POLITIK : PPS dan RBA mampu ancam negara

Oleh Shen Yee Aun
papashan88@outlook.com
Kedua-dua unit ini Pasukan Peronda Sukarela (PPS) dan Red Bean Army (RBA) kita ketahui dibelakangi oleh parti tertentu yang dapat dibahagikan konsepnya sebagai tentera siber (RBA) dan tentera sebenar (PPS). Operasi mereka penuh konspirasi dan menghalalkan apa sahaja cara demi kepentingan politik pihak tertentu. Namun begitu, mereka dipakejkan dengan begitu baik untuk mengaburi mata rakyat seolah-olah mereka ialah penjamin hak dan keselamatan rakyat. Mereka dipakejkan sebagai entiti yang baik, suci, benar dan sebagainya.
Setiap tahun sebanyak RM 1.5 juta diperuntukkan kepada PPS oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak penubuhan mereka pada 2011. Keadaan ini bermakna sebanyak RM6 juta wang rakyat negeri Pulau Pinang telah dibazirkan kepada PPS. Namun begitu, Ketua Menteri Pulau Pinang kelihatan begitu terganggu jiwanya dengan melindungi dan mempertahankan PPS yang haram. Bagaimana pula sesebuah pertubuhan yang tidak didaftarkan dengan ROS boleh dikatakan sebagai pertubuhan yang sah?
Di bawah Seksyen 41 Akta Pertubuhan, sesuatu pertubuhan itu menjadi pertubuhan haram (unlawful society) sekiranya ia tidak didaftarkan di bawah Seksyen 7. Mengikut Seksyen 2, istilah ‘pertubuhan’ diberi takrif yang luas, meliputi antara lain kelab, syarikat, perkongsian atau persatuan tujuh orang ahli atau lebih, tidak kira apa pun sifat atau matlamatnya, sama ada sementara atau berkekalan. Satu entiti yang memiliki seramai tujuh orang sudah boleh dikategorikan sebagai sebuah pertubuhan dan bagaimana pula PSS yang memiliki seramai 10,000 ahli dan diberikan pakaian seragam oleh kerajaan negeri tidak mendaftarkan diri dengan ROS?
Sekirannya penubuhan PPS adalah benar-benar demi kebaikan mengapa pula tidak berani berdaftar dengan ROS? DAP, RBA dan Lim Guan Eng asyik mempertikaikan PPS tidak perlu berdaftar hanya kerana penubuhan ini adalah di bawah bidang kuasa negeri. Realitinya dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, kita akan dapati bahawa dalam Item 3 Senarai I (iaitu Senarai Persekutuan) bahawa “Internal security, including – (a) Police dan Public order” adalah dalam bidang kuasa Kerajaan Pusat, bukan kerajaan negeri.
Sebelum ini sudah terdapat banyak isu dan kes melibatkan PPS di mana mereka memukul wartawan dan rakyat Pulau Pinang yang tidak sehaluan politik dengan mereka. Menurut Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi setakat ini seramai 11 ahli PPS memiliki rekod jenayah dan merupakan penjenayah yang sudah lama dicari oleh pihak berkuasa.
Tiga ahli PPS telah ditangkap polis kerana sudah dibuktikkan mengambil dadah. Lebih daripada 20 ahli PPS daripada 156 yang ditangkap oleh pihak polis adalah golongan wanita dan mereka yang berumur 60 ke atas. Bagaimana Lim Guan Eng boleh mengatakan penubuhan PSS adalah demi keselamatan rakyat apabila terdapat ahli-ahlinya yang bertindak kejam dan ganas terhadap wartawan dan rakyat?
Bagaimana PSS mendakwa penubuhannya adalah demi menjaga keselamatan tetapi terdapat ramai dalam kalangan mereka yang memiliki rekod jenayah? Bagaimana ahli-ahli PPS boleh menjalankan tugas dengan baik jika terdapat ahli mereka yang mengambil dadah? Mengapa wanita dan warga tua pula perlu dibahayakan untuk menjaga keselamatan negeri?
Adakah DAP dan Lim Guan Eng tidak berhati perut sehingga sanggup membahayakan keselamatan warga tua dan wanita untuk menjalankan operasi PPS yang penuh dengan bahaya dan risiko? Pasukan sukerala mana yang akan melakukan tindakan di luar perundangan seolah-olah menggunakan kuasa polis untuk menahan dan mengugut orang?
Disarankan supaya Ketua Menteri Pulau Pinang turut ditangkap oleh pihak polis atas Seksyen 188 Kanun Keseksaan, kerana menghalang tugas penjawat awam serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, kerana mengeluarkan kata-kata kesat kepada penjawat awam. Lim Guan Eng dalam beberapa ceramahnya yang jelas menunjukkan emosinya tergugat dalam isu PPS apabila terang-terangan mencabar Ketua Polis Negara menahannya demi mempertahankan dan melindungi PPS yang haram.
Tindakan tersebut boleh dikategorikan sebagai cuba menghalang pihak polis menjalankan tugas mereka untuk membanteras pertubuhan haram, penjenayah dan ahli-ahli kongi gelap. Pemimpin-pemimpin DAP yang menjadi pegawai dalam PPS juga perlu ditangkap mengikut undang-undang negara. Mengikut perundangan negara, menjadi pegawai satu pertubuhan haram adalah salah di bawah Seksyen 42 – boleh dihukum penjara selama lima tahun, denda RM15,00 atau kedua-duanya sekali.
Semua 10,000 ahli PPS juga boleh ditangkap mengikut perundangan negara kerana menjadi ahli pertubuhan haram adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 43 serta boleh dihukum penjara tiga tahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140907/re_11/PPS-dan-RBA-mampu-ancam-negara#ixzz3ChGw66RF  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Leave a comment