salah satu daripada banyak inap desa yang aktif di negara ini.

Terletak hanya 13 kilometer dari bandar Raub atau 150 kilometer dari Kuala Lumpur, keindahan kampung dengan kedudukan rumah yang tersusun dan masing-masing dihiasi landskap pokok bunga di pekarangannya sudah cukup menyenangkan pengunjung.

Pengalaman desa

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mohd. Zambri Maarof, 45, berkata, sejak memulakan operasi inap desa pada 1992, kini terdapat 22 buah rumah yang terlibat menyediakan pakej inap desa sekali gus memberi pengalaman kehidupan desa sebenar.

Katanya, pelancong akan disajikan dengan gaya hidup kampung tradisional bersama keluarga angkat dalam suasana damai dan udara yang bersih lagi menyegarkan.

Katanya, keistimewaan dan keunikan Inap Desa Sungai Pasu datangnya daripada aktiviti-aktiviti yang disediakan peserta program inap desa yang terlibat.

“Selain mendalami budaya masyarakat Melayu Pahang, antara permainan tradisional yang boleh disertai ialah permainan tradisional seperti bermain gasing, congkak dan batu seremban serta persembahan tarian,” katanya.

Selain itu, tambah Mohd. Zambri, pengunjung turut didedahkan dengan aktiviti harian penduduk tempatan yang mencari sumber rezeki melalui aktiviti menoreh getah dan bekerja di ladang kelapa sawit.

Selain daripada itu, pertunjukan masakan hidangan tradisional Pahang dan Jawa juga sentiasa mendapat perhatian tetamu inap desa. Masakan seperti sambal goreng tempe, sambal hitam, ikan masak tempoyak dan pulut turut disediakan para wanita tempatan selain kuih-muih tradisional.

Kampung terbersih

RUMAH ini adalah salah satu daripada 22 buah rumah yang menyertai program inap desa di Kampung Sungai Pasu.

Peserta program inap desa, Norhaila Serahan, 36, berkata, kerana keindahan dan kebersihan di sini, Kampung Sungai Pasu pernah memenangi pertandingan kampung terbersih peringkat negeri selama beberapa tahun.

Katanya, ketibaan pelancong akan disambut dengan majlis penuh tradisi dan berwarna-warni bagi memperkenalkan adat budaya tempatan.

“Setiap pelancong akan dilayan seperti sebahagian daripada keluarga tuan rumah. Mereka akan makan apa yang tuan rumah makan dan bergaul mesra dengan ahli keluarga tuan rumah.

“Tuan rumah akan menyediakan bilik mengikut kehendak dan keperluan pelancong. Mereka akan tinggal sebumbung bersama peserta (tuan rumah) inap desa di sini,” katanya.

Majoriti penduduk kampung itu, jelasnya, terdiri daripada orang Melayu berketurunan Jawa yang telah menetap di daerahtersebut sejak lebih 50 tahun lalu.

“Pertembungan budaya antara Jawa dan Melayu sekali gus menghasilkan cara hidup dan adat resam yang unik serta menarik,” ujarnya.

Di samping itu, jelas Norhaila, kampung itu turut didiami masyarakat Orang Asli suku Che Wong yang mengamalkan cara hidup separa moden.

Para pelancong dapat melihat dan menyaksikan sendiri cara hidup unik masyarakat minoriti itu.

Lazimnya, para tetamu inap desa akan dibawa melawat ke perkampungan Orang Asli untuk menyaksikan demonstrasi menyumpit dan tarian sewang serta budaya hidup suku tersebut.

“Tetamu homestay juga berpeluang menyumpit dan mencuba tarian sewang yang sangat mengasyikkan itu,” jelasnya.

Ternakan ikan

Di Kampung Sungai Pasu, keluarga peserta program inap desa itu turut mengujakan tetamu dengan tarikan di kolam ternakan ikan air tawar mereka.

Ternakan ikan tilapia, patin dan tongsan sudah menjadi sebahagian daripada usaha menambah sumber pendapatan mereka. Lebih menarik, para tetamu homestay dibenarkan memancing tanpa bayaran.

Antara aktiviti lain dalam pakej penginapan homestay itu termasuklah lawatan ke Pusat Perlindungan Gajah dan Deerland di Lanchang, Temerloh. Tetamu boleh merasai sendiri pengalaman menunggang dan memandikan gajah.

