Cabaran kuda lasak di Janda Baik

Oleh ABD. HALIM HADI
halim.hadi@utusan.com.my
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH
Aemizureen Kamarudin (tengah) menjadikan aktiviti kuda lasak sebagai cara menyihatkan badan.

PENGALAMAN menunggang bersama seorang rakan dan melihatnya terhumban jatuh ketika kuda yang ditunggang memecut laju beberapa tahun lalu masih segar di ingatan.

Kejadian itu sering mengingatkan penulis betapa sukar dan mencabarnya untuk mengendalikan seekor kuda.

Bayangkan debaran yang dirasai semasa badan dihenjut kencang dengan kedua-dua kaki tergantung tinggi pada pelana.

Kuasa pecutan seekor kuda nyata jauh lebih mendebarkan berbanding ratusan ‘kuasa kuda’ yang dirasai semasa memandu.

Dengan fobia itu, penulis baru-baru ini menemui Mohd. Bakri Abdul Razak, pemilik kandang kuda Highlanders Endurance yang menawarkan aktiviti tunggangan lasak (endurance) di Kampung Cheringin, Janda Baik, Pahang.

Pada pagi itu, kumpulan yang disertai oleh 10 penunggang sedang bersiap untuk melakukan tunggangan rentas desa sejauh lebih 10 kilometer di sekitar kawasan perkelahan Janda Baik.

Bersebelahan dengan salah sebuah kandang kuda di situ kelihatan seorang gadis tenang mengadap temannya.

Aemizureen Kamarudin, 32, yang lengkap bertopi dan berkasut but panjang seperti sedang berbicara dengan kuda tunggangannya, Labibah, pasangan yang sudah serasi bersama.

Gadis yang menceburi sukan berkuda sejak lebih tujuh tahun lalu itu langsung tidak kekok bahkan aktiviti mencabar itu sudah menjadi rutin pada setiap hujung minggu.

Beliau memberitahu, sebelum memulakan tunggangan beberapa persediaan perlu diselesaikan yang biasanya dilakukan oleh tukang besi (blacksmith).

Jelasnya, proses bermula dengan kerja memasang ladam, memotong kuku dan menaikkan pelana ke atas belakang kuda.

Hanya selepas itu penunggang diberi peluang untuk merapati, ‘mengorat’ dan mengusap pasangan masing-masing.

Ketika beberapa peserta masih menunggu kuda-kuda mereka diperkemaskan pagi itu, sebahagian yang lain sudah memulakan larian anak di trek tertutup (paddock), Highlanders Endurance yang beroperasi sejak tiga tahun lalu itu.

Sesi memanaskan badan itu merupakan sebahagian daripada syarat yang diwajibkan kepada penunggang sebelum dibenarkan membawa kuda keluar dari paddock.

Ia bertujuan menguji sejauh mana kemahiran dan keserasian penunggang dengan kuda yang dipilih.

Menurut Aemizureen, peraturannya agak ketat kerana sifat kuda yang lebih agresif apabila meninggalkan kandang.

“Penunggang yang gagal mengawal kuda di paddock tidak akan sesekali dibenarkan mengikuti tunggangan lasak,” katanya.

Mengenai cabaran dan kesukaran aktiviti lasak yang diceburi itu, beliau mengakui masih mempunyai perasaan takut semasa menunggang walaupun sudah lama berkecimpung.

“Perasaan takut itu juga penting untuk mencetuskan adrenalin yang melatih kita menghadapi sesuatu masalah dan waktu-waktu getir dengan tenang dan waras.

“Sukan ini membantu saya membina keyakinan diri untuk menguasai ketakutan dalam usaha saya mencapai kejayaan,” katanya.

Bagi kakitangan AirAsia itu, berkuda juga membantu beliau menyihatkan badan dan meningkatkan kecergasan kesan daripada pergerakan otot dan penggunaan tenaga secara berterusan.

“Selain membuang peluh dan menguatkan pinggang, menunggang kuda juga memberi ketenangan dan kebebasan minda.

“Aktiviti berkuda juga membantu saya bersenam secara lebih teratur,” katanya yang juga gemarkan haiwan peliharaan dan menembak.

Selain memberi manfaat pada kesihatan fizikal dan mental, berkuda juga menjadi motivasi kepadanya untuk mencapai impian.

Kejayaan menjalinkan persahabatan dengan kuda banyak membantu dirinya meningkatkan keyakinan diri serta menajamkan minda.

“Kepuasan sebenar dirasai apabila kita berjaya menjinakkan kuda dan dapat menunggangnya dengan baik,” katanya.

Selain menikmati kesegaran udara jauh dari kota, peluang menunggang kuda juga menemukan Aemizureen dengan rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama.

Semasa menyusuri laluan tanah merah menuju ke kawasan berjeram di Janda Baik, ketangkasan ‘koboi-koboi’ Highlanders Endurance itu terbukti semasa melakukan pecutan mendaki bukit, membuat pusingan pantas dan mengekalkan posisi di dalam barisan.

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s