Istana Jahar hadiah perkahwinan

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my
 
Muzium Adat Istiadat DiRaja Kelantan (Istana Jahar)
Muzium Adat Istiadat DiRaja Kelantan (Istana Jahar)

KELANTAN mempunyai seni budaya yang unik. Kesenian serta tradisi lamanya masih kekal dan dapat di lihat pada istana-istana lama yang mengagumkan.

Peluang menghabiskan masa setengah hari di Zon Budaya, Kota Bharu Kelantan memberi pelbagai pengetahuan baru mengenai sejarah dan kesenian di negeri kelahiran Cik Siti Wan Kembang itu.

sebelum   selepas

  • FotoMuzium Islam
  • FotoMuzium Kraftangan (Balai Getam Guri)
  • FotoMuzium Negeri Kelantan
  • FotoMuzium Diraja
  • FotoMemorial Peperangan Dunia Kedua (Bank Karapu)

Penerokaan awal bermula apabila penulis bersama beberapa rakan media tersesat ketika mencari Restoran Nasi Ulam di Kampung Kraftangan.

Dari Pasar Siti Khatijah, kami berjalan kaki sehingga melalui beberapa istana lama yang mempunyai seni ukir cukup memukau.

Mungkin rezeki kami, walaupun tiada dalam jadual, kami berpeluang mengunjungi muzium di tengah bandar Kota Bharu itu.
 Menariknya, pengunjung tidak perlu jauh untuk melihat semua muzium di Kota Bharu kerana jarak antara muzium sangat berdekatan.

Justeru, kami hanya berjalan dari satu muzium ke satu muzium untuk melihat sendiri bangunannya yang unik serta barangan yang dipamerkan.

Muzium itu di buka setiap hari bermula 8.30 pagi hingga 4.45 petang kecuali Jumaat.

Muzium Adat Istiadat DiRaja Kelantan (Istana Jahar)

Muzium itu pada asalnya adalah Istana Raja Bendahara Tengku Long Kundor Sultan Ahmad.

Istana dikenali sebagai Istana Jahar itu mula dibina menggunakan kayu pada zaman akhir pemerintahan Sultan Muhammad II (1837 – 1886).

Pembinaannya siap pada 1887, setahun selepas kemang�katan Sultan Muhammad II. Istana ini dibina sebagai hadiah perkahwinan kepada cucunda baginda Long Kundur dengan Tengku Embong, puteri kepada Tengleu Puteh, Raja Pattani III.

Bersesuaian dengan istana yang sudah menjadi tempat persemayaman beberapa Sultan yang memerintah, istana itu dijadikan Muzium Adat Istiadat DiRaja Kelantan yang dirasmikan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra pada 27 Julai 1992.

Muzium, ini mempamerkan peralatan (artifek-artifek) mengenai adat istiadat Diraja di zaman dahulu bermula dari sejak kelahiran hinggalah ke alam perkahwinan seperti melenggang perut, menyambut kelahiran, mencukur jambul, mandi bersiram, pijak tanah dan istiadat berkhatan.

Selain itu terdapat juga koleksi tekstil, peralatan tembaga dan alat perhiasan diri. Menariknya, semasa pameran berlangsung, pengunjung akan diperdengarkan (diiringi) dengan alunan muzik tradisional.

Muzium ini dibuka setiap hari kecuali Jumaat mulai jam 8.30 pagi hingga 4.45 petang de�ngan bayaran RM1 bagi dewasa dan 50 sen untuk kanak-kanak.

Bagi pelancong asing, bayarannya RM2.

Muzium Islam

Bangunan ini asalnya adalah rumah kediaman Menteri Besar Kelantan. Ia dibina pada tahun 1902 berasaskan gaya dan ciri-ciri rumah Melayu Kelantan model awal abad ke-20.

Pada 1917, bangunan itu dijadikan pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Muzium Islam ini yang dirasmikan Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pada 11 November 1991, berfungsi sebagai institusi mengumpul, menyelidik, memelihara dan mempamerkan warisan sejarah sosial budaya masyarakat Islam.

Galeri pameran di muzium itu mempamerkan koleksi muzium dalam bentuk artifek, model, replika dan peta me�ngenai sejarah dan perkembangan Islam di negeri Kelantan. Sehingga kini 350 koleksi sudah dipamerkan.

Muzium Negeri Kelantan

Muzium Negeri Kelantan adalah bangunan batu yang sebelum ini pejabat Majlis Perbandaran Kota Bharu. Ba�ngunan itu kemudiannya dibaik pulih dan diubah suai pada 1990 menjadi muzium.

Antara koleksi barangan dipamerkan ialah alat-alat muzik tradisional, permainan tradisional, koleksi seramik dan alat pengangkutan darat dan air. Di sini juga terdapat ruangan sejarah purba iaitu replika ‘Gua Cha’.

Bahagian setengah tingkat pula mempamerkan Seni Budaya Negeri Kelantan termasuklah peralatan permainan wayang kulit, rebana ubi, makyong, menora dan lain-lain.

Muzium Diraja

Bangunan Muzium Diraja yang lebih dikenali dengan Istana Batu siap dibina dalam tahun 1939 iaitu hadiah perkahwinan kepada Sultan Yahya Petra (1961-1979) daripada ayahanda saudara baginda, Sultan Ismail (1920-1944).