Bagi yang inginkan lebih elemen lasak, aktiviti sukan air seperti berakit dan berkayak serta terbang keluang (flying fox) turut disediakan di Taman Tasik Sungai Pasu.

Di samping itu, pelancong turut dibawa dalam aktiviti treking di Hutan Simpan Ulu Dong untuk melihat bunga rafflesia yang tumbuh liar.

Sebagai tarikan bonus, inap desa tersebut juga terletak hanya lima kilometer dari pusat rekreasi Lata Jarum dan Pulau Chekas yang terletak dalam kawasan hutan simpan tersebut.

Tangkap itik

WAKTU petang yang redup amat sesuai untuk menyertai aktiviti berkayak di tasik.

Sementara itu, Pengendali Tasik Kampung Sungai Pasu, Salman Wagirun, 43, berkata, inap desa di sini turut menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi di Tasik Kampung Sungai Pasu yang telah beroperasi 18 tahun itu.

“Peserta inap desa diberi peluang untuk berkayak mengelilingi tasik dan duduk bersantai sambil memancing ikan dengan hanya menggunakan pancing tradisional .

“Selain itu, aktiviti yang cukup menyeronokkan ialah menangkap itik dan ikan di dalam lumpur, berakit serta bermain gasing,” katanya.

Tidak ketinggalan, terdapat juga tapak perkhemahan seluas 1.2 hektar dan dewan serba guna juga turut tersedia di dalam kawasan tasik seluas 3.2 hektar itu.

Tasik pelbagai guna itu sememangnya menjadi tumpuan untuk bersiar-siar dan bersantai, apatah lagi di tengah-tengahnya telah dibina sebuah jambatan.

Dengan keadaan sekeliling tasik yang dipenuhi rimbunan pokok buah-buahan, sesiapa sahaja akan berasa damai dan seronok.

Tambah Salman, kedamaian itu sememangnya sukar diperoleh di bandar.

Keseronokan berkayak, menoreh getah dan melakukan aktiviti-aktiviti kampung sememangnya cukup bermakna terutama bagi yang sudah lama hidup di kota konkrit.

Justeru, bagi yang inginkan kelainan semasa bercuti, merasai kehidupan desa di Inap Desa Kampung Sungai Pasu dan Kampung Gali Hilir, Raub, Pahang adalah pilihan terbaik.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Mohd. Zambri di talian 019-990 6222 atau penyelaras homestay, Sumi Ngah di talian 019-314 2558.

Destinasi libur warisan Kuala Lumpur

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammar.jazlan@kosmo.com.my


SEMENJAK Raja Abdullah dan Raja Jumaat bersama 87 pekerja Cina menghilir Sungai Klang sehingga ke Sungai Gombak dan menemui bijih timah di Ampang sekitar 1850-an, Kuala Lumpur tidak pernah berhenti membangun.

Daripada sebuah pekan perlombongan yang dihuni pelombong-pelombong bijih timah, ia terus berkembang sebagai sebuah kota metropolitan yang menjadi pusat pentadbiran dan perniagaan yang terulung di negara ini.

Perubahan demi perubahan yang dilakukan menyebabkan bandar raya yang diiktiraf sebagai ibu negara Malaysia dengan populasi menghampiri dua juta penduduk itu terus gah dengan pelbagai kegemilangan dan kejayaan.

Jika dahulu, ia dikelilingi rumah-rumah beratap nipah, kini ia diserikan dengan kehadiran bangunan-bangunan pencakar langit.

Kehadiran beberapa mercu tanda baru seperti Menara Berkembar Petronas yang pernah mencatat sejarah sebagai bangunan tertinggi di dunia serta Menara Kuala Lumpur, menyaksikan ibu negara Malaysia itu terus gah di mata dunia.

Di sebalik pembangunan pesat kota metropolitannya, Kuala Lumpur juga kaya dengan pelbagai kesan sejarahnya yang tersendiri. Antaranya ialah bangunan-bangunan bersejarah yang terus kekal sehingga ke hari ini serta menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Horizon minggu ini cuba mengupas beberapa lokasi bersejarah yang tersenarai di antara 10 ikon pelancongan utama di Kuala Lumpur oleh Kementerian Pelancongan Malaysia.

Muzium Negara

MUZIUM Negara terus menjadi tumpuan bagi mereka yang mahu mengenali kebudayaan dan sejarah negara.

Memulakan operasinya pada tahun 1963 hasil daripada ilham bekas bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Reka bentuk bangunan adalah bercirikan elemen estetik dan ukiran bangunan istana Melayu tradisional.

Seni bina bangunan Muzium Negara disokong oleh 26 batang tiang konkrit secara keseluruhan. Gabungan tiang konkrit iaitu 13 tiang pada bahagian timur dan 13 tiang lagi pada bahagian barat bangunan mempunyai falsafahnya sendiri iaitu melambangkan Malaysia dibentuk daripada 13 buah negeri.

Muzium Negara memuatkan pelbagai informasi dan sejarah mengenai Malaysia dari dahulu sehingga kini. Ia terbahagi kepada beberapa galeri utama iaitu zaman prasejarah, zaman kesultanan Melayu, kolonial, selepas kemerdekaan di samping pencapaian dan kejayaan yang diperoleh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara (JMN), Datuk Ibrahim Ismail berkata, sejak dibuka Muzium Negara terus menjadi menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara yang mahu mengenali kebudayaan dan pelbagai sejarah negara ini dengan lebih dekat.

Katanya, dalam konteks masa pada hari ini peranan muzium bukan sekadar memaparkan maklumat semata-mata bahkan, memberikan pengalaman yang menyeronokkan kepada pengunjung.

“Pelbagai bahan pameran dipamerkan secara interaktif sejajar dengan perkembangan semasa. Pada masa yang sama, JMN turut mengadakan pelbagai siri pameran khas seperti pameran keranda, pameran senjata, pameran Orang Asli dan sebagainya bertujuan memberi nilai tambah terhadap pameran yang sedia ada,” katanya.

Sejarah Klang dalam bingkai

Oleh NIZHA PERIASWAMY


JAMBATAN Kota, di Klang, Selangor digunakan setiap hari oleh warga Lembah Klang sebagai salah satu laluan penghubung penting di bandar di raja itu.

Jambatan Kota menghubungkan Klang Utara dan Klang Selatan merupakan jambatan dua tingkat dengan kedua-dua tingkatnya digunakan oleh ribuan pengguna jalan raya.

Hanya sejak beberapa tahun lalu, tingkat bawah tidak lagi digunakan untuk kenderaan sebaliknya sebagai laluan pejalan kaki.

Hakikatnya, dengan status jambatan dua tingkat yang pertama di negara ini apabila dibina sebelum kemerdekaan iaitu pada Jun 1957, Jambatan Kota menyimpan bukan sedikit sejarah.

“Saya kagum dan berbangga dengan sejarah Klang. Ia bukan sahaja boleh bermegah sebagai Bandar Diraja malah, kerana Jambatan Kota ini sendiri. Ia adalah penghubung pembangunan Klang Utara dan Selatan,” kata Kam Chuan Eng, 25. Dia ditemui di Karnival Fotografi Warisan Selangor yang diadakan pada 4 Jun lalu di Jambatan Kota itu sendiri. Karnival itu dianjurkan oleh Tourism Selangor.

“Saya mendapat tahu tentang karnival ini daripada saudara-mara yang terlibat dalam fotografi. Oleh kerana saya amat meminati bidang fotografi, saya berpendapat karnival ini akan menjadi lokasi yang sesuai untuk mendapatkan maklumat dan pengetahuan tantang gambar foto dan gajet fotografi,” ujar Chan Eng yang berasal dari Teluk Pulai.

Chan Eng adalah antara ribuan pengunjung yang melawat Karnival Fotografi Warisan Selangor yang bermula pada pagi hingga lewat petang di Jambatan Kota baru-baru ini.

Seorang lagi pengunjung yang juga pekerja am di Majlis Perbandaran Klang lengkap berpakaian seragam, baju kemeja-T dan seluar hitam, R. Kalaivani tidak mahu melepaskan peluang mewarna gambar sejarah negeri Selangor.

PENGUNJUNG melihat pelbagai warna-warni Kota Klang dan negeri Selangor melalui foto yang dipamerkan.

“Saya ajak rakan-rakan, mereka malu. Saya mahu menyertai karnival ini dan mewarna lukisan. Sekurang-kurangnya saya akan berbangga kerana dapat membuat sesuatu pada karnival ini,” kata wanita berusia 30 tahun itu. Dia ditemani dua lagi rakan wanita, selepas tamat tugas.

Bagaikan pesta

Melewati Jambatan Kota tingkat bawah yang kini semakin kurang digunakan memandangkan generasi sekarang lebih memilih menggunakan kenderaan di jambatan atas, ia seolah-olah sedang berpesta.

Pelbagai gambar foto yang menggambarkan keunikan dan keistimewaan Selangor termasuk Kuala Lumpur menghiasi sebelah sisi jambatan. Keseluruhan gambar foto yang dipamerkan itu sama ada digolong di bawah motif pelancongan, kebudayaan, makanan, alam semula jadi, pemandangan mahupun kemanusiaan.

Sama ada dirakam oleh jurugambar amatur mahu pun profesional, kesemua gambar yang dipamer, jelas sekali menjamu pemandangan pengunjung tatkala berlatar belakang sungai dan Masjid Klang.

Di sisi lain pula, beberapa gerai seperti gerai gambar foto, gerai pendaftaran pertandingan foto, gerai penari, gerai kraftangan, gerai sekolah dan badan bukan kerajaan serta beberapa gerai menjual makanan memenuhi ruang itu.

FOTO-FOTO mengenai sejarah dan lokasi-lokasi menarik di Selangor dipamerkan di Jambatan Kota.

“Kami membuka gerai di bawah kumpulan penari yang dikenali Lapar Lab. Di Lapar Lab, kami akan mempersembahkan tarian pada karnival hari ini sebagai sebahagian daripada aktiviti,” kata Lim Hooi Meng, 23, dari Kuala Lumpur.

Jelasnya lagi, karnival pada hari tersebut amat menyeronokkan terutama sekali apabila ia membabitkan informasi dan aktiviti berkaitan pelancongan dan warisan.

“Ia juga platform bagi artis seperti kami menunjukkan kemahiran tarian,” katanya.

Tiga sekawan, Ridhwan Zilkhifli, 25, Anuar Othman, 25 dan Azhar Asmat, 22 teruja dengan karnival tersebut. Tinggal di Batu Belah, Klang, mereka berkata wajar didedahkan dengan karnival seumpama ini kerana mereka selaku generasi muda amat menggemarinya.

ATAS: Kalaivani (kanan) bersama seorang rakannya melukis mural tentang warisan sejarah Bandar Klang.

“Kami semua meminati fotografi dan mendapat tahu mengenai karnival ini menerusi rangkaian sosial facebook.”

“Saya datang untuk menyertai pertandingan fotografi dan kawan-kawan datang bersama untuk memberi sokongan,” ujar Azhar pula.

Pada majlis pelancaran, Pengurus Besar Tourism Malaysia, Noorul Ashikin Mohd. Din menggambarkan bandar Klang sebagai satu bandar yang mempunyai banyak keistimewaan yang belum diterokai.

Berikutan itu, beliau mengalu-alukan pihak kementerian dan pihak pelancongan untuk terus menganjurkan pelbagai karnival seperti itu.

“Klang umpama berlian yang belum digilap. Saya percaya jika digilap, ia mampu menarik perhatian di sektor pelancongan,” katanya.

Antara beberapa tarikan pelancong di Klang termasuklah Little India, hidangan makanan Cina Bak Ku Teh dan masjid India Muslim Klang.

Sejarah turut dicatatkan pada hari tersebut apabila, pihak karnival membuat pameran kolaj terpanjang di atas jambatan sejauh satu kilometer itu. Ia direkodkan dalam Malaysian Book of Records.

Jejak warisan lama daerah terpencil

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID


SELEPAS melewati bumi Hatyai, Thailand dengan kereta api, penulis beralih ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia pula dengan pengangkutan itu. Sememangnya, tiada sebab untuk penulis menolak pelawaan daripada Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) untuk meneroka negeri Kelantan Darul Naim.

Meskipun sesetengah orang berpendapat lokasi seperti Tanah Merah dan Dabong agak terasing, penulis percaya ada sesuatu yang unik yang boleh diselongkar di sana.