Penubuhan Muzium Diraja itu menambahkan lagi destinasi pelancongan di negeri Kelantan kerana ia adalah salah satu muzium yang dianggap paling menarik.

Ia juga sesuai dikunjungi pelancong tempatan dan luar negara khususnya untuk membuat kajian serta penyelidikan keluarga Diraja Kelantan.

Muzium Diraja ini me�ngumpul koleksi Diraja yang terdiri daripada salasilah Kesultanan Melayu Kelantan, gambar berkaitan kegiatan kemasyarakatan dan kegemaran AI-Sultan, Raja Perempuan, Tengku Mahkota dan kerabat lain.

Di muzium ini dipamerkan hadiah persembahan yang diterima Sultan dan Raja Perempuan dari luar dan dalam negara.

Muzium Kraftangan (Balai Getam Guri)

Muzium Kraftangan (Balai Getam Guri) adalah sebahagian daripada bangunan Kampung Kraftangan yang diperuntukkan kepada Perbadanan Muzium Negeri Kelantan dan dijadikan Muzium Kraftangan.

Ia dirasmikan oleh Raja Perempuan Kelantan 27 Julai 1991 yang mempamerkan hasil-hasil krafta�ngan Kelantan seperti sulaman tradisional, tenunan songket, batik, pertukangan perak dan anyaman.

Muzium itu terletak di pusat bandar Kota Bharu, dalam kawasan Zon Budaya dan berhampiran dengan Pasar Buluh Kubu.

Asalnya, bangunan itu adalah kepunyaan Sultan Kelantan. Kawasan itu dahulunya dipenuhi dengan rumah setinggan kemudian dibersihkan untuk dijadikan taman permainan kanak-kanak. Bangunan ini dibina pada 9 Mac 1991 dan kemudiannya dikenali sebagai Kampung Kraftangan.

Di dalam muzium itu, pengunjung boleh melihat pelbagai koleksi hasil kraftangan masyarakat tempatan yang dipamerkan antaranya alat-alat menenun songket, barangan yang diperbuat daripada buluh, tembaga dan banyak lagi.

Memorial Peperangan Dunia Kedua (Bank Karapu)

Bangunan Memorial Peperangan Dunia Kedua pada asalnya adalah sebuah bank perdagangan pertama di Kelantan iaitu ‘The Mercantile Bank of India’. Selepas Perang Dunia II, ia diambil alih oleh ‘The Hongkong & Shanghai Bank’.

Dalam masa pendudukan Jepun 1941-1945, bangunan ini digunakan sebagai Pejabat Polis Rahsia Jepun “Kampetai” dan lokap tempat siasatan mereka yang anti-Jepun.

Bertepatan dengan Kelantan iaitu sasaran pertama Tentera Jepun dalam usaha menakluki Tanah Melayu dalam Perang Dunia Kedua, bangunan itu dinaik taraf untuk dijadikan Memorial Peperangan Dunia Kedua dan perasmian pembukaannya disempurnakan oleh KDYMM Al Sultan Ismail Petra pada Ogos 1994.

Melangkah masuk ke muzium itu, pengunjung akan terpegun melihat periuk api yang sangat besar.

Di bahagian galeri bawah memorial itu dipamerkan keterangan-keterangan, gambar dan bahan yang berkaitan Perang Dunia Kedua, khususnya di Kelantan.

Ini termasuklah serangan Jepun ke atas Kelantan mengikut kronologi. Pertahanan Tentera British Zaman Pemerintahan Jepun sehingga Jepun menyerah kalah dengan gugurnya bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.

Di galeri atas (tingkat satu) dipamerkan sejarah Kelantan di bawah Pentadbiran British dan Siam (Thailand) serta Kelantan sebelum dan selepas Merdeka serta pemberontakan ‘Tok janggut’ pada tahun 1915.

INFO

  • Muzium Negeri-terletak di Jalan Hospital, Kota Bharu berhampiran Bulatan Tun Padang dan bersebelahan Pejabat Tanah Kota Bharu serta Pusat Penerangan Pelancongan
  • Muzium DiRaja-terletak di Jalan Hilir Kota, bersebelahan dengan kampung Kraftangan
  • Muzium Adat Istiadat DiRaja Kelantan-kawasan Kota Sultan Ismail, bersebelahan dengan Istana Balai Besar
  • Muzium Islam-terletak di Jalan Sultan, Kota Bharu berhampiran dengan Padang Merdeka dan bersebelahan Masjid Muhammadi Kota Bharu.
  • Memorial Peperangan Dunia Kedua-terletak di Jalan Sultan, Kota Bharu berhampiran dengan padang Merdeka dan bersebelahan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia.
  • Muzium Kraftangan-Kampung Kraftangan di Jalan Hilir Kota, bersebelahan dengan Muzium DiRaja.
  • Bayaran bagi warga negara ialah RM1 untuk dewasa dan RM0.50 untuk kanak-kanak manakala RM2 untuk pelancong asing.
  • Keterangan lanjut layari http://www.kelantan.muzium.net
About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s