Perjalanan melintasi 56 buah stesen bermula dari Stesen KL Sentral tidaklah memenatkan. Jika dibandingkan dengan perjalanan ke Hatyai yang memakan masa 16 jam, perjalanan kereta api kali ini hanya mengambil masa 12 jam untuk sampai ke Tanah Merah.

Aura kembara mula menjentik emosi tatkala gerabak kereta api secara berdikit-dikit berhenti di Stesen Keretapi Gua Musang menjelang subuh. Suasana gelap telah mengaburi pemandangan lokasi gua yang tersergam megah di belakang stesen berkenaan.

BANYAK pengalaman menarik boleh dirasai jika menggunakan perkhidmatan kereta api untuk melancong.

Sedang leka menghayati pemandangan klasik di stesen itu, tanpa semena-mena, bahu penulis disentuh oleh seorang tua yang berjanggut putih sambil berkata: “Lebih baik kamu sambung tidur sebab kelibat penjual sayur kampung di stesen sudah tidak ada lagi.”

Lantas, dengan perasaan yang sedikit kecewa kerana tidak dapat menyaksikan senario tradisi itu, penulis segera memasuki gerabak semula.

Kampung Cina terawal

Pagi yang cerah segera menceriakan rombongan media yang turut disertai wartawan Singapura di Stesen Keretapi Tanah Merah.

Halwa telinga kami dihidangkan dengan sambutan paluan alat muzik yang dipanggil kertuk. Agak sukar pada mulanya menangkap ritma instrumen itu, namun tradisi memainkan alat muzik zaman dahulu kala itu membuatkan penulis berasa kagum.

 

PADA asalnya, replika ini digunakan untuk menahan hakisan banjir tetapi kemudian fungsinya bertukar menjadi medium penghubung roh nenek moyang penduduk Kampung Raja.

Hanya berehat seketika di D’Mawar Resort, Tanah Merah, kembara kami diteruskan ke sebuah perkampungan terawal Cina di Kelantan iaitu di Kampung Pulau Raja. Secara peribadi, daerah itu dianggap begitu asing dalam pengetahuan geografi penulis.

Mengapa penulis berkata demikian? Untuk menembusi kampung berkenaan, kami perlu merentasi belukar dan sungai lebih kurang dua kilometer.

Betapa hebatnya kreativiti lebih kurang 80 orang penduduknya, para tetamu yang hendak melangkah ke pusat perkampungan mereka, dikejutkan dengan laluan lurus berjubin pelbagai bentuk dan corak sepanjang kira-kira empat kilometer (km).

“Itu daya kreativiti bapa saya, Chung Ting Bun yang mula buat jalan dan jubin itu. Ia dilakukan sejak awal 1990-an dengan pertolongan penduduk kampung.

“Ada bahagian yang masih belum dipasang jubin kerana kami sebenarnya buat peringkat demi peringkat. Ia dilakukan untuk kesenangan penduduk dan demi menghormati pengunjung yang datang melawat kampung kami,” beritahu seorang penduduk kampung itu, Chung Liu Ping, 33.

Walaupun menyedari pertuturannya yang menggunakan loghat Kelantan tidak difahami penulis, Ting Bun, 63, masih selesa meneruskan perbualan. Ternyata penduduk kampung yang tersisih dari dunia luar itu rata-ratanya sangat berhemah tinggi.

KTMB sedang dalam usaha merancakkan lagi industri pelancongan kereta api di negara ini yang kini semakin diminati oleh rakyat tempatan dan luar negara.

“Untuk makluman anda, kampung ini diasaskan oleh moyang saya, Chung Chung Seng ratusan tahun dulu. Dia datang dari Tanah Besar China ke sini.

“Saya merupakan generasi keempat daripada keturunannya,” kata lelaki ini yang sedaya upaya menggunakan bahasa baku sambil setia ditemani isterinya, Yap Mek See, 59, di sisi.

Di kampung yang didiami 10 buah keluarga itu, Mek See mengisahkan bahawa ia merupakan lokasi terawal yang memiliki induk durian terbaik daripada jenis durian kunyit.

Penghubung roh

Maksud pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat dapat dilihat di Kampung Raja.

Walaupun kehidupan penduduknya tidak mewah, mereka sepakat membina sebuah monumen yang pada asalnya dibangunkan untuk menahan hakisan akibat banjir.

“Pada era 20-an hingga 70-an banjir yang dipanggil banjir merah kerap melanda kampung kami. Saya dan isteri dapat idea membuat monumen ini.

“Selepas masalah itu selesai, kami jadikan tempat itu sebagai penghubung mengenang roh nenek moyang kami,” cerita Ting Bung yang memulakan pembinaan monumen itu pada tahun 1974 dan mengambil masa hampir 30 tahun untuk siap sepenuhnya.

TING BUN (kanan) dan isterinya, Mek See ialah antara generasi tertua di kampung perkampungan Cina terawal di Kelantan iaitu Kampung Raja.

Sememangnya luar biasa perspektif dan artikulasi yang lahir daripada Ting Bun malah ramai yang menyifatkannya agak ganjil.

Pemerhatian anda perlu tajam untuk mentafsirkan maksud monumen yang setara ketinggian bangunan dua tingkat itu. Menggunakan simen sepenuhnya, monumen yang seolah-olah nampak separuh siap itu terdiri daripada replika sampan dan kapal terbang di tingkat atasnya.

“Sampan itu adalah simbolik kepada susah payah nenek moyang datang dari China ke Kelantan dan kapal terbang adalah simbol anak cucu yang akan melawat ke China pada satu hari nanti menggunakan kapal terbang pula,” jelasnya seumpama berfalsafah.

Rombongan media seterusnya dipelawa ke rumah Ting Bun. Kediamannya juga mencuri tumpuan. Bukan saja dibina dengan keringat sendiri pada tahun 1923, malah kerusi dan meja pun hasil buatannya juga.

“Rumah yang beratapkan genting ini juga adalah ilham rumah yang terdapat di China,” kata Mek See sambil menunjukkan foto-foto lama yang dibingkai kemas.

Di Kampung Raja itu juga, terdapat sebuah telaga yang dipercayai berusia 350 tahun. Bagaimanapun, ia sekadar untuk dilawat saja.

Jambatan Guillemard

JAMBATAN Guillemard merupakan jambatan kereta api terpanjang di Malaysia.

Penerokaan bumi Che Siti Wang Kembang beralih ke pedalaman Dabong pada hari kedua.

Sebelum menaiki kereta api dari Tanah Merah ke sana, Pengurus Komunikasi Korporat KTMB, Mohd. Fazil Ismail memberitahu, penulis tidak hanya akan dapat menghayati panorama alam semula jadi, kampung tepi landasan malah dapat merentas ke era zaman British.

Ya, memang benar bagai dikata. Meremang bulu roma tiap kali melalui setiap daripada tujuh terowong yang dibina British antara Stesen Keretapi Dabong dengan Stesen Keretapi Kuala Krai.

Singgah di Batu 243.5, Mohd. Fazil memaklumkan, di situlah lokasi pertemuan landasan Stesen Keretapi Gemas dengan Stesen Keretapi Tumpat.

“Bagi mengelakkan pelanggaran, kereta api akan berhenti antara 30 minit hingga sejam di Stesen Keretapi Kemubu atau Stesen Keretapi Limau Kasturi,” ujarnya.

Momentum kelajuan kereta api semakin perlahan. Rupa-rupanya kami sedang menghampiri jambatan kereta api terpanjang di Malaysia (609.6 meter) iaitu Jambatan Guillemard.

Jambatan itu dilingkari timbunan sejarah. Mengimbas historiografinya, jambatan yang turut dikenali sebagai Jambatan Kursial itu dibina pada tahun 1920 oleh British.

Tujuan utama ia dibina adalah untuk menyediakan laluan bagi kereta api dan kenderaan-kenderaan lain. Tanggal 12 Disember 1941, ia telah diletupkan oleh British bagi mengelak kemaraan tentera Jepun ke Kuala Krai.

Selepas 47 tahun, Jambatan Guillemard dibina semula tetapi tidak boleh dilalui oleh kenderaan lain kecuali kereta api.

Pekan Dabong membangun

PERIGI yang terdapat di Kampung Raja ini dikatakan berusia melebihi 300 tahun dan dipercayai dijadikan sebagai sumber air utama penduduk zaman dahulu.

Bidikan kamera yang merakam khazanah negara itu terhenti apabila kami perlu menuju ke hentian Dabong sebelum waktu senja. Dabong sebenarnya bukan pekan sebarangan. Ia sebenarnya kaya dengan tarikan pelancongan.

Menurut Ketua Unit Setempat, Majlis Daerah Dabong, Mohd. Razaini Ishak, antara yang paling popular ialah Gunung Stong yang menjadi daya tarikan utama para pendaki untuk meneroka keindahan fauna dan flora di sekitarnya.

Di situ juga, terletaknya air terjun tertinggi di negara ini iaitu Air Terjun Jelawang yang mencatatkan ketinggian kira-kira 300 meter. Gua Ikan yang terletak hanya beberapa kilometer (km) dari stesen juga antara kawasan rekreasi alam semula jadi yang terkenal.

“Lata Kertas dan Air Terjun Lata Rek juga antara destinasi untuk anda mengajak rakan-rakan berkelah dan menghirup udara segar,” katanya.

Sesungguhnya pengalaman menyelongkar destinasi menarik tetapi kurang diketahui umum sesuatu yang sangat bernilai. Sekilas pandang, banyak lokasi di negeri ini yang boleh dikomersialkan.

Bagaimanapun, terima kasih kepada KTMB atas usaha mereka menggalakkan pelancongan kereta api ke Pantai Timur.

Bagaikan berada di istana

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my
Bahagian lobi bercirikan hiasan dalam ala Roman. Hotel Seri Malaysia Kulim, Kedah.

JIKA ditanya apa ada di Kulim lebih 20 tahun lalu, pastinya jawapan yang diterima adalah ia sebuah pekan ‘koboi’ yang dikelilingi bekas lombong, ladang kelapa sawit dan getah.

Bagaimanapun, daripada sekadar menyajikan pemandangan kawasan pertanian, Kulim kini bertukar wajah menjadi sebuah pusat industri berteknologi tinggi dan ‘bandar sains’ pada masa depan.

Ia menjadi tumpuan syarikat multinasional termasuk kilang panel tenaga solar, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), institusi pendidikan dan pusat perdagangan.

Kini, daerah di selatan negeri Kedah itu terkenal di seluruh pelosok negara terutamanya selepas kewujudan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

Tidak cukup dengan itu, Kulim mempunyai pelbagai destinasi pelancongan menarik seperti Tree Top Walk dan Sungai Sedim.

Bagi kebanyakan pengunjung, salah satu destinasi penginapan popular yang pasti menjadi pilihan mereka ialah Hotel Seri Malaysia Kulim.

Terletak di pusat bandar Kulim iaitu kira-kira 15 minit dari Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE), Hotel Seri Malaysia Kulim menawarkan penginapan yang cukup selesa.

Justeru, tidak hairanlah, tarikan itu membuatkan pengunjung mahu datang semula ke hotel tersebut.

Bilik-bilik penginapannya mampu menampung pengunjung individu, berkeluarga dan rombongan kerana ia menawarkan 71 bilik standard, famili dan suite.

Pengurus Besarnya, Husni Husain memberitahu, hotel berkenaan memulakan operasi pada Mei 2004 di kawasan persekitaran hijau berdekatan Taman Tasik Putra Kulim.

Berbanding dengan tempat lain, beliau berkata, Hotel Seri Malaysia Kulim mempunyai keunikan tersendiri kerana reka bentuk bangunannya ala Roman.

“Dari luar, kita dapat perhatikan bahawa bangunan hotel ini indah kerana reka bentuk dihiasi tiang Roman. Ia merupakan ciri menarik kerana mampu membuat pengunjung berasa bagaikan berada di istana,” katanya kepada S2.

Husni memberitahu, layanan istimewa yang ditawarkan oleh kakitangan hotel turut membuatkan para pengunjung berasa selesa seolah-olah berada di rumah sendiri.

Katanya, daripada 71 bilik yang ditawarkan, sebanyak 26 bilik merupakan jenis famili, sementara selebihnya adalah jenis standard twin dan standard two serta dua bilik suite.

“Harga yang ditawarkan pula amat berpatutan iaitu bilik jenis standard pada kadar RM140 semalam berserta sarapan untuk dua orang.

“Bagi bilik jenis famili pula, harga adalah RM160 sebilik,” katanya.

Beliau berkata, kesemua harga bilik yang ditawarkan itu meliputi cukai perkhidmatan dan para pelanggan tidak perlu bimbang dengan caj tersembunyi.

“Hotel Seri Malaysia Kulim tidak mengamalkan konsep harga ++ seperti mana kebanyakan hotel lain.

“Para pengunjung yang menginap di sini juga boleh mendapat akses Internet wi-fi percuma,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut menawarkan harga istimewa kepada kakitangan kerajaan dan korporat.

Dalam pada itu, Husni berkata, Hotel Seri Malaysia Kulim turut menyediakan tiga dewan mesyuarat yang cukup luas dan selesa untuk keperluan seminar, ceramah dan perjumpaan.

Tambah beliau, pihaknya juga membuka sebuah restoran yang menawarkan makanan tempatan dengan harga seperti di luar.

“Kami juga menawarkan set minum petang dan bufet pada harga berpatutan iaitu RM10 seorang pada pukul 2 hingga 6 petang setiap hari,” katanya.

Beliau memberitahu, Hotel Seri Malaysia Kulim mendapat sambutan hangat terutama semasa musim cuti sekolah dan sesi pendaftaran pelajar institut pengajian tinggi berdekatan.

“Hotel ini memang sesuai untuk keluarga, kumpulan yang datang berurusan perniagaan, para pelabur serta pelancong yang inginkan suasana tenang,” jelasnya.

Tambah beliau, setakat ini, pihaknya turut menerima ramai pengunjung asing yang datang melabur di KHTP.

“Pengunjung asing sukakan layanan dan makanan ala tempatan yang ditawarkan di sini,” jelasnya.

Menyingkap keagungan Islam

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my
PETUGAS Dynasty Event Sdn. Bhd. membersihkan Kacip Hukum Patani iaitu sebuah peralatan untuk memotong tangan pesalah yang dipamerkan di Pameran Keagungan Tamadun Islam dan Mistik di Taman Rempah, Melaka.

MELAKA 16 Jun – Baju besi dan peralatan perang kerajaan Uthmaniah pada kurun ke-17, alat-alat pembedahan pakar perubatan Ibnu Sina, astronomi Islam, England dan Eropah merupakan antara artifak yang boleh disaksikan pada Pameran Keagungan Tamadun Islam dan Mistik yang berlangsung selama sebulan di Taman Rempah di sini.

Urus Setia dan Promosi Pameran Dynasty Event Sdn. Bhd., Azhar Kassim, syarikat yang menganjurkan pameran itu berkata, pameran yang bermula sejak 2 Jun lalu sehingga 3 Julai ini bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan unsur-unsur mistik, tahyul, khayal, syirik dan pemujaan yang masih bersarang dalam fikiran masyarakat.

Menurutnya, pameran sempena Pesta Sungai Melaka 2011 itu mampu memberi pendidikan kepada generasi baru tentang perkara berkenaan dan melihat keagungan agama Islam.

“Pada pameran ini, kita mahu umat Islam melihat perkara-perkara tahyul serta khurafat yang dipamerkan sebagai perkara yang perlu dijauhi dan pada masa sama menanamkan rasa cintakan Islam melalui artifak keagungan tamadun Islam,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, antara yang terdapat pada pameran itu ialah pedang dan pelita emas Laksamana Cheng Ho, alat-alat penulisan Islam, fosil berusia lebih 100,000 tahun dan barangan peribadi Rasulullah SAW.

Antara artifak mistik yang dipamerkan ialah Buluh Berang Dalam Ada Batu Delima, Dulang Tembaga 21, Delima dan Air Merah yang digunakan oleh pengamal ilmu bomoh sebagai alat pemujaan untuk membuat nombor ekor.

Menurut Azhar, kesemua artifak itu yang diinsuranskan dengan nilai RM10 juta merupakan koleksi peribadi pemilik dari dalam dan luar negara yang mengamanahkan kepada syarikat tersebut untuk menyimpan dan mempamerkannya kepada masyarakat umum.

“Untuk pameran di Melaka sahaja, Dynasty Event mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 juta untuk kos pengangkutan, gaji pekerja dan sewaan khemah,” katanya